Fiqh Siyāsah Imām Al-Juwaini Dan Aplikasinya Dalam Pengamalan Demokrasi (Siri 1)

 

Pendahuluan

Imām Al-Juwaini rahimahullah merupakan salah seorang ulama’ yang ulung di dalam disiplin ilmu ini. Beliau dilihat mempunyai kemampuan tinggi di dalam menggarap makna dan hakikat wahyu untuk diproses menjadi ijtihād yang memberikan jalan keluar kepada kemelut politik umat. Khazanah ijtihād beliau perlu dijadikan satu aset dalam menampung permasalahan umat Islam kini, khususnya yang berkaitan dengan sistem demokrasi yang sedang digunapakai.

Latarbelakang Imām Al-Juwaini

Nama penuh beliau ialah Abdul Malik bin Abdullah bin Yusuf bin Abdullah bin Muhammad bin Hayawiyah Al-Juwaini An-Naisaburi, dengan gelaran “Abu Al-Ma’ali”. Beliau dilahirkan di bandar Juwain  pada bulan Muharram 419 Hijrah. Kemudian, beliau menetap di Baghdad untuk satu tempoh sebelum menuju ke Makkah setelah berlaku fitnah yang melibatkannya di Baghdad.

Selepas menetap di Makkah beliau menetap pula di Madinah. Beliau mengajar dan memberi fatwa ketika berada di dua tanah suci (Al-Ḥaramain) tersebut.
Beliau akhirnya kembali ke Naisabur. Niẓām Al-Mulk telah membina sebuah  institusi pengajian untuk beliau  yang dikenali sebagai ‘Madrasah An-Niẓāmiyah’. Ramai ulama’ terkemuka yang menuntut daripada beliau di situ. Beliau diberi beberapa gelaran antaranya ‘Imām Al-aramain’, ‘Dhiyā’ Ad-Dīn’, dan ‘Rukn Ad-Dīn’.

Imām Al-Juwaini dibesarkan di dalam keluarga ulama’. Ayahnya merupakan seorang Imām terkenal di Naisabur, datuknya seorang yang terkenal di Juwain, dan pakciknya seorang muḥaddith dan ahli ṣufi.

Menurut As-Subki di dalam kitabnya abaqāt As-Syāfiʿiyyah Al-Kubrā’ (1992), ramai ulama’ terkemuka yang telah belajar daripada Imām Al-Juwaini. Antara yang paling terkenal ialah Imām Al-Ghazali. Direkodkan, setiap hari hampir 300 orang penuntut datang mendengar syarahan Imām Al-Juwaini.

Imām Al-Juwaini telah meninggalkan banyak penulisan ilmiah yang ulung antaranya ‘Nihāyah Al-Malab Fī Dīrāyah Al-Mazhab’ mengenai Fiqh As-Syafiʿi, ‘Al-Burhān’ mengenai Usūl Al-Fiqh, dan yang terpenting mengenai siyāsah as-syarʿiyyah, kitabnya yang bertajuk ‘Ghiyāth Al-Umam Fi Iltiyāth Aulam’ (Penyelamat Umat Di Kala Kegelapan) yang membahaskan secara khusus akan situasi dan permasalahan politik di zamannya dan zaman-zaman selepasnya.

Latar Zaman Yang Mewarnai Penulisan Fiqh Siyāsah Al-Juwaini

Perkaitan antara pemikiran dan senario serta situasi semasa merupakan sesuatu yang ketara di dalam sejarah penghasilan Fiqh Islami. Penulisan Fiqh Siyasah Imam Al-Juwaini tidak terkecuali di dalam hal ini. Pelbagai peristiwa yang memenuhi zaman kehidupan Imam Al-Juwaini memberikan inspirasi dan pengaruh yang besar kepada beliau di dalam menghasilkan ijtihad-ijtihad yang bukan sekadar tepat secara syaraknya bahkan ‘hidup’ dalam memberi panduan dan membuka jalan yang cerah kepada umat Islam ketika itu dan sesudahnya.

Menurut Az-Zabdani (2011), Imam Al-Juwaini “tidak jauh daripada peristiwa-peristiwa semasa dan tidak terasing daripadanya, bahkan beliau hidup di tengah-tengah senario ini, dengan kehadiran yang dirasai dan pengaruh ilmu yang memberi kesan. Beliau hidup sepertimana hidupnya orang lain ketika itu, dan terdedah juga kepada tribulasi dan ujian-ujian yang dihadapi oleh masyarakat pada zaman itu.”

Oleh itu adalah penting untuk memahami sedikit sebanyak perihal latar zaman ketika hidupnya Imam Al-Juwaini (419 H – 478 H) serta latar tempat yang meliputi bandar-bandar Islam seperti Haramain (Makkah dan Madinah), Naisabur, Khurāsān, Baghdād, Damsyiq, dan sebagainya. Begitu juga perlu difahami sedikit sebanyak perihal beberapa tempoh sebelum kelahiran Imām Al-Juwaini serta sesudah kematiannya (tempoh daulah As-Salājiqah/Seljuk) untuk memahami fiqh siyasah beliau secara umum, dan mengapa Imam Al-Juwaini meletakkan beberapa kemungkinan yang bakal berlaku kepada umat Islam di dalam kitabnya ‘Al-Ghiyāthi’.

1.   Situasi ilmu pengetahuan

Kurun ke-5 hijrah menyaksikan perkembangan pesat ilmu-ilmu Islam meskipun berlaku pelbagai masalah di kalangan umat Islam. Di zaman ini, mazhab-mazhab fiqh dan aqidah ditegakkan, serta bertembung secara ilmiah. Menurut Al-Maqrizi (1854), antara aliran mazhab yang muncul pada zaman ini ialah Syiah Rāfidhah, Qadariah, Jahmiyah, Muktazilah, Karamiah, Qaramiṫah, dan Baṫiniah.

Menurut Az-Zabdani (2011), tiga ciri utama yang terdapat pada zaman ini ialah:

  1. Berlaku pertembungan hebat antara ahli As-Sunnah dan Syiah. Hal ini memberi impak negatif kepada masyarakat lantaran fitnah yang terhasil berleluasa. Namun begitu, hal ini turut memberi impak positif apabila wujudnya penulisan para ulama’ Ahli As-Sunnah dan Syiah dalam bentuk debat ilmiah untuk mempertahankan mazhab masing-masing.
    Perkara yang sama juga berlaku antara pendokong mazhab As-Syāfiʿi dan pendokong mazhab Ḥanbali.
  2. Kewujudan sekolah-sekolah An-Niẓāmiyyah di bawah naungan Niẓam Al-Mulk. Sekolah-sekolah ini berperanan membina kefahaman Islam yang benar di dalam masyarakat. Di antara sekolah yang masyhur ialah sekolah An-Niẓāmiyyah Naisabur di bawah seliaan Imām Al-Juwaini, dan sekolah An-Niẓāmiyyah di bawah seliaan As-Syīrāzi.
  3. Pada kurun ini bermula bibit-bibit kejumudan dan taqlid. Pintu ijtihād hampir tertutup. Perkara ini dikesali oleh Imām Al-Juwaini di dalam penulisannya.

2.   Situasi politik

Dunia Islam di kurun ke-5 Hijrah menyaksikan ketidakstabilan politik dan perpecahan umat yang kritikal. Pada kurun ini terdapat pelbagai kerajaan Islam yang kecil seperti kerajaan Faṫimiyyah di Mesir, kerajaan Al-Buwihiyyah di Parsi (Syiah), dan beberapa kerajaan kecil di Andalus. Ini membuktikan bahawa kerajaan utama umat Islam iaitu kerajaan Abbasiyah yang berpusat di Baghdad pada waktu itu sedang lemah.

Antara dalang terbesar ketidakstabilan politik di zaman ini ialah gerakan Baṫiniah. Gerakan ini berselindung di sebalik nama Syiah dan bertujuan untuk menjatuhkan khilafah Islamiah. Menurut Al-Ghazali (2001), gerakan ini mahu “menghapuskan syariat”. Ini merupakan faktor besar kepada lahirnya kitab-kitab karangan Imām Al-Ghazali yang ingin mengekang penyelewengan aqidah dan pemikiran umat Islam, seperti kitabnya ‘Iyā’ ʿUlum Ad-Dīn’ dan ‘Al-Munqiz Min Ad-Dhalāl’.

Menurut Az-Zabdani (2011), terdapat dua peristiwa besar di zaman ini yang signifikan:

  1. 50 tahun pertama kurun ini menyaksikan penguasaan golongan Baṫiniyyah ke atas tanah-tanah Islam. Melalui kerajaan Al-Buwihiyyah, golongan ini menindas Ahli As-Sunnah dan melakukan pelbagai masalah. 50 tahun terakhir kurun ini pula menyaksikan penguasaan berpindah ke tangan kerajaan As-Salājiqah yang memerintah hinggalah kejatuhan kerajaan Abbasiyyah di Baghdad pada tahun 656 Hijrah. Perpindahan kuasa ini pada awalnya meredakan masalah yang dilakukan oleh kerajaan Al-Buwihiyyah. Walau bagaimanapun, perselisihan antara pemimpin As-Salājiqah kembali merumitkan situasi politik.
  2. Golongan Baṫiniah menjadi ancaman dahsyat dari dalam kepada umat Islam. Kemuncak pengkhianatan golongan ini ialah apabila mereka melakukan projek pembunuhan pemimpin dan pemikir umat Islam. Insan terpenting yang mati di tangan mereka ialah Niẓām Al-Mulk, ahli politik ulung umat Islam ketika itu.

3.   Situasi sosial

Ketidakstabilan sosiologi yang berpunca daripada gerakan Baṫiniah, memberi kesan yang besar terhadap masyarakat Islam pada waktu itu. Pelbagai krisis seperti kekeliruan pemikiran, isu keselamatan, rompakan dan rampasan harta telah dicetuskan oleh kelompok Baṫiniah.

Menurut Al-Khatib (1986), keruntuhan sosiologi yang berlaku pada zaman tersebut amat dahsyat. Kelompok Baṫiniah menjadi punca wujudnya suasana ketakutan dan kebimbangan bagi seluruh lapisan masyarakat. Ahli masyarakat tidak dapat memberi kesetiaan dan kepercayaan sesama mereka, lantaran pengaruh  Baṫiniah yang tersebar luas antara mereka.

Kehidupan sosial pada zaman ini telah hilang keseimbangan dan tabiatnya yang semulajadi. Pengangguran, kelalaian, kejahilan, dan kemunafikan berleluasa. Masyarakat akhirnya terdedah kepada dua ancaman utama iaitu kepincangan pemikiran kelompok Baṫiniah dan kerosakan sosial serta kekecamukan akhlak.

4.   Situasi ekonomi

Keadaan ekonomi ketika ini berada pada tahap yang buruk. Taraf hidup merudum dan harga barang meningkat dengan teruk. Berkata Ibnu Al-Athīr (1998) tentang sejarah persitiwa pada tahun 401 Hijrah, “Harga barang meningkat di seluruh Khurasan, dan makanan ruji hampir tiada” serta “berlaku wabak yang dahsyat hingga manusia yang mati terlalu ramai dan tidak mampu dikebumikan semuanya.”

Dirumuskan, kehidupan ekonomi pada tempoh ini dibayangi oleh ketidakstabilan kondisi keamanan, pengabaian kepentingan umum, kenaikan harga barang, kebuluran, pembaziran di kalangan orang-orang kaya, ketamakan serta rampasan harta oleh para penguasa dan pengikutnya.

 

syed israak_3

 

Ustaz Syed Ahmad Israa’ bin Syed Ibrahim
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)
 
Siri 2: http://muis.org.my/2014/04/fiqh-siyasah-imam-al-juwaini-dan-aplikasinya-dalam-pengamalan-demokrasi-siri-2/

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 1682 access attempts in the last 7 days.