Baitul MaqdisBeritaDunia IslamKenyataan RasmiMalaysiaUmumUtama

Para Ulama dan Asatizah Perlu Melipatgandakan Usaha Memberi Kefahaman dan Mengekalkan Roh Jihad kepada Umat”

Kenyataan Rasmi Muafakat Ilmuan Islam (MUIS) Berkenaan Situasi Gaza dan Tanggungjawab Umat Islam

Muafakat Ilmuan Islam (MUIS) kekal konsisten dalam menyokong serta membimbing umat Islam untuk meneruskan usaha dalam memperjuangkan pembebasan Palestin daripada penjajahan.

MUIS turut menegaskan komitmennya dengan meneguhkan semula sembilan resolusi yang telah dipersetujui dalam Muzakarah Permasalahan Syarak Berkaitan Perjuangan Palestin pada 18 November 2023, seperti berikut:

  1. Kewajipan Membantu Palestin
    Menjadi WAJIB ke atas setiap umat Islam, tanpa mengira kedudukan sebagai pemimpin atau rakyat, untuk menyokong perjuangan pembebasan Palestin daripada penjajahan Zionis Israel. Perjuangan ini termasuk dalam kategori jihad seperti yang diperintahkan dalam al-Quran dan Hadis. HARAM hukumnya bersikap berkecuali apabila tanah umat Islam dirampas dan saudara seagama dizalimi.
  2. Larangan Memberi Sokongan Kepada Penjajah
    HARAM bagi mana-mana individu, organisasi mahupun kerajaan memberikan sebarang bentuk bantuan kepada penjajah Israel. Umat Islam WAJIB menggunakan segala kemampuan termasuk kekuatan ekonomi untuk memboikot produk dan perkhidmatan yang menyokong rejim Zionis. Kegagalan melaksanakan usaha ini boleh dianggap sebagai bersubahat dengan penjajah.
  3. Keutamaan Jihad Harta
    MUIS menyeru umat Islam agar mengutamakan perbelanjaan ke arah Jihad Harta untuk Palestin, melebihi perkara-perkara sunat. Perbelanjaan yang tidak perlu hendaklah ditangguhkan, dan pembaziran harus dielakkan.
  4. Ketelusan Organisasi Pengurusan Dana
    MUIS berpandangan bahawa jihad harta mesti diteruskan sehingga Palestin dibebaskan, melalui organisasi yang telus dan amanah. Organisasi yang mengurus kutipan dana hendaklah memastikan segala sumbangan sampai kepada sasaran, beroperasi mengikut hukum syarak, dan bekerjasama tanpa persaingan atau fitnah yang merosakkan keyakinan masyarakat.
  5. Palestin Tanah Waqaf Umat Islam
    Tanah Palestin adalah tanah waqaf milik umat Islam. Oleh itu, HARAM untuk menyerahkan walau seinci tanah tersebut kepada penjajah dalam apa jua bentuk — sama ada melalui penjualan, hadiah, atau paksaan mengosongkan tanah. Umat Islam WAJIB membantu rakyat Palestin kekal di tanah air mereka melalui bantuan kewangan, sokongan moral dan kempen kesedaran.
  6. Penolakan Penyelesaian Dua Negara (Two-State Solution)
    MUIS menolak sekeras-kerasnya penyelesaian Two-State Solution kerana ia bermakna sebahagian tanah Palestin diserahkan secara sah kepada penjajah. MUIS turut menggesa kerajaan untuk menolak solusi ini secara rasmi.
  7. Peranan Institusi Ulama
    MUIS menggesa agar institusi ulama rasmi dan bukan rasmi menyatakan pendirian tegas mengenai kewajipan membebaskan Palestin, sejajar dengan suara institusi ulama antarabangsa. Kesepaduan ini penting untuk membimbing umat serta menyuntik semangat kepada para mujahidin di medan jihad.
  8. Penggunaan Dana Zakat untuk Palestin
    MUIS mencadangkan agar pusat-pusat zakat negeri menyalurkan dana zakat kepada Palestin melalui asnaf fi sabilillah, memandangkan pejuang Palestin menepati definisi tersebut. Ini juga sebagai simbol solidariti dan kesedaran bahawa kesemua kategori asnaf wujud di bumi Palestin.
  9. Pendidikan dan Kesedaran Masyarakat
    Para ulama dan asatizah perlu melipatgandakan usaha dalam mendidik masyarakat dan memastikan ruh jihad kekal subur dalam jiwa umat. MUIS mencadangkan agar JAKIM menyelitkan modul “Sejarah al-Aqsa” dalam pengajaran masjid dan surau melalui guru takmir. MUIS bersedia untuk bekerjasama dalam pembangunan modul ini.

MUIS mendoakan agar Allah SWT memberikan kemenangan kepada umat Islam, membebaskan al-Aqsa, serta memasukkan kita dalam kalangan mujahidin dan murobitin.

Isnin, 7 April 2025
8 Syawal 1446H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *