KolumnisUtama

Menjemput laknat dari Tuhan ; Kelahiran semula Sodom dan Gomora versi Melayu

Semenjak akhir-akhir ini hangat diperdebatkan di media sosial perihal unsur LGBT yang terdapat dalam filem yang diimport dari barat. Kemudian, timbul pula golongan oppourtunis yang mengambil peluang mempromosikan jualan mereka dengan mengangkat terma Gay dan Pondan bagi menarik perhatian ramai.

Saya cuba meringkaskan perbahasan ini, bagi meraikan sikap kita yang tidak berminat untuk membaca post yang panjang-panjang.

1. LGBT itu sendiri adalah akronim atau satu singkatan yang merujuk kepada Lesbian, Gay, Bisexual dan Transgender ataupun secara mudahnya ialah perbuatan Liwat (Gay) Sihaq (Lesbian) juga disebut sebagai Homoseksual. Naluri seks mereka lebih cenderung kepada sesama jenis. Istilah LGBT ini mula digunapakai di awal tahun 90an. Kumpulan ini menggunakan bendera pelangi sebagai simbol keragaman dalam seksualiti insan. Komuniti LGBT menuntut kebebasan daripada didiskriminasi dengan beranggapan ia merupakan hak asasi manusia (HAM). Setakat ini terdapat 22 buah negara yang mengiktiraf kewujudan kumpulan ini dan melegalkan perkahwinan sejenis.

2. Perbuatan Homoseksual ini sinonim dengan kaum Nabi Luth, iaitu kaum Sodom yang dilaknat Tuhan kerana perbuatan mereka yang dimurkai Allah, lalu mereka diazab dengan gempa bumi disertai dengan angin kencang dan hujan batu (batu daripada api) yang menghancurkan serta-merta keseluruhan kaum sodom dan penghuninya. Oleh kerana seringkali ke Laut Mati, menjadikan kisah Kaum Nabi Luth ini sangat berbekas di hati kerana melihat sendiri di depan mata kesan azab yang ditimpakan kepada kaum tersebut. Kisah mereka ini dirakamkan di dalam Al-Quran .

3. Masihkah kita ingat, 6 tahun yang lalu negara kita digemparkan dengan kehilangan pelajar perubatan Malaysia di Ireland. Ahli keluarganya lebih lapan kali berulang alik pergi mencari Alif Alfian Rosli namun gagal. Pelajar tajaan Petronas ini gagal dihubungi malah langsung tidak berhubung dengan keluarganya. Akhirnya punca segala kehilangan pelajar pintar ini terdedah apabila dikhabarkan beliau sudah berkahwin dengan seorang lelaki di Dublin. Bayangkan bagaimana perasaan ibu bapa pelajar ini yang terlalu risau akan kehilangan anak selama 8 tahun tetapi digemparkan dengan berita yang menghayat hati ini.

4. Apakah faktor yang menyebabkan seseorang menjadi LGBT ? Ada yang memberikan alasan, ia adalah satu bentuk penyakit mental disorder. Tetapi ianya disangkal oleh seorang Ahli Neurologi, Dr. Ryu Hasan mengatakan tidak ada istilah sembuh bagi orang yang memiliki orientasi seksual lesbian gay, dan biseksual. Menurutnya lagi, LGBT bukanlah penyakit ataupun gangguan jadi tidak perlu disembuhkan. Menurut ahli psikologi LGBT ini terbentuk kerana persekitaran hidup, trauma akibat pengalaman tertentu, lemahnya didikan agama dan juga genetik. Dengan bimbingan dan terapi dapat mengembalikan jati diri mereka yang sebenar.

5. Sudah jelas Islam melarang perbuatan ini. Tapi, bagaimana dengan agama lain ? Di dalam agama kristian juga mengutuk perbuatan keji ini dan perbuatan itu dikira berdosa menurut Bible. Perbuatan homoseksual, di dalam Bible dengan tegas melarang manusia untuk melakukan tindakan tersebut karena merupakan perbuatan yang dilaknat oleh Tuhan. Ia disebutkan di dalam kitab Imamat 18:22 ; 20:13

6. Proses normalisasi yang sedang berlaku di negara kita harus dibendung dari awal, sebelum ianya lebih melarat dan sukar untuk ditangani. Jangan tunggu sehingga nasi sudah menjadi bubur baru kita mahu bertindak. Di Indonesia, hasil kajian statistik mendapati pertumbuhan jumlah LGBT mengalami peningkatan sebesar 37% semenjak 2009-2012. Pemerintah harus memainkan peranan bagi menangani gejala ini dengan melakukan kempen kesedaran dan pendidikan sejak dari awal bangku sekolah lagi. Ibu bapa dan keluarga juga turut bertanggungjawab untuk memantau aktiviti anak-anak di rumah.

Sama-sama kita memelihara negara kita dari malapetaka ini sebelum datangnya azab Allah sepertimana Tsunami yang pernah menimpa di Acheh satu ketika dahulu. Ia juga bertepatan dengan kaedah syarak yang menuntut untuk kita menutup pintu-pintu kejahatan sekaligus menepati Maqasid Syarak itu sendiri.

Saya menutup rencana ini dengan sepotong ayat Al-Quran buat renungan bersama

وَاتَّقُوا فِتْنَةً لَا تُصِيبَنَّ الَّذِينَ ظَلَمُوا مِنْكُمْ خَاصَّةً ۖ وَاعْلَمُوا أَنَّ اللَّهَ شَدِيدُ الْعِقَابِ

Dan peliharalah dirimu dari pada seksaan yang tidak khusus menimpa orang-orang yang zalim saja di antara kamu. Dan ketahuilah bahwa Allah amat keras siksaan-Nya.
(Al-Anfaal :25)

Ust Zabidi Azhar

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) Jordan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *