Kenyataan RasmiKolumnisPolitik Islam

Respons MUIS Terhadap Kenyataan Badan Ulama Saudi terhadap Ikhwan Muslimin

Kenyataan Badan Ulama Arab Saudi pada 11/11/2020 telah mengisytiharkan bahawa Ikhwan Al-Muslimin (IM) adalah pertubuhan pelampau/teroris. Antara tuduhan yang dilemparkan kepada IM adalah seperti berikut:

  1. Sesat dan diharamkan berdasarkan petunjuk Quran dan Sunnah.
  2. Didirikan untuk menentang pemerintah dan memberontak.
  3. Memfokuskan kepada menimbulkan kekacauan di dalam negara.
  4. Menimbulkan huru-hara dan ketidaktenteraman.
  5. Menyifatkan masyarakat sebagai jahiliyah.
  6. Tidak bertunjangkan Aqidah Islamiyah sejak awal penubuhan.
  7. Sejarah yang penuh dengan porak puranda dan kekacauan.
  8. Melahirkan pertubuhan-pertubuhan pelampau daripadanya.

MUIS berpandangan bahawa, kelapan-lapan tuduhan di dalam kenyataan itu secara jelas adalah tuduhan melulu dan tidak bersandarkan kepada apa-apa bukti dan hujah.

Jika diperhatikan keseluruhan isi kenyataan tersebut tiada sepotong ayat Quran dan hadis yang secara khusus mensabitkan 8 perkara diatas. Malah TIADA SEKELUMIT PEMBUKTIAN yang disertakan bersama Bayan tersebut.

Bahkan, jika diteliti akan didapati kenyataan tersebut secara jelas bercanggah dengan Fatwa No-6250 daripada Lajnah Daimah Lil Buhuth Wal Ifta yang dipengerusikan sendiri oleh Ibn Baz rahimahullah dengan menyatakan secara jelas dijawab persoalan berkaitan: “Apakah jemaah yang melaksanakan kitab dan sunnah?” Maka dijawab: “pertubuhan yang paling hampir dengan kebenaran dan paling menjaga dalam perlaksanaanya adalah; ahli Sunnah yakni ahli hadis, dan Jemaah Ansar Sunnah kemudian adalah Ikhwan Muslimin.”

Kami menggesa pihak Badan Ulama Arab Saudi menarik balik Bayan ini atas tuduhan yang tidak berasas inilah yang tidak mengikuti sunnah.

MUIS juga menegaskan bahawa fatwa berkaitan “Haram Normalisasi Israel Sebagai Rakan Sekutu Negara-Negara Islam” adalah jauh lebih utama berbanding Bayan yang dikeluarkan.

Malah beberapa keraguan serius berkaitan kenyataan ini perlu diperjelaskan seperti:

  1. Tujuan kenyataan ini dikeluarkan di dalam keadaan hangat isu Normalisasi” hubungan Negara Islam dan Israel. Tambahan ucapan tahniah daripada twitter milik IsraelArabic yang memuji Bayan menambah keraguan dan tanda tanya terhadap tujuan disebalik Bayan ini.
  2. Siapakah Ulama yang bersetuju dan bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan ini, di mana sebahagian aktor yang terlibat di dalam Badan Ulama Arab Saudi adalah Muhamad Issa yang pernah menyatakan tiada Islam Politik di mana pun termasuk Perancis, di kala kehangatan isu umat Islam dibantai di sana.

Sebagai penutup, kami ingin menegaskan bahawa kenyataan ini jelas tidak memiliki roh memandu Umat Islam kepada kesatuan, keharmonian, dan ukhuwwah Islamiyah dan MUIS menggesa supaya ianya ditarik balik.

Malah kami menegaskan bahawa amal perubahan yang telah dilaksanakan Ikhwan Muslimin di seantero alam cukup menjadi bukti bahawa tuduhan yang dibuat tidak mempunyai asas, dan merupakan suatu keterangan yang bersifat politik.

Wallahu a’alam.

Ustaz Mohd Suhail bin Mohd Sufian
Naib Pengerusi
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *