Iktikaf 10 malam akhir Ramadan bagi wanita

Soalan : Ustazah, apa hukum wanita iktikaf di masjid pada 10 akhir Ramadan?

Jawapan:

Bagi seorang muslim, sesuatu ibadat yang dikhususkan pada tempoh tertentu adalah satu hadiah istimewa yang sepatutnya digarap seboleh mungkin. Kerana kita sendiri tidak pasti berpeluang menikmati saat ibadah tersebut pada tahun hadapan. Antara ibadah tersebut ada berbentuk wajib dan ada yang sunat seperti Haji, puasa 6 hari syawal, puasa hari Arafah, ibadah korban dan diantaranya juga ialah iktikaf pada 10 malam akhir Ramadan.

Ibadah iktikaf 10 malam akhir ini telah menjadi amalan sejak zaman Rasulullah saw lagi serta tidak pernah ditinggalkan sepanjang hayat Baginda, lalu diteruskan oleh sahabat ra serta salafussoleh setelah itu. Maka ulama telah bersepakat bahawa ianya adalah satu amalan sunat samada terhadap golongan lelaki atau wanita:

عن عائشة: “أن النبي صلى الله عليه وسلم كان يعتكف العشر الأواخر من رمضان حتى توفاه الله ثم اعتكف أزواجه من بعده

Sesungguhnya Nabi Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam telah melakukan i’tikaf di sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan hingga Allah Subhanahu wa Ta’ala mewafatkan beliau, kemudian istri-istri beliau pun melakukan i’tikaf sepeninggal beliau (HR Al Bukhari, Muslim, Abu Dawud, An Nasa’i, dan Ahmad)

Jelas disebut dalam hadis ini ianya bukan sekadar menjadi amalan Baginda, bahkan ianya menjadi amalan wanita iaitu isteri-isteri Baginda saw.

Ulama juga bersepakat tanpa perselisihan bahawa ibadah iktikaf ini tidak akan sah melainkan di masjid bagi kaum lelaki. Ini berdasarkan firmanNya:

وَأَنْتُمْ عَاكِفُونَ فِي الْمَسَاجِدِ

ketika kamu beri’tikaf dalam masjid (al-Baqarah:187)

Berkenaan tempat iktikaf bagi wanita ulama berselisih pandangan, jumhur dikalangan Syafie, Hanbali dan Maliki menyatakan hukumnya adalah seperti lelaki iaitu hendaklah dilakukan di masjid. Ini kerana mereka berpegang bahawa hukum lelaki dan wanita adalah sama melainkan ada dalil yang menunjukkan sebaliknya dimana dalam isu ini tiada dalil menunjukkan iktikaf boleh dilakukan selain daripada masjid bagi wanita.

Keharusan jumhur mazhab bukanlah bersifat mutlak bagi wanita untuk iktikaf di masjid, mereka meletakkan syarat tertentu antara mestilah mendapat keizinan suami, masjid tersebut bebas daripada fitnah serta hendaklah ada tempat khusus tertutup bagi wanita beriktikaf. Ini berdasarkan hadis:

عن عائشة: “أن النبي صلى الله عليه وسلم أراد أن يعتكف فلما انصرف إلى المكان الذي أراد أن يعتكف إذا أخبية خباء عائشة وخباء حفصة وخباء زينب

Bahwasanya Nabi Shalallahu ‘Alaihi wa Sallam hendak beri’tikaf. Maka ketika beliau beranjak ke tempat yang hendak dijadikan beri’tikaf, di sana sudah ada beberapa kemah, yaitu kemah Aisyah, kemah Hafshah, dan kemah Zainab.

Tetapi Mazhab Hanafi berpandangan boleh untuk wanita iktikaf di satu ruang ibadat di dalam rumah yang dikhususkan seolah-olah seperti musolla. Pandangan ini berhujahkan bahawa apabila wanita adalah lebih afdhal solat fardhu di dalam rumah maka ruang iktikafnya adalah pada tempat dia digalakkan solat padanya (rumah). Namun pandangan ini meletakkan iktikaf tersebut hendaklah di ruang khusus musolla tersebut dan bukan di mana-mana bahagian di dalam rumah.

Berdasarkan pandangan diatas hukum wanita iktikaf di masjid adalah dibolehkan dengan syarat-syarat yang telah dinyatakan diatas. Namun jika mempunyai kekangan seperti mengurus anak-anak, tempat terlalu terbuka atau kesusahan yang menghalang daripada untuk iktikaf di masjid, bolehlah diambil pandangan Hanafi yang membenarkan ianya dilakukan pada ruang musolla di dalam rumah.

Moga kita semua dapat mengejar segala kebaikan yang dijanjikanNya di pengakhiran bulan yang mulia ini.

Wallahua’lam

Ustazah Hayati Zari

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Bad Behavior has blocked 715 access attempts in the last 7 days.