Salam Ulang Tahun Kemerdekaan ke-66 daripada MUIS
MUIS mengucapkan selamat ulang tahun kemerdekaan yang ke-66 buat seluruh rakyat Malaysia khususnya buat seluruh Umat Islam di tanah air.
Kemerdekaan negara perlu disambut dan dihayati secara bijak dan berstrategi. Mesti seimbang antara mensyukuri nikmat kemerdekaan dan tidak terlalu selesa dan gembira sehingga kita lupa tanggungjawab yang perlu dilakukan pada masa akan datang.
Para penjajah, apabila keluar dari negera ini tidaklah meninggalkan kita dalam keadaan kuat sepertimana sebelum kedatangan mereka. Hakikatnya terlalu banyak perkara perlu dirawat dan diperbaiki selepas kita mencapai kemerdekaan.
Islam sebagai cara hidup yang telah diamalkan di negara kita dari sudut perundangan, teknologi dan sebagainya telah ditukar kepada sistem hidup yang tidak bertunjang kepada tauhid .
Sesungguhnya kemerdekaan yang kita capai merupakan pintu kecil atau anak tangga pertama dan diikuti dengan proses merawat dan memperbaiki kerosakan yang ditinggalkan oleh penjajah.
Sesungguhnya proses merawat kerosakan yang ditinggalkan oleh penjajah memerlukan perjalanan yang panjang.
MUIS mengajak seluruh umat Islam bersatu padu, mengelakkan perbezaan yang tidak sepatutnya berlaku dalam mengharungi “jihad” ini.
Dato’ Haji Zamri bin Hashim
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)