Bagaimana Nikah Muta’ah Terjadi? (Siri 3)
Siapakah Yang Dibenarkan Mengamal Muta’ah?
Syiah meriwayatkan bahawa Imam AR-Ridha (Imam yang ke 8 di sisi syiah) berkata:
“Muta’ah itu tidak halal kecuali kepada orang yang mengertinya. Ia haram kepada orang yang jahil tentangnya.(Man laa Yahdhurul Faqih j.3 hal.459). Maksudnya, ia halal untuk penganut-penganut ajaran syiah.
Syarat-Syarat Yang Dimestikan Dalam Aqad Muta’ah
Terdapat hanya dua syarat sahaja yang mesti disebutkan di dalam aqad untuk menjadikan aqad itu sebagai aqad muta’ah iaitu:
i) Tempoh atau jangkamasa muta’ah dan
ii) Maskahwinnya.
Ini berdasarkan jawapan Jaafar as-Shadiq kepada orang yang bertanya tentang apa yang mesti disebutkan di dalam aqad muta’ah. Kata beliau: “Maskahwin yang maklum untuk jangkamasa yang maklum. (Wasaailu As-Syiah, j.14 hal.465, Tahzibu AL-Ahkam,j.7, hal.262).
Hak Menerima Pusaka Hasil Perkahwinan Secara Muta’ah
Tidak ada hak menerima pusaka daripada pihak lelaki dan perempuan yang mengamalkan muta’ah. Hukum ini adalah berdasarkan riwayat dari Said bin Yasar bahawa ia bertanya Jaafar as-Shadiq tentang lelaki yang mengahwini seseorang perempuan secara muta’ah dan ia tidak mensyaratkan hak menerima pusaka di antara satu sama lain. Jaafar as-Shadiq menjawab: “Tiada hak menerima pusaka bagi mereka berdua samada lelaki itu mensyaratkan atau tidak mensyaratkan (di dalam aqad). (Tahzibu AL-Ahkam,j.7, hal.265, AL-Furu’ min AL-Kafi, j.5 hal.465).
Sebaik-baik Perempuan Untuk Dimuta’ahkan
Syiah mengajar apabila seseorang mahu melakukan muta’ah dengan seorang perempuan, hendaklah dia mencari seorang perempuan mukminat, terpelihara kesucian dirinya, terhormat, pintar, dan beraqidah dengan aqidah yang benar. Akan tetapi jika perempuan yang mempunyai sifat-sifat ini tidak ditemui, boleh juga dilakukan aqad muta’ah dengan perempuan-perempuan yang lain. (Syeikh At-Thusi, An Nihayah hal.490, Tahzibu AL-Ahkam,j.7, hal.252)
… bersambung
Disiar semula dengan adaptasi:
Ustaz Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha MUIS