Ahlan Wasahlan Ya Ramadan 1438H
يَـٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡڪُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِڪُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. (Al-Baqarah: 183)
1. Majlis Ulama ISMA (MUIS) mengucapkan selamat menyambut ketibaan bulan Ramadan al-Mubarak kepada seluruh muslimin muslimat di seluruh dunia khususnya umat Islam di Malaysia.
2. Madrasah Ramadan adalah satu anugerah yang terindah daripada Allah swt, maka garaplah sebanyak mungkin manfaat serta ganjaran yang dijanjikan olehNya kepada kita.
Hiasilah amal ibadah yang berterusan pada siang puasa Ramadan serta hidupkanlah malam-malamnya dengan alunan Quran, zikir dan sujud memujiNya.
3. Madrasah Ramadan adalah bulan perjuangan, maka hayatilah kisah-kisah jihad Nabi saw, Sahabat serta Salafussoleh sepanjang bulan yang mulia ini. Terjemahkanlah penghayatan tersebut dalam kehidupan kita hari ini dalam perjuangan mendidik jiwa, keluarga, masyarakat bahkan negara yang kita cintai ini supaya semakin hampir menuju redhaNya.
4. Madrasah Ramadan adalah bulan ukhuwah, jadikanlah kepenatan puasa pada siang hari ini untuk kita menjiwai segala kepayahan yang sedang dihadapi oleh saudara muslim kita diseluruh pelusuk dunia.
Bulan ini sepatutnya menjadikan kita semakin cakna terhadap saudara kita yang sedang dizalimi di Palestin, Syria, Iraq dan dunia Islam lainnya. Sekurang-kurangnya, saat kita berbuka, terawih, qiyamullail dan ibadah lainnya jangan pernah kita lupa untuk mendoakan kesejahteraan bagi mereka.
5. Madrasah Ramadan adalah bulan Al-Quran, sepatutnya Kitab ini menjadi rutin tilawah kita pada siang dan malam di bulan ini samada berseorangan atau tadarus. Namun tilawah tersebut juga hendaklah disusuli penghayatan terhadap ma’ani disebalik Kalamullah tersebut.
Rujuklah tafsir-tafsir dan tulisan ulama dalam memahami erti sebenar Al-Quran supaya dengan itu ianya benar-benar menjadi panduan dalam kehidupan kita.
6. Akhir sekali, kami menyeru seluruh umat Islam untuk merasakan bahawa Madrasah Ramadan ini adalah bulan untuk kita kembali memperbetulkan jiwa kita, merapatkan saf sesama kita, menyatukan halatuju perjuagan kita supaya akhirnya takbir yang kita akan alunkan kelak benar-benar menjadi alunan kemenangan.
Kemenagan dalam menundukkan hawa nafsu kita serta kemengan dalam mendaulatkan Syariat atas bumiNya ini.
شَہۡرُ رَمَضَانَ ٱلَّذِىٓ أُنزِلَ فِيهِ ٱلۡقُرۡءَانُ هُدً۬ى لِّلنَّاسِ وَبَيِّنَـٰتٍ۬ مِّنَ ٱلۡهُدَىٰ وَٱلۡفُرۡقَانِۚ فَمَن شَہِدَ مِنكُمُ ٱلشَّہۡرَ فَلۡيَصُمۡهُۖ
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan (atau mengetahuinya), maka hendaklah dia berpuasa bulan itu (al-Baqarah : 185)
Prof Madya Dr Aznan Hasan
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)