Tarbiah buat ‘buah hati’ ibu dan ‘permata’ bapa
Definisi tarbiah (التربية) membawa maksud membentuk keperibadian anak secara berperingkat sehingga mencapai tingkatan lengkap dan sempurna.
Nasihat Cinta
Apa yang membuatkan ibubapa bersedia menghadapi ujian dalam mentarbiah sang puterinya?
Ianya akan terjadi apabila ibubapa memahami dan menyedari peristiwa dalam hidup ini tak ada satu pun yang terlepas dari perancangan Allah seperti mana kita faham tiada ada satu pun daun yang gugur diatas muka bumi ini kecuali semua yang telah direncanakan oleh Allah.
Begitu juga setiap musibah dan ujian ada hikmahnya. Ada kemudahan yang mengiringi kesusahan dan kesulitan. Ingin disampaikan bahawa di sebalik musibah itu kita tahu dimana kualiti kita. Kita juga dapat tahu kekuatan dan kelemahan kita. Sedar tak sedar dengan ujian dan musibah itu sebenarnya kita sedang merancang masa depan kita. Bukan haruman yang hanya kita dapat setelah lulus ujian, tetapi akan datang cubaan lain yang sedang meluncur dihadapan kita. Semua ini pastinya Allah ingin meningkatkan darjat kita di sisiNya.
Petunjuk ilahi menjelaskan tidak rugi ibubapa mendidik puteri-puteri. Pahala mentarbiah mereka akan diraih diakhirat nanti.
“Barangsiapa yang memiliki tiga anak perempuan lalu ia bersabar atas mereka,dan memberi makan mereka,memberi minum,serta memberi pakaian kepada mereka dari kecukupannya,maka mereka akan menjadi penghalang baginya dari api neraka pada Hari Kiamat”
(H.r.Ahmad dan Ibnu Majah di sahihkan oleh Imam Al Albani.)
Dari hadis tersebut jelaslah keuntungan khusus buat ibubapa yang mampu dan berusaha mentarbiah dengan baik dan bersungguh -sungguh.Kesabaran dan kepenatan ibuayah dalam mentarbiah akan dihargai Allah Yang Maha Menghisab .Ganjaran dari Allah itu menjadi menghalang diri dari api neraka.
Penyejuk Hati.
Doa yang tak sepatutnya ibubapa lupa seusai solat ialah ”Ya Tuhan kami, anugerahkanlah kepada kami pasangan kami, keturunan kami sebagai penyenang/penyejuk hati (kami)dan jadikanlah kami pemimpin bagi orang-orang bertaqwa”
Sudah menjadi idaman bagi setiap pasangan untuk memiliki puteri yang solehah, patuh pada ibubapa, berakhlak baik pada masyarakat. Kita juga akan terlalu risau apabila ia akan berlaku sebaliknya apabila puteri kita membesar menjadi manusia yang kurang beramal dengan syariat Islam.
Harapan paling tinggi terhadap puteri-puteri kita adalah agar mereka dapat menjadi generasi pewaris keimanan kita sehingga kita merasai pahala yang mengalir kerana berimannya mereka berkat didikan kita. Allah Maha Besar.
Buah Hati
Bukan senang tugas ibubapa untuk membentuk seorang gadis yang dikatakan buah hati ibu, permata ayah. Ianya memerluka pendidikan bertahun-tahun daripada ibubapa sebelum ia menjadi seorang gadis. Bahkan, perlunya ibu bapa untuk bersabar yang berganda-ganda untuk melatih dan menanam nilai-nilai yang kuat dan menjadikan akar umbi dalam jiwa. Selain itu, ibu bapa juga memerlukan pengetahuan yang tinggi dalam membentuk mereka. Inilah cabaran kita sebagai ibubapa dalam membentuk anak -anak .
Apa yang perlu ibubapa faham dalam membentuk anak-anak ialah perbezaan mendidik di antara anak lelaki dan perempuan dalam menyampaikan informasi. Jika untuk anak lelaki, ianya perlukan fokus yang terarah. Untuk anak perempuan pula, kita memerlukan komunikasi yang fasih dan lancar. Untuk pengetahuan semua, pemilihan teknik yang betul semasa berkomunikasi dengan anak-anak adalah amat penting.
Anak perempuan secara umum amat memerlukan sentuhan mesra. Ibubapa sebaiknya perlu meluangkan masa untuk bersama anak perempuan dengan menemaninya ketika bersedih, sedia mendengar cerita daripadanya dan memeluknya. Kegagalan ibubapa memahami keperluan emosi ini akan membawa padah sekiranya anak-anak mendapati orang luar yang dapat memenuhi keperluan emosi mereka
Seterusnya, jika kita lihat dari sudut pandang anak-anak perempuan berbeza dengan anak-anak lelaki. Anak perempuan cenderung kepada melihat kepada nilai dan cara pandang subjektif. Ketika ini, ibubapa perlu menilai dengan teliti apa saja cerita dari anak-anak perempuan, tidak terus ditelan mentah-mentah, sebaliknya bijak menerima informasi tersebut.
Dari segi kematangan anak-anak perempuan lebih cepat matang berbanding anak-anak lelaki. Tapi jangan terkejut, emosi anak-anak lelaki lebih sensitif berbanding anak-anak perempuan. Oleh itu, ilmu tentang pendidikan ‘iffah (menjaga kesucian diri) mestilah diberikan di awal usia sesuai dengan tingkat kematangan fizikal anak-anak perempuan.
4 tanggungjawab yang perlu ditanam dalam jiwa anak perempuan
1. ‘ABIDATUN LILLAHI TAALA (MENJADI HAMBA ALLAH KERANA-NYA)
Seperti mana Firman Allah dalam surah An Nisa ayat 34 yang bermaksud :
“Wanita yang soleh ialah taat kepada Allah lagi memelihara diri ketika suaminya tidak ada, oleh kerana Allah telah memelihara (mereka)”
2. RA’IYYATUN LI ABNA’IHAN (MENJADI PENJAGA KEPADA ANAK-ANAKNYA)
Firman Allah dalam surah An Nisa ayat 9 yang bermaksud:
“Dan hendaklah takut kepada Allah orang-orang yang seandainya meninggalkan di belakang mereka anak-anak yang lemah, yang mereka khuatir terhadap (kesejahteraan)mereka. Oleh sebab itu hendaklah mereka bertaqwa kepada Allah dan hendaklah mereka mengucapkan perkataan yang benar.”
3. WARIRATUN LI ZAUJIHA (PENDAMPING SUAMINYA)
Perumpamaan yang indah tentang ikatan suami isteri telah dirakamkan dalam surah Al Baqarah ayat 187 yang bermaksud :
“Mereka adalah pakaian bagimu,dan kamupun adalah pakaian bagi mereka.Allah mengetahui bahawasanya kamu tidak dapat menahan nafsumu,kerana itu Allah mengampuni kamu dan memberi maaf kepadamu”
4. UKHTAN LI MUJTAMA’IHA (SAUDARA BAGI MASYARAKATNYA)
Ketika bergelar muslimah bertambahlah tanggungjawab pada dirinya. Dia perlu bersama-sama dalam masyarakat dalam usaha melakukan amar ma’ruf nahi mungkar. Muslimah sangat memainkan peranan dalam membaiki dan membangunkan tamadun dalam merangka individu Muslim yang berjaya membawa kemakmuran dan melahirkan anggota masyarakat yang baik.
Doa Syukur Kepada Allah S.W T
“Segala puji bagi Allah yang dengan kemuliaan dan keagungannya segala amal soleh menjadi sempurna.Diriwayatkan oleh al Hakim dan disahihkannya.
“Ya Tuhanku ,bagi Mu segala puji seperti layak dengan kemuliaan wajahMu dan keagungan kekuasaanMu “Diriwayatkan olehAhmad dan Ibnu Majah.
“Ya Allah ampunilah kami sayangilah kami,redhailah kami,terimalah amal perbuatan kami,masukkanlah kami ke dalam syurga ,selamatkanlah kamidari neraka,perbaikilah seluruh urusan kami .Diriwayatkan oleh Abu Dawud dan Ibn Majah.
“Ya Allah jadikanlah seluruh akibat urusan kami baik,lindungilah kami dari kesengsaraan dunia dan siksa akhirat.Di riwayatkan oleh Ibnu Hibban dan disahihkan olehnya.
“Ya Allah ,wahai Zat yang menampakkan keindahan dan menutupi keburukan,wahai Zat yang tidak menghukum perbuatan dosa dan tidak menyingkap aib,wahai Zat yang agung pengampunanNya,wahai Zat yang baik maafNya,wahai Zat yang luas pengampunanNya,wahai Zat luas kelapanganNya,wahai Zat yang agung pemberiaanNya,wahai Zat yang agung pemberiaanNya,wahai Zat yang memberi nikmat sebelum diminta,wahai Rabb kami,wahai Pemimpin kami,wahai Pelindung kami,wahai Puncak harapan kami,aku memohon kepadamu ya Allah janganlah memanggang tubuhku dengan api neraka.”Diriwayatkan oleh al Hakim dalam kitab al Mustadrak dan disahihkan olehnya.
Ini adalah doa yang dibawa oleh Jibril alaissalam kepada Nabi s.a.w sebagai hadiah dari Allah S.W.T
Ditulis oleh,
Ustazah Hayati Mohd Zari
Penyelidik
Majlis Ulama ISMA (MUIS)