Umum

Dinamika kunci untuk kekal menjadi hambaNya

Lumrah alam, apabila sesuatu itu memerlukan perubahan, ia akan berkembang, berakar umbi dan terus menjulang tinggi menuju ke fasa perkembangan berikutnya.

Setiap fasa ada tabiat dan cabarannya. Setiap tempat ada kelebihan dan kekurangannya. Setiap manusia ada faktor dan sebab tertentu untuk bertambah atau berkurang.

Banyak perkara yang relatif dalam penilaian secara teliti apabila ia melibatkan sudut pandang yang berbeza, namun satu perkara malar yang tidak akan pernah mundur :

Dinamik.

Satu perkataan mudah dan biasa disebut, namun ia hanyalah berjaya difahami dan dilaksanakan oleh manusia yang diberikan taufiq oleh Allah SWT.

Ia adalah sunnah alam, bahawa sesuatu yang berkembang perlu meninggalkan takuk lama, menuju ke medan baru, dan mengorbankan perasaan sentimental yang menyayangi memori silam untuk melangkah ke alam baru yang lebih mencabar.

Persis seperti haiwan dan tumbuhan, ketika kecil memerlukan belaian dan penjagaan, apabila meningkat dewasa ada yang terpaksa berpisah dengan ibunya dan berdikari sendiri untuk meneruskan kehidupan, dan melengkapkan kitaran yang ditentukan.

Dalam kamus dakwah, ia disebut ‘hayawiyah’ yang berasal daripada makna ‘al-hayah’ yakni kehidupan, yang juga bermaksud sentiasa hidup dan bergerak.

Dakwah adalah salah satu lumrah alam, yang mempunyai formula yang sama. Ia mempunyai marhalah, tabiat dan cabaran tertentu, serta kerangka tertentu bagi mengisi tanggungjawab fardu kifayah yang cukup luas dan berkembang itu kerana ia memikul tanggungjawab umat.

Daie yang memahami tabiat ini pasti akan fahami bahawa dirinya perlu selari dengan dinamika dakwah yang didokongnya. Jika dirinya tidak sehaluan, pasti dia akan tertinggal di pertengahan jalan, kalau pun tidak tersangkut di perhentian.

Perjalanan dakwah adalah perlumbaan menuju ke syurga. Mempersiapkan diri dalam perlumbaan dan berlumba itu sendiri adalah tuntutan Tuhan agar kita sentiasa berada dalam radar ketuhanan dan perhambaan.

Dinamika adalah rahsia alam, untuk terus berkembang dan maju. Intipatinya adalah taufiq dan hidayah Tuhan, diikuti dengan keikhlasan dan kemahuan, diselangi dengan tawadhuk dan rendah diri, mudah untuk menerima pandangan orang, tidak sukar untuk mengubah tabiat lama, sentiasa fleksibel untuk tuntutan yang lebih utama, melihat dalam neraca akidah dan dakwah, serta menyerahkan urusan sebulatnya kepada Allah SWT walau mungkin Dia menyusun perkara di luar perhitungannya.

Dia tidak pernah ‘memaksa’ Tuhan melengkapkan perancangannya walau dengan apa cara sekalipun, kerana dia tahu dia hanyalah menjalankan tugas, bukan pemberi tugas. Tidak pula dia merasakan bahawa kemenangan mesti kena berada dalam genggaman perancangannya, hanya kerana dia tahu itu bukanlah urusan hidupnya. Dirinya bersungguh-sungguh mengikuti arahan Tuhan, agar terus diberikan hidayah dan taufiq untuk terus melakukan tuntutan dan kekal atas medan hakiki perhambaan.

Dinamika adalah kuncinya. Iaitu kekal dalam perubahan.

Kekal menjadi hamba, walau siapapun dirinya di hadapan manusia.

 

Ust Ahmad Syamil Mohd Esa

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *