Kenyataan RasmiUtama

Isu larangan doa: Semua pihak perlu hormati Malaysia sebagai sebuah Negara Islam

1. MUIS berpendirian bahawa tindakan menghalang bacaan doa dalam majlis Sekolah Perempuan Methodis (MGS) di Pulau Pinang seperti yang dilaporkan di beberapa akhbar semalam serta isu lain yang mempersoal amalan Islam dalam keramaian adalah satu tindakan biadab yang langsung tidak menghormati Islam sebagai teras yang membentuk negara ini.

2. Doa dalam Islam bukanlah sekadar amalan secara peribadi atau individu, tetapi dalam masa yang sama ia adalah amalan yang dilakukan secara berjemaah serta syiar yang perlu ditegakkan dalam masyarakat. Tidaklah tujuan doa dalam majlis melainkan ianya hajat mahu melihat majlis tersebut berjalan dalam rahmat-Nya serta kesejahteraan untuk seluruh ahli majlis tersebut.

3. Kedudukan Islam di Malaysia bukan sekadar dijamin berdasarkan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan, bahkan ianya adalah asas kepada terbentuk struktur kepimpinan negara ini yang setiap masa diketuai seorang muslim iaitu Yang Di-Pertuan Agong. Kedudukan Islam juga dijamin menjangkaui peringkat persekutuan iaitulah sehingga di peringkat negeri-negeri. Hakikatnya juga tiada mana-mana agama lain yang disebutkan dalam perlembagaan melainkan Islam.

4. Tingginya nilai Islam itu sehinggakan saat kita menyambut kemerdekaan, terzahirnya syiar-syiar agama Islam iaitu dilaungkan azan serta dibacakan doa sebagai langkah mula terbentuknya tanah air yang kita cintai hari ini. Laungan “merdeka” itu didahului dengan laungan memohon rahmat serta perlindungan-Nya melambangkan tingginya nilai Islam dalam pembentukan negara ini.

5. Maka sepatutnya selepas 62 tahun kita merdeka, semua pihak semakin menghormati serta mengiktiraf Islam sebagai antara teras yang membentuk negara ini. Segala syi’ar atau lambang Islam sepatutnya semakin dijunjung bukan semakin dipersoal oleh seluruh masyarakat majmuk di Malaysia.

6. Namun apa yang berlaku adalah sebaliknya, kebalakangan ini wujud pihak yang mempersoal laungan azan, ibadah korban, amalan berpuasan, tulisan jawi, pendidikan agama Islam dan terbaru berkenaan larangan doa. Hal ini menunjukkan seolah-olah terdapat usaha berterusan untuk merungkai kedudukan Islam di negara ini.

7. Oleh itu, MUIS menyeru supaya pihak berkuasa melakukan siasatan ini secara menyeluruh. Gerakan seperti ini bukan sekadar akan menggugat Islam sebagai teras kenegaraan tetapi ia juga akan menggugat keharmonian masyarakat yang telah puluhan tahun kita kecapi. Tindakan segera dan tegas perlu dilakukan demi memelihara kesejahteraan kita bersama.

8. Ahli politik khususnya yang beragama Islam tidak sepatutnya beterusan berdiam diri dalam isu sebegini. Ini bukanlah isu yang berkaitan kepentingan mana-mana pihak, tetapi ia berkait teras kenegaraan kita serta aqidah dan keimanan yang anda sendiri anuti. Gagasan rahmat sepatutnya menjadikan amar makruf dan nahi mungkar semakin kukuh kerana hanya dengan Islam sahaja rahmat dapat dikecapi oleh seluruh alam. Berdiam diri saat kemungkaran beleluasa bukanlah pilihan.

9. Akhir sekali, ingatlah bahawa keharmonian yang kita kecapi selama ini adalah hasil toleransi yang diamalkan oleh muslimin di Malaysia berdasarkan ajaran Islam. Moga keharmonian ini akan berkekalan dengan semakin kukuhnya kedaulatan Islam di Malaysia ini.

Memandu Masyarakat Mendaulat Syariat

Sohibus Samahah Ust Hj Zamri Hashim
Pengerusi MUIS

2 Safar 1441H
1 Oktober 2019

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *