Apakah tanda amalam kita diterima?
- Benar, tiada siapa yang mengetahui samada amalan mereka diterima Allah atau tidak. Namun sebahagian sarjana Muslim memberikan pandangan bahawa terdapat tanda-tanda amalan seseorang itu diterima. Antaranya ialah:
- Pertama: Dia tidak kembali kepada maksiat. Ini adalah tanda yang paling utama. Seharusnya amalan seseorang menjauhkan diri mereka dari maksiat. Amalan tersebut menjadi sebati dalam dirinya, membentuk darah dagingnya sehingga menjadikan dirinya membenci maksiat.
al-Imam Ibn al-Qayyim berpesan di dalam kitab Madarij al-Salikin:
أما إذا تذكَّر الذنبَ ففرح وتلذَّذ فلم يُقبل، ولو مكث على ذلك أربعين سنة
“Adapun sekiranya seseorang itu (setelah melakukan ibadah) masih merasa seronok dengan dosa, ketahuilah bahawa ia adalah (tanda-tanda) amalan tidak diterima sekalipun dia melakukan amal kebajikan selama 40 tahun.” (Ibn al-Qayyim, Madarij al-Salikin)
Dengan sebab itu al-Imam al-Hasan al-Basri menegaskan:
فإذا قبل اللهُ العبدَ فإنه يُوفِّقه إلى الطاعة، ويَصْرفه عن المعصية
“Sekiranya Allah menerima amalan seseorang, maka dia akan membimbingnya untuk melakukan ketaatan yang seterusnya dan memalingkan hambaNya dari maksiat.”
- Kedua: Amal kebaikannya seharusnya menghasilkan kebaikan yang lain. Dalam perihal ini al-Imam al-Hasan al-Basri berkata:
إنَّ مِن جزاءِ الحسَنةِ الحسَنة بَعْدَها، ومِن عقوبةِ السيئةِ السيئةُ بعدها
“Salah satu pulangan amal soleh adalah, ia menghasilkan amal soleh yang lain. Dan sekiranya dia melakukan kejahatan, kejahatan tersebut akan menghasilkan kejahatan yang seterusnya.
Malah al-Hasan mengingatkan kita bahawa: “Sekiranya kebaikanmu tidak memberikan pertambahan (amal), maka di situ pasti ada kekurangan (kesempurnaan amalan tersebut).
- Ketiga, Istiqamah dengan Amal Soleh. al-Imam Ibn Kathir menyebut: Sesungguhnya telah menjadi fitrah manusia di mana Allah akan mencabut nyawa seseorang itu dengan amal yang dilakukan secara konsisten. Sekiranya seseorang konsisten melakukan kebaikan, maka dia akan mati dalam kebaikan. Sekiranya seseorang konsisten dengan kemungkaran, maka dibimbangi dia akan mati dengan perbuatan yang telah biasa dia lakukan.
Dengan sebab itu al-Bukhari merekodkan satu insiden yang menarik. Seorang sahabat telah meninggal ketika menunaikan haji. Ketika meninggal, dia masih berpakaian ihram. Lalu Rasulullah meminta para sahabat mengkafankan beliau dengan pakaian ibadah tersebut. Sabda Rasulullah:
كفِّنوه بثوبيه؛ فإنه يُبعَث يوم القيامة ملبِّيًا
Kafankan beliau dengan pakaiannya, sesungguhnya dia akan dibangkitkan pada hari kiamat dalam keadaan bertalbiyyah (lafaz talbiah Haji yang memuji Allah).
Moga Allah menganugerahkan kita pengakhiran yang baik.
Dr. Ahmad Sanusi Azmi
Timbalan Pengerusi MUIS