KolumnisUtama

Maksiat yang menutup cahaya ilmu

Sudah diketahui umum perkataan Imam Syafi’i di kalangan kita mengenai rosaknya hafazan kerana sebab maksiat. Ia sebagai ‘ibrah bagi kita bahawa maksiat boleh mempengaruhi rosaknya hafazan dan mengganggu ibadah kita.

Imam Syafi’i rahimahullah pernah berkata :

شَكَوْت إلَى وَكِيعٍ سُوءَ حِفْظِي فَأَرْشَدَنِي إلَى تَرْكِ الْمَعَاصِي وَأَخْبَرَنِي بِأَنَّ الْعِلْمَ نُورٌ وَنُورُ اللَّهِ لَا يُهْدَى لِعَاصِي

“Aku pernah mengadu kepada Waki’ tentang terjejasnya hafazanku. Lalu beliau membimbing aku untuk meninggalkan maksiat. Beliau memberitahu padaku bahwa ilmu adalah cahaya dan cahaya Allah tidaklah mungkin diberikan pada ahli maksiat.” (I’anatuth Tholibin, 2: 190).

Juga ditemui lafaz yang hampir sama Imam Syafei rahimahullah bersyair :

شَكَوْتُ إِلَى وَكِيْعٍ سُوْءَ حِفْظِي
فَأَرْشَدَنِي إِلَى تَرْكِ الْمَعَاصِي
وَقَالَ اعْلَمْ بِأَنَّ الْعِلْمَ فَضْلٌ
وَ فَضْلُ اللهِ لاَ يُؤْتاَهُ عَاصِ

“Aku mengadu keburukan hafazanku kepada Waki’,
Maka ia menasihatiku agar meninggalkan maksiat,
Waki’ berkata, “Ketahuilah ilmu itu merupakan satu kelebihan,
dan kelebihan itu Allah Subhanahu wa Ta’ala tidak diberikan kepada orang yang berbuat maksiat.”
[ Lihat Diwan Asy-Syafi’i (45), al-Fawaid al-Bahiyyah (223), dan Syarh Tsulatsiyyat al-Musnad (1/769) ].

Padahal Imam Syafi’i sebenarnya orang yang hafazannya sungguh amat luar biasa. Diriwayatkan dari Imam Al-Syafi’i, ia berkata, “Aku telah menghafaz Al Qur’an ketika berumur 7 tahun. Aku pun telah menghafaz kitab Al Muwatho’ ketika berumur 10 tahun. Ketika berusia 15 tahun, aku pun sudah berfatwa.” (Thorh At Tatsrib, 1: 95-96). Sungguh luar biasa hafazan beliau rahimahullah.

Namun kenapa hafazan beliau boleh terganggu?

Ketika itu Imam Syafi’i mengadu pada gurunya Waki’. Beliau berkata, “Wahai guruku, aku tidak dapat mengulangi hafazanku dengan cepat. Apa sebabnya?” Gurunya, Waki’ lantas berkata, “Engkau pasti pernah melakukan suatu dosa. Cubalah engkau renungkan kembali !”

Imam Syafi’i pun merenung, ia merenung keadaan dirinya, “Apalah dosa yang kira-kira telah ku lakukan?” Beliau pun teringat bahawa pernah suatu saat beliau melihat seorang wanita tanpa sengaja yang sedang menaiki kenderaannya, lantas tersingkap pahanya [ada juga yang mengatakan : yang terlihat adalah mata kakinya]. Lantas setelah itu beliau memalingkan wajahnya.

Lantas keluarlah sya’ir yang diucapkan di atas. Inilah tanda wara’ dari Imam Asy Syafi’i, iaitu waspada beliau dari maksiat. Beliau melihat kaki wanita yang tidak halal baginya, lantas beliau menyebut dirinya bermaksiat. Sehingga ia lupa terhadap apa yang telah ia hafazkan.

Hafazan beliau boleh terganggu kerana ketidak-sengajaan. Itu pun sudah mempengaruhi hafazan beliau. Bagaimana pula pada orang yang sengaja melihat wanita dan aurat mereka?

Sungguh, maksiat tersebut boleh menutupi hati kita sehingga kita pun sukar melakukan ketaatan, malas untuk beribadah, juga sukar dalam hafazan Al Qur’an dan hafazan ilmu lainnya.

Allah Ta’ala berfirman ;

كَلَّا بَلْ رَانَ عَلَى قُلُوبِهِمْ مَا كَانُوا يَكْسِبُونَ

“Sekali-kali tidak (demikian), sebenarnya apa yang selalu mereka usahakan itu menutupi hati mereka.” (QS. Al Muthoffifin: 14).

Dr Yusuf al-Qardhawi menyenaraikan di antara kesan dan pengaruh maksiat :

1. Terhalang dari ilmu dan rezeki serta sulit urusan hidupnya.

2. Hati gelap, menyebabkan hati terasa jauh dari Allah dan manusia yang soleh, terhalang dari ketaatan serta memendekkan umur.

3. Mengundang laknat Allah, mendapat kehinaan Allah dan hilang nikmatNya.

4. Menganggap kecil maksiat pada Allah dan bangga dengan maksiat yang dilakukan akhirnya tidak sensitif dengan dosa.

5. Maksiat akan mengundang maksiat lainnnya sehingga terasa berat untuk meninggalkannya.

Jiwa kita perlu sensitif dengan apa sahaja yang kita buat ; mata yang melihat, telinga yang mendengar, lidah yang berbicara. Maksiat akan melemahkan perjalanan jiwa menuju pada Allah dan hari Akhirat, hilanglah kekuatan perjuangan mujahadah serta sukar perjalanan memperbaiki diri.

Ust Abdul Rahman Iskandar

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *