DakwahKolumnis

KEUNGGULAN FALSAFAH DAKWAH RASULULLAH SAW MENURUT AL-QURAN

Rasulullah SAW merupakan ikon yang perlu dijadikan idola untuk para pendakwah masa kini yang setiap hari, siang dan malam bertungkus-lumus menjayakan projek dakwah demi memastikan semua manusia di muka bumi ini merasa sentuhan dakwah yang diwariskan oleh Rasulullah SAW. Berdasarkan sirah kehidupan Rasulullah SAW, kita dapat lihat beberapa falsafah dakwah yang dipegang oleh Rasulullah dan ia dibuktikan melalui kitab suci al-Quran al-Karim. Antaranya ialah:

  1. Sentiasa mendoakan mad’u (sasaran dakwah)

وَإِذَا قِيلَ لَهُمْ تَعَالَوْا۟ يَسْتَغْفِرْ لَكُمْ رَسُولُ ٱللَّهِ لَوَّوْا۟ رُءُوسَهُمْ وَرَأَيْتَهُمْ يَصُدُّونَ وَهُم مُّسْتَكْبِرُون

Maksudnya: Dan apabila dikatakan kepada mereka: Marilah (beriman), agar Rasulullah memintakan ampunan bagimu, mereka membuang muka mereka dan kamu lihat mereka berpaling sedang mereka menyombongkan diri.

(Al Munafiqun: 5)

Ayat diatas menunjukkan bahawa Rasulullah SAW sentiasa mendoakan umatnya walaupun sering mendapat tentangan terhadap dakwah yang disampaikan. Hal ini dapat dibuktikan melalui peristiwa dakwah Rasulullah SAW di Thaif yang mendapat tentangan yang sangat hebat dari sudut fizikal dan mental. Walaupun beliau dihina, ditomah dan dibaling dengan batu sehingga menitik darahnya ke bumi, ketika ditanya oleh Malaikat Jibril sama ada Rasulullah ingin supaya Allah SWT membinasakan penduduk Thaif, Rasulullah menolak bahkan terus mendoakan umatnya dengan ungkapan yang sangat indah yang bermaksud:

“Ya Allah berikanlah petunjuk kepada kaumku, sesungguhnya mereka tidak mengetahui.”

2. Berperibadi mulia dan menjadi contoh teladan yang baik

 لَقَدْ كَانَ لَكُمْ فِيْ رَسُوْلِ اللّٰهِ اُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَنْ كَانَ يَرْجُوا اللّٰهَ وَالْيَوْمَ الْاٰخِرَ وَذَكَرَ اللّٰهَ كَثِيْرًاۗ

Maksudnya: Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu (iaitu) bagi orang yang mengharap (rahmat) Allah dan (kedatangan) hari kiamat dan dia banyak menyebut Allah.

(Al Ahzab: 21)

Sebagai pendakwah, Rasulullah SAW sentiasa menunjukkan contoh teladan yang baik kerana seorang pendakwah bukan sahaja dinilai melalui butir kata yang dituturkan, lebih penting lagi ialah perilaku yang lebih utama menjadi perhatian manusia. Sebaiknya, apa sahaja yang kita ucapkan adalah seiring dengan apa yang kita praktikkan dalam kehidupan seharian.

  • Tidak menjadikan ujian sebagai halangan untuk keluar berdakwah

فَرِحَ ٱلْمُخَلَّفُونَ بِمَقْعَدِهِمْ خِلَٰفَ رَسُولِ ٱللَّهِ وَكَرِهُوٓا۟ أَن يُجَٰهِدُوا۟ بِأَمْوَٰلِهِمْ وَأَنفُسِهِمْ فِى سَبِيلِ ٱللَّهِ وَقَالُوا۟ لَا تَنفِرُوا۟ فِى ٱلْحَرِّ قُلْ نَارُ جَهَنَّمَ أَشَدُّ حَرًّا لَّوْ كَانُوا۟ يَفْقَهُونَ

Maksudnya: Orang-orang yang ditinggalkan (tidak ikut perang) itu, merasa gembira dengan tinggalnya mereka di belakang Rasulullah, dan mereka tidak suka berjihad dengan harta dan jiwa mereka pada jalan Allah dan mereka berkata: “Janganlah kamu berangkat (pergi berperang) dalam panas terik ini”. Katakanlah: “Api neraka jahannam itu lebih sangat panas(nya)” jika mereka mengetahui.

(At Taubah: 81)

Melihat kepada kesabaran Rasulullah SAW melayan ragam umatnya yang merasa gembira apabila terlepas dari menyertai peperangan untuk memperjuangkan Islam, mengingatkan kita kepada pengorbanan para rasul terdahulu yang rela berdepan dengan cabaran dan dugaan yang mencabar demi mempertahankan Islam. Hal ini sepatutnya memberi motivasi kepada para pendakwah kini supaya tidak menjadikan tarikan kerjaya, keluarga dan kekangan masa sebagai alasan untuk tidak terlibat dengan amal dakwah.

3. Bersabar dengan hinaan, celaan dan fitnah yang dilemparkan

وَمِنْهُمُ ٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ ٱلنَّبِىَّ وَيَقُولُونَ هُوَ أُذُنٌ قُلْ أُذُنُ خَيْرٍ لَّكُمْ يُؤْمِنُ بِٱللَّهِ وَيُؤْمِنُ لِلْمُؤْمِنِينَ وَرَحْمَةٌ لِّلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ مِنكُمْ وَٱلَّذِينَ يُؤْذُونَ رَسُولَ ٱللَّهِ لَهُمْ عَذَابٌ أَلِيمٌ

Maksudnya: Di antara mereka (orang-orang munafik) ada yang menyakiti Nabi dan mengatakan: “Nabi mempercayai semua apa yang didengarnya”. Katakanlah: “Ia mempercayai semua yang baik bagi kamu, ia beriman kepada Allah, mempercayai orang-orang mukmin, dan menjadi rahmat bagi orang-orang yang beriman di antara kamu”. Dan orang-orang yang menyakiti Rasulullah itu, bagi mereka azab yang pedih.

(At Taubah: 61)

Sunatullah orang yang membuat kerja dakwah pasti akan berdepan dengan hinaan, celaan dan fitnah yang pelbagai. Ini kerana musuh-musuh Islam giat menyebarkan hasutan, mencipta berita-berita palsu, menyebarkan fitnah agar pendakwah-pendakwah merasa putus asa untuk meneruskan kerja dakwah sekaligus meninggalkan medan ini dan akhirnya musuh-musuh ini akan bermaharajalela menyebarkan fikrah mereka yang menyesatkan manusia.

4. Yakin dengan pertolongan Allah SWT

هُمُ ٱلَّذِينَ يَقُولُونَ لَا تُنفِقُوا۟ عَلَىٰ مَنْ عِندَ رَسُولِ ٱللَّهِ حَتَّىٰ يَنفَضُّوا۟ وَلِلَّهِ خَزَآئِنُ ٱلسَّمَٰوَٰتِ وَٱلْأَرْضِ وَلَٰكِنَّ ٱلْمُنَٰفِقِينَ لَا يَفْقَهُونَ

Maksudnya: Mereka orang-orang yang mengatakan (kepada orang-orang Anshar): “Janganlah kamu memberikan perbelanjaan kepada orang-orang (Muhajirin) yang ada disisi Rasulullah supaya mereka bubar (meninggalkan Rasulullah)”. Padahal kepunyaan Allah-lah perbendaharaan langit dan bumi, tetapi orang-orang munafik itu tidak memahami.

(Al Munafiqun: 7)

Suatu perkara yang menjadikan Rasulullah SAW terus kekal memperjuangkan Islam hingga ke hujung nyawanya ialah keyakinannya terhadap janji Allah bahawa Allah pasti akan menolong hambanya selagi mana kita diatas jalan kebaikan. Apa sahaja yang kita usahakan pada hari ini, yakinlah bahawa Allah sedang menilai, tiada satu pun yang terlepas dari pandangan Allah, maka buat para pendakwah, teruskan berjuang sehingga ke akhir nyawamu.

6. Mengamalkan istikzan dan istisyar

إِنَّمَا ٱلْمُؤْمِنُونَ ٱلَّذِينَ ءَامَنُوا۟ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ وَإِذَا كَانُوا۟ مَعَهُۥ عَلَىٰٓ أَمْرٍ جَامِعٍ لَّمْ يَذْهَبُوا۟ حَتَّىٰ يَسْتَـْٔذِنُوهُ إِنَّ ٱلَّذِينَ يَسْتَـْٔذِنُونَكَ أُو۟لَٰٓئِكَ ٱلَّذِينَ يُؤْمِنُونَ بِٱللَّهِ وَرَسُولِهِۦ فَإِذَا ٱسْتَـْٔذَنُوكَ لِبَعْضِ شَأْنِهِمْ فَأْذَن لِّمَن شِئْتَ مِنْهُمْ وَٱسْتَغْفِرْ لَهُمُ ٱللَّهَ إِنَّ ٱللَّهَ غَفُورٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: Sesungguhnya yang sebenar-benar orang mukmin ialah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasul-Nya, dan apabila mereka berada bersama-sama Rasulullah dalam sesuatu urusan yang memerlukan pertemuan, mereka tidak meninggalkan (Rasulullah) sebelum meminta izin kepadanya. Sesungguhnya orang-orang yang meminta izin kepadamu (Muhammad) mereka itulah orang-orang yang beriman kepada Allah dan rasul-Nya, maka apabila mereka meminta izin kepadamu karena sesuatu keperluan, berilah izin kepada siapa yang kamu kehendaki di antara mereka, dan mohonkanlah ampunan untuk mereka kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Penyayang

(An Nur: 62)

Antara adab-adab yang perlu dijaga dalam sesebuah gerakan dakwah ialah istikzan (meminta izin) dan istisyar (berbincang). Seorang ahli perlu meminta izin kepada ketuanya, sepertimana seorang anak murid perlu meminta izin dari gurunya ketika hendak keluar ke tandas. Hal ini bagi melancarkan segala perancangan yang dibuat oleh jemaah supaya ianya berjalan dengan baik dan teratur seperti yang dirancang. Jika adab-adab ini dipandang remeh, maka setiap ahli akan bertindak sesuka hati tanpa mengikut peraturan yang ditetapkan dalam sesebuah gerakan atau organisasi. Waallahu’alam.

Hidayatul Sakinah Mohd Zulkifli

Penyelidik MUIS

Leave a Reply