AqidahKolumnisSyariahUtama

Allah Tuhan Semesta Alam, Mengapa Pula Kristian dan Agama Lain Tak Boleh Guna Kalimah Allah?

Hangat kembali isu penggunaan kalimah Allah oleh mereka yang bukan Islam.

Kerajaan Malaysia baru-baru ini menarik balik rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang memutuskan penganut agama Kristian boleh menggunakan kalimah ‘Allah’ dan tiga perkataan Arab yang lain dalam penerbitan bahan agama mereka bagi tujuan pembelajaran.

Keputusan Mahkamah Tinggi itu dibuat pada 10 Mac 2021 selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman seorang wanita beragama Kristian, Jill Ireland Lawrence Bill yang memohon pengisytiharan mengenai hak Perlembagaannya berhubung penggunaan kalimah Allah dalam penerbitan agama berkenaan.

Saya tidak ingin mengulas isu ini dari sudut undang-undang. Cukup untuk saya mengajak semua umat Islam agar cakna dan sedar akan tuntutan pihak yang bukan Islam dalam isu ini dan izinkan saya berkongsi pengalaman peribadi beberapa tahun yang lepas.

Isu yang timbul baru-baru ini sebenarnya telah lama diperjuangkan oleh orang Kristian di Malaysia kira-kira 15 tahun lalu dan akan berterusan. Mengingatkan saya tentang kebencian dan dendam Yahudi dan Nasrani kepada Islam yang termaktub dalam Al-Quran. Firman Allah SWT:

وَلَن تَرضىٰ عَنكَ اليَهودُ وَلَا ٱلنَّصَـٰرَىٰ حَتّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُم

“Sekali-kali tidak akan redha orang-orang Yahudi dan Nasrani sehinggalah kamu mengikut jalan-jalan hidup (agama) mereka.” (Surah Al Baqarah: 120)

Saya masih ingat, sewaktu belajar di Mesir dahulu, sekitar tahun 2008-2010, Malaysia telah digemparkan dengan isu penggunaan nama Allah ini. Ketika itu, hebat diperdebatkan tentang kebenaran yang diberikan kepada akhbar mingguan kristian “Herald” untuk menggunakan perkataan “Allah” dalam akhbar dan apa sahaja penerbitannya.

Majlis Fatwa Kebangsaan telah memutuskan untuk tidak membenarkan penggunaan nama Allah bagi penganut Kristian. Pihak NGO dan pertubuhan-pertubuhan Islam lain juga berjuang untuk mempertahankan isu ini. Sultan Selangor telah bertitah agar semua berpegang teguh dengan pendirian pengharaman penggunaan kalimah Allah oleh agama lain.

Betapa hangatnya isu ini ketika itu sehingga sampai ke Mesir, saya dijemput oleh Huda.Tv untuk memberi pandangan tentang isu ini. Berdebar juga konon-konon nak mewakili rakyat Malaysia bercakap tentang isu ini. Bagaimana mereka menghubungi saya pun sebenarnya dah lupa. Mungkin melalui guru Bahasa Arab saya di Markaz Lughah (Pusat Bahasa Arab) iaitu Ustaz Sherif Fadl.

Kalau diikutkan, orang-orang bukan Islam khususnya Kristian di negara Mesir memang biasa sahaja menggunakan kalimah Allah seperti mana orang Islam. Itu yang buat mereka tertanya-tanya tentang isu ini. Mengapa orang Islam di Malaysia bersungguh-sungguh menghalang orang bukan Islam menggunakan kalimah Allah?

Mencabar juga nak menerangkan keadaan ini dalam sesi temu bual tersebut. Waqi’ atau situasi di Mesir dan Malaysia sangatlah berbeza.

Persoalan utama yang diajukan ketika itu adalah:

“Allah Tuhan semesta alam. Allah Tuhan kita semua. Tuhan orang Islam, Kristian, Buddha, Hindu dan semua agama. Jadi, sepatutnya bolehlah semua agama menggunakan kalimah Allah. Kenapa hanya diterhadkan kepada orang Islam?”.

Jawapan saya:

Ya benar. Allah adalah Tuhan umat Islam dan juga Tuhan Semesta Alam. Tetapi adakah Allah yang dimaksudkan oleh agama lain adalah Tuhan yang Maha Esa, Tuhan yang satu seperti kita orang-orang Islam percaya? Tentu sekali tidak kerana kepercayaan kita berbeza.

Bagi orang kristian, mereka mempercayai Nabi Isa (Jesus) sebagai anak Tuhan (anak Allah). Sebahagian Kristian mempercayai bahawa Nabi Isa itulah Tuhan (Lord). Ada yang mempercayai konsep Trinity (3 Tuhan termasuklah Allah Bersama Tuhan yang lain). Jika mereka boleh menggunakan nama Allah, maka selepas ini, mereka akan mengatakan Allah pernah ditangkap dan disalib.  Kalau orang Hindu pula diberi keizinan untuk guna nama Allah, nanti mereka boleh suka-suka mengatakan Allah berupa lembu, beranak dan lain-lain lagi. Maha suci Allah daripada tuduhan-tuduhan ini. Untuk mengelakkan kekeliruan, seharusnya kalimah Allah hanya digunakan oleh orang Islam untuk merujuk Tuhan yang Maha Esa bukan yang selain-Nya.


Persoalan seterusnya:

“Kenapa agama lain tak boleh menggunakan kalimah Allah? Di Mesir, percakapan dan urusan seharian orang Kristian sama sahaja dengan Muslim bila menyebut Wallahi (ketika bersumpah), Yalla (jom), insya-Allah dan banyak lagi. Kitab Injil juga dalam Bahasa Arab dan menggunakan lafaz Allah. Jadi, agak pelik mengapa orang Islam di Malaysia marah orang Kristian di Malaysia nak guna nama Allah? Dah kenapa tak boleh pula nak guna kalimah Allah ini. Apa salahnya kan kalau semua agama di Malaysia nak guna kalimah Allah?”.

Jawapan saya:

Bagi saya, penggunaan kalimah Allah di Mesir sudah sebati dan menjadi darah daging. Walau apa pun agama, mereka telah biasa menggunakannya kerana bertutur dalam bahasa Arab. Berbanding jika digunakan di Malaysia. Budaya kita tidak biasa berkongsi penggunaan nama Allah bagi semua agama. Agak pelik dan boleh menimbulkan kekeliruan. Jadi lebih baik dielakkan. Di negara jiran Indonesia contohnya telah banyak kekeliruan yang timbul apabila kitab Injil mereka adalah dalam Bahasa Indonesia yang turut menggunakan kalimah Allah. Gereja-gereja mereka juga menggunakan kalimah Allah dalam konteks seperti “Yesus Anak Allah”. Kita tak mahu perkara ini berlaku di Malaysia.

Kita mengambil berat isu ini kerana kekeliruan yang timbul akan memberi kesan kepada generasi muda. Sekiranya isu ini berterusan, ia akan memberi implikasi jangka masa panjang pada generasi muda yang tidak mengerti apa-apa, apatah lagi pegangan serta akidah mereka longgar. Dakyah ini perlu dihentikan, mereka (pihak bukan Islam yang menuntut penggunaan kalimah Allah) perlu berpegang pada perlembagaan dan menghormati agama Islam sebagai agama rasmi negara ini.

**Tamat temu bual**

Untuk isu yang sedang berlaku buat masa ini, kita sama-sama mengharapkan para pimpinan Muslim di peringkat Parlimen dan semua peringkat untuk memperjuangkan isu ini agar kalimah Allah dipelihara daripada segala penyelewengan.

Buat semua umat Islam, menjadi kewajipan kita untuk menjaga kemuliaan nama Allah dan mempertahankan kalimah Allah yang suci ini daripada dipermainkan serta diperkotak-katikkan oleh musuh Allah.

Kerajaan perlu mengambil kira dan menghormati keputusan Jawatankuasa Muzakarah, Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam (MKI) dalam isu penggunaan kalimah ‘Allah’.

Semoga hak penggunaan nama Allah ini harus terus dipertahankan kerana ia adalah sebahagian daripada usaha-usaha untuk memelihara agama Islam yang suci ini.

Wallahua’lam.

***

Disertakan di sini Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Mengenai Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah untuk rujukan.

Keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Mengenai Isu Tuntutan Penganut Kristian Terhadap Penggunaan Kalimah Allah

Bil. Muzakarah: Kali Ke-82

Tarikh: 5 Hingga 7 Mei 2008

Tempat: Holiday Villa Hotel & Suites Alor Star Kedah

1)  Ulasan/Hujah

i.  Perkataan Allah yang digunakan oleh umat Islam adalah merujuk kepada Allah Yang Maha Esa dan lafaz Allah yang telah digunakan oleh orang-orang Kristian adalah merujuk kepada ‘Tuhan Bapa’ iaitu salah satu oknum daripada akidah triniti. Ia berbeza sama sekali dengan apa yang dimaksudkan oleh Reverand Datuk Murphy Pakiam, Archbishop of Kuala Lumpur bahawa perkataan Allah telah lama digunakan oleh orang-orang Kristian sejak sebelum kedatangan Rasulullah s.a.w. Selain daripada itu, lafaz Allah juga tidak pernah disebut di dalam teks bahasa Greek yang merupakan bahasa asal penulisan Bible. Ini adalah kerana  perkataan Tuhan di dalam bahasa Greek adalah ‘Theos’ bukannya Allah.

ii.  Perkataan Allah juga tidak pernah terdapat di dalam bahasa asal Perjanjian Lama yang dikenali sebagai Taurat dan Perjanjian Baru yang dikenali sebagai Bible. Ini adalah kerana Perjanjian Lama ditulis dalam bahasa Hebrew manakala Perjanjian Baru ditulis dalam  bahasa Greek. Perkataan Hebrew yang membawa maksud Tuhan ialah El, Eloh, Elohim dan juga Yhwh.

iii.  Kalimah Allah Lafz al-Jalalah adalah khusus dan mutlak untuk agama Islam dan mafhumnya berbeza dengan mafhum Allah yang digunakan oleh agama lain seperti Kristian.

iv.  Perintah mahkamah yang dipohon oleh Catholic Herald Weekly untuk mengisytiharkan bahawa larangan penggunaan kalimah Allah yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Dalam Negeri adalah bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan dan bukan eksklusif kepada agama Islam boleh memberi kesan yang besar kepada kedudukan agama Islam sekiranya orang Islam sendiri tidak peka dan perhatian yang sewajarnya tidak diberikan oleh pihak berkuasa agama di negara ini.

v.  Walaupun dari segi sejarah kalimah Allah telah digunakan sejak sebelum kedatangan Islam lagi, namun penggunaannya adalah berbeza dan perlu dilihat dari segi substancenya. Kalimah Allah yang digunakan oleh Kristian adalah bersifat Taslis dan syirik, sedangkan bagi Islam ia bersifat tauhid.

vi.  Kalimah Allah merupakan lafaz suci yang perlu dijaga dan  berkait dengan akidah. Umat Islam perlu peka dan bertanggungjawab dalam isu ini. Sikap membenarkan sesiapa sahaja menggunakan kalimah tersebut semata-mata untuk menunjukkan bahawa Islam meraikan agama lain hanya akan mendatangkan mudharat yang lebih besar kepada agama dan umat Islam.

vii.  Umat Islam perlu  tegas dalam menjaga kesucian dan identiti agama kerana bersikap terlalu terbuka sehingga membenarkan perkara-perkara yang menjadi hak Islam disalahgunakan oleh agama lain adalah amat merbahaya kerana matlamat utama Kristian menggunakan kalimah Allah adalah untuk  mengelirukan umat Islam dan menyatakan bahawa semua agama adalah sama.

viii.  Kalimah Allah sebenarnya tidak ada di dalam Bible, yang digunakan ialah perkataan God. Tetapi di dalam Bible yang diterjemahkan ke bahasa Melayu, perkataan God diterjemahkan sebagai Allah.

ix.  Isu penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam ini melibatkan isu berkaitan Siasah Syar’iyyah dan Kerajaan wajib menjaga kesucian agama dan umat Islam. Fatwa perlu dikeluarkan oleh Jawatankuasa Fatwa Negeri supaya kesucian agama dan akidah umat Islam dapat dipertahankan.

x.  Pertimbangan Jawatankuasa dalam melarang penggunaan kalimah Allah oleh agama bukan Islam bukan hanya dilihat dari aspek keselamatan, tetapi faktor utama adalah berasaskan kepada akidah dan kesucian agama Islam.

xi.  Dalam keadaan di mana agama dan umat Islam dihimpit dengan pelbagai gerakan yang cuba menghakis kedaulatan Islam sebagai agama rasmi negara, umat Islam perlu bersatu dan menunjukkan ketegasan dalam menjaga maruah agama.

xii.  Larangan terhadap penggunaan kalimah Allah ini telah diputuskan oleh Jemaah Menteri pada 16 Mei 1986 yang memutuskan empat (4) perkataan khusus iaitu Allah, Solat, Kaabah dan Baitullah tidak dibenarkan penggunaannya oleh bukan Islam. Pada masa ini terdapat 10 buah negeri telah memperuntukan larangan penggunaan kalimah Allah dalam Jadual kepada Enakmen Kawalan Dan Sekatan Pengembangan Agama Bukan Islam Kepada Orang Islam kecuali Sabah, Sarawak, Pulau Pinang dan Wilayah Persekutuan yang masih dalam proses menggubal Enakmen ini.

2)         Keputusan

i.  Setelah meneliti keterangan, hujah-hujah dan pandangan yang dikemukakan, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa Lafaz Allah merupakan kalimah suci yang khusus bagi agama dan umat Islam dan ia tidak boleh digunakan atau disamakan dengan agama-agama bukan Islam yang lain.

ii.  Oleh itu, wajib bagi umat Islam menjaganya dengan cara yang terbaik dan sekiranya terdapat unsur-unsur penghinaan atau penyalahgunaan terhadap kalimah tersebut, maka ia perlu disekat mengikut peruntukan undang-undang yang telah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.

Ustazah Nur Fatin Bt Halil

Timbalan Setiausaha Agung

Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *