Apa Yang Sepatutnya Difahami Tentang Tema Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran
Tanggal 12 Rabiul Awal, seluruh umat manusia akan memperingati kelahiran dan pengorbanan junjungan Nabi Muhamad SAW. Baginda telah membawa umat keluar dari gelapnya kehidupan mencakupi pelbagai aspek kehidupan. Sesuai dengan tema Maulidur Rasul pada tahun ini iaitu “Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran”, marilah kita menelusuri bagaimana Rasulullah berjaya menyelesaikan pelbagai krisis dan cabaran dengan berkesan melalui konsep Kemakmuran dan Perpaduan di kalangan rakyat.
Keluarga Malaysia Pemangkin Kemakmuran
Konsep ‘Keluarga Malaysia’ yang berteraskan Keterangkuman, Kebersamaan dan Kesyukuran jelas menunjukkan bahawa seluruh rakyat Malaysia perlu bersatu dan berganding bahu agar negara tercinta ini akan dipacu keluar daripada krisis yang melanda sehingga membawa kepada kesejahteraan rakyat. Krisis ekonomi boleh membawa kepada krisis kesihatan, juga boleh membawa kepada krisis mental dan begitulah kitarannya. Justeru, seluruh rakyat Malaysia berbilang bangsa dan agama harus berganding bahu dalam menyelesaikan krisis yang boleh meruntuhkan perpaduan negara ini.
Rasulullah menangani krisis
Pelbagai cara yang ditunjukkan baginda nabi dalam menangani krisis. Tidak dapat disangkal bahawa atara faktor kejayaan Rasulullah dalam menangani krisis adalah membina akidah yang mendalam yang dapat membina akhlak dan inovasi dalam kalangan para sahabat. Seterusnya pelbagai cara dan strategi yang digunakan oleh Rasulullah telah terbukti keberkesanannya. Dalam penulisan ini, penulis membawa dua strategi yang telah dibawa oleh Rasulullah SAW di dalam menangani krisis:
1. Saling membantu dan meningkatkan kecaknaan dalam komuniti
Rasulullah menekankan untuk meningkatkan kepekaan di kalangan komuniti dalam menempuh fasa yang mencabar, seperti maksud hadis Riwayat Bukhari dan Muslim iaitu; Seseorang mukmin dengan mukmin lain itu umpama batu bata bangunan yang saling menguatkan binaannya sesama sendiri, sambil Baginda s.a.w menunjukkan jemari kedua tangannya digenggam erat.
Sewajarnya segenap lapisan masyarakat mempertingkatkan tahap kecaknaan dalam komuniti untuk saling bantu membantu. Bantuan ekonomi dan sosial dalam kalangan masyarakat bukan sahaja dapat membantu ekonomi masyarakat malah dapat meningkatkan keharmonian dan perpaduan dalam kalangan masyarakat.
2.Merialisasikan perpaduan masyarakat
Malaysia berhadapan dengan isu perpaduan yang sangat rapuh. Untuk menghadapi krisis ekonomi, seharusnya seluruh rakyat perlu bersatu. Semua pihak perlu mengenepikan kepentingan peribadi dan meletakkan kepentingan rakyat dan negara sebagai keutamaan.
Perkara pertama yang dilakukan oleh Nabi SAW ketika mengasaskan negeri Madinah adalah meningkatkan perpaduan. Perpaduan sosial dan ekonomi berpaksikan keimanan dan ketakwaan yang mendalam kepada Allah telah berjaya dibentuk oleh Rasulullah SAW di kalangan para sahabat khususnya golongan Ansar dan Muhajirin.
Tidak cukup sekadar asas keimanan dan ketakwaan yang mendasari persefahaman ini, Rasulullah SAW malah merangka suatu perjanjian atau piagam Madinah bagi menjamin perpaduan yang berterusan dalam kalangan komuniti Islam ketika itu. Strategi yang efektif ini dapat meningkatkan sistem sosial, ekonomi dan politik. Dalam Piagam Madinah, jelas terbukti kerjasama dan perpaduan di kalangan penduduk Madinah yang terdiri daripada masyarakat berbilang bangsa dan agama dapat dibina sehingga segala perbezaan yang berlaku dapat diuruskan secara matang.
Krisis-krisis yang berlaku telah berjaya ditangani Baginda Rasulullah SAW dengan bijak berasaskan pedoman Al-Quran dan As-Sunnah. Solawat dan salam buat junjungan Nabi Muhammad SAW.
Ustazah Nasyitah Farhanah bt Johari Faisal
Penyelidik MUIS