Wanita haid beriktikaf di Masjid
Soalan: Bolehkah wanita haid turut beriktikaf di masjid untuk mengejar kelebihan iktikaf di sepuluh malam terakhir Ramadan?
Jawapan:
Iktikaf sememangnya satu ibadah yang dianjurkan oleh syarak sama ada untuk lelaki dan wanita terutamanya di sepuluh malam terakhir pada bulan Ramadan. Untuk penjelasan berkenaan hukum wanita beriktikaf, sila rujuk artikel yang telah ditulis sebelum ini: http://muis.org.my/2017/06/iktikaf-10-malam-akhir-ramadan-bagi-wanita/
Adapun untuk hukum wanita haid beriktikaf, terdapat perbezaan pandangan di kalangan ulama. Pendapat pertama, jumhur (majoriti) ulama empat mazhab menyatakan haram dan tidak sah bagi seorang wanita yang haid untuk beriktikaf di masjid. Ini kerana antara syarat sah iktikaf adalah suci daripada junub, haid dan nifas.
Selain itu, terdapat dalil-dalil yang menjadi hujah kepada larangan untuk wanita haid duduk di dalam masjid.
Antara dalilnya:
Firman Allah SWT: “Hai orang-orang yang beriman, janganlah kamu solat, sedang kamu dalam keadaan mabuk, sehingga kamu mengerti apa yang kamu ucapkan, (jangan pula hampiri masjid) sedang kamu dalam keadaan junub, kecuali sekadar berlalu sahaja, hingga kamu mandi” (Surah An-Nisa’:43).
Melalui ayat ini, keadaan junub disamakan dengan keadaan haid iaitu berhadas besar. Oleh itu, wanita haid juga tidak dibenarkan duduk di masjid melainkan untuk melintasinya sahaja seperti mana keadaan junub.
Terdapat juga hadith yang melarang orang yang berada dalam keadaan junub dan wanita haid untuk memasuki masjid. Sabda Rasulullah s.a.w
لاَ أُحِلُّ الْمَسْجِدَ لِحَائِضٍ وَلاَ جُنُبٍ
Maksudnya : Aku tidak menghalalkan bagi orang haid atau junub memasuki masjid.
Hadis tersebut dikeluarkan oleh Imam Abu Daud dalam kitab Sunannya, Imam al-Bukhari dalam al-Tarikh al-Kabir, Ibn Khuzaimah dalam Shahihnya dan Imam al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra.
Terdapat juga larangan iktikaf untuk wanita dalam sebuah hadith yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA. Beliau berkata:
كن المعتكفات إذا حضن أمر رسول الله صلى الله عليه وسلم بإخراجهن من المسجد
“Dahulu para wanita melakukan iktikaf. Apabila mereka haid, Rasulullah SAW memerintahkan mereka untuk keluar dari masjid.” (Riwayat ini disebutkan Ibn Qudamah dalam al-Mughni 3:206 dan beliau menyatakan: Diriwayatkan oleh Abu Hafs al-Akbari. Ibnu Muflih dalam al-Furu’ 3:176 juga menyebutkan riwayat ini dan beliau nisbahkan sebagai riwayat Ibnu Battah. Kata Ibnu Muflih: “Sanadnya baik”).
Bahkan ulama mazhab Hanafi menetapkan syarat yang lebih ketat untuk iktikaf di bulan Ramadan di mana syarat sah iktikaf di sisi Hanafi adalah turut disertai dengan puasa. Kerana itu, wanita haid tidak boleh berpuasa dan tidak sah iktikafnya.
Manakala pendapat kedua, mazhab Zahiri menyatakan sah untuk wanita haid beriktikaf. Ini kerana mazhab Zahiri berpegang dengan dalil-dalil yang menyatakan tiada larangan untuk wanita haid duduk di dalam masjid.
Kesimpulan:
Berdasarkan kepada pandangan dinyatakan diatas jelaslah bahawa pandangan jumhur lebih kuat iaitu wanita haid tidak sah iktikafnya kerana syarat sah ibadah iktikaf itu ialah suci daripada hadas. Sememangnya seorang wanita secara fitrahnya akan merasa sedih kerana banyak amal ibadah yang tidak dapat dilakukan kerana haid dalam Ramadan seperti puasa, solat tarawih dan qiamullail. Namun, dianjurkan untuk wanita yang haid memperbanyakkan zikir dan doa khususnya di sepuluh malam terakhir Ramadan ini. Wanita haid juga insyaAllah akan mendapat pahala menghidupkan malam al-qadar sekiranya berusaha untuk melaksanakan amalan ini.
Wallahua’lam.
Ustazah Nur Fatin Halil
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)