Soal Jawab

Maksud tenang dengan mengingati Allah

Assalamualaikum ustaz,

Saya ingin bertanya ttg tafsiran ayat yg bermaksud "hanya dengan mengingati Allah hati menjadi tenang"

Jawapan:

Apabila dirujuk kepada pentafsiran ulama tentang ayat:

Orang-orang yang beriman dan hati mereka manjadi tenteram dengan mengingat Allah. Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah  hati menjadi tenteram. (al-Ra`d:28)

 

Al-Mawardi mentafsirkan “zikrullah”  dengan maksud ketaatan, balasan dan janji Allah SWT.

Sementara Ibn Asyur  mengatakan  “zikrullah”   bermaksud perasaan takut dan menjaga diri dengan melakukan suruhan dan meninggalkan larangan. Ia juga bermaksud al-Quran dan zikir dengan lidah.

Ringkasnya,  “zikrullah”    bermaksud  kita  menguatkan hubungan dengan Allah SWT  dengan tunduk dan patuh kepada agamaNya dan pengertiannya tidak tertumpu hanya kepada maksud zikir dengan lidah sahaja.

Boleh dikatakan,   kebanyakan   manusia yang mengalami tekanan jiwa  atau  sakit jiwa  disebabkan  hubungan mereka dengan Allah SWT  amat  jauh.  Oleh kerana itu umat Islam jarang  sekali yang  menghadapi tekanan  jiwa,  sebagaimana yang  berlaku kepada umat manusia moden hari ini,  kecuali   gaya hidup umat Islam tidak jauh bezanya dengan orang bukan Islam. Allah SWT berfirman:

Dia-lah yang telah menurunkan ketenangan ke dalam hati orang-orang mukmin supaya keimanan mereka bertambah di samping keimanan mereka (yang telah ada).

Ibnu Abbas mengatakan kalimah “sakinah” dalam al-Quran ditafsirkan dengan “tama’ninah”  (ketenangan ).

Tabiat atau  fitrah  jiwa manusia akan merasai ketenangan:

  • Ketika ia bergantung dan berhubung dengan kuasa yang Maha Agung Allah SWT.
  • Ketika ia mengetahui kehidupan di dunia untuk menikmati nikmat Allah SWT
  • Ketika ia meyakini ia akan  kembali selepas kematian  bertemu dengan Penciptanya
  • Ketika ia meyakini kerugian  mengikut  kacamata dunia akan diganti pada hari akhirat
  • Ketika ia mengetahui Allah SWT akan menolongnya dalam setiap situasi, sama ada kesenangan  bagi menambahkan kebaikan atau kesusahan untuk menyelamatkannya.

Allah SWT berfirman:

Hai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu pelajaran dari Tuhanmu dan penyembuh bagi penyakit-penyakit (yang berada) dalam dada dan petunjuk serta rahmat bagi orang-orang yang beriman. Katakanlah: "Dengan kurnia Allah dan rahmat-Nya, hendaklah dengan itu mereka bergembira. Kurnia Allah dan rahmat-Nya itu adalah lebih baik dari apa yang mereka kumpulkan". (Yunus 57)

 

Wallahu a`lam….

 

Rujukan:

Tafsir al-Qurtubi

Tafsir al-Mawardi, Ibnu Asyur

Al-Maktabah al-Shamilah

Islamonline.

 

Disediakan oleh:
Ustaz Razali Musa
Ahli Panel MUIS

3 thoughts on “Maksud tenang dengan mengingati Allah

  • setiap amalan mesti ada buah nya. amalan berzikir akan memberi ketenangan secari fizikal.
    insyallah mereka  yang mengamal kan zikirullah sehingga bergetar hati mereka akan merasa kelazatan yang amat indah. Setiap kali hati bergetar, hati akan mengeluarkan satu  kelazatan yang dapat dirasai secara fizikal dan kesedapan ini akan  meresap ke seluruh tubuh badan.
    Berutung kepada mereka yang dapat merasai kelazatan ini.
     
     

  • razali musa

    Manusia ingat kepada Allah SWT ketika susah dan melupakanNya  semasa  senang merupakan tabiat dan perangai manusia yang lumrah. Lantaran itu,  Allah SWT   menyebut dalam al-Quran beberapa kali. Sila rujuk  sebagai contoh, surah Yunus:12, Fussilat: 51, Israk: 67 dan al-Nahl: 51.
    Secara ringkasnya, manusia ketika susah ingat dan berdoa kepada Allah SWT dan sebaliknya apabila diberi nikmat ia berpaling dan lupa kepada nikmat dan kurnia Allah SWT kepadanya.
    Bagi seorang mukmin yang menyiapkan dirinya untuk menegakkan agama Allah SWT, medan jiwanya sendiri adalah salah satu medan jihad yang perlu ditempuhi untuk melayakkan dirinya bergelar mujahid.
    Syaikh Sa`id Hawwa menerangkan dalam buku Tarbituna al-Ruhiyyah bagaimana mujahadah boleh dilakukan. Pertama,  dengan beriman dengan keesaan Allah SWT. Kedua, melaksanakan kewajipan waktu seperti solat, puasa, zakat, haji, kahwin, jual beli yang halal dan silaturrahim. Kesemuanya itu mengikut keperluan semasa setiap individu dan ia berbeza antara seseorang dengan seseorang yang lain. Ketiga, melakukan perkara sunat dalam ibadat, seperti solat, zakat, puasa iktikaf, haji , doa, zikir dan lain-lain lagi.
    Dalam perjalanan ini manusia mengalami pasang surut mengikut kekuatan iman seseorang. Inilah yang dikatakan mujahadah yang memerlukan kekuatan jiwa. Jika tidak sudah tentu ia tidak dinamakan jihad

  • himmah 'aliyyah

    jazakallahu khair kpd yg menanya dan menjawab. bagaimana pula dgn org yg hanya mengingati Allah ketika susah dan melupakanNya diwaktu senang. bagaimana nak didik jiwa supaya mudah ingat Allah sewaktu senang?

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *