KolumnisUtama

Dua Kalimah Shahadah: Antara Generasi Awal Dan Hari Ini

Dua kalimah shahadah sangat penting dan sangat bernilai kepada kehidupan individu dan umat Islam. Ia adalah ikrar penggabungan dan penyerahan diri seseorang kepada Allah. Sedia untuk patuh dan akur kepada apa jua yang yang diperintahkan oleh Allah SWT seperti mana yang ditunjukkan oleh Nabi SAW.

Antara kesilapan besar yang melanda sebahagian besar umat Islam ialah apabila ia memahami peranan dua kalimah shahadah ini hanya terhad kepada kehidupan individu sahaja bukan kepada masyarakat. Bahkan mereka mengecilkan lagi peranan dua kalimah shahadah ini di dalam individu hanya sebagai syarat masuk Islam ataupun bukti seseorang itu kekal dalam Islam dan sekadar memenuhi tuntutan rukun Islam yang lima itu sahaja, manakala dia tidak menghiraukan urusan kehidupannya yang lain diatur oleh sistem yang bukan bersumber kepada peraturan Allah SWT.

Sebenarnya peranan dua kalimah shahadah adalah lebih luas daripada itu. Apabila seseorang telah setuju untuk menggabungkan dirinya sebagai seorang muslim bermaksud dia mempersetujui untuk menyerahkan segala-galanya termasuk urusan hatinya, emosinya, dan aturan kehidupannya hanya diatur oleh peraturan Allah SWT.

Tanda yang nyata dan kita boleh melihatnya di hadapan mata kita ialah seorang muslim yang telah mengucapkan dua kalimah shahadah namun masih melakukan berbagai maksiat dan kemungkaran, berjual beli masih menggunakan sistem riba, bersosial sehingga melampaui batas, merasakan peraturan Allah SWT seperti membelenggunya. Dua kalimah shahadah sepatutnya membawa kesan kepada dalaman dirinya sehingga mempengaruhi aqalnya, emosinya, inteleknya dan rohaninya sebagaimana dua kalimah shahadah mempengaruhi juga aktiviti luarannya. Tiada pemisahan antara kesan dua kalimah shahadah antara dalaman dan luaran. Jika berlaku pemisahan, bermakna salah persepsi berlaku di dalam memahami dua kalimah shahadah itu.

Antara kesilapan yang berlaku dalam memahami peranan sebenar dua kalimah shahadah ialah ia seperti tiada mempunyai apa-apa peranan kepada masyarakat kerana hanya menganggap ia adalah urusan individu sahaja.

Sebenarnya kita wajib memahami apabila kita bershahadah, kita telah membentuk sekelompok manusia yang sama-sama menyerahkan diri kita kepada Allah SWT. Pengakuan kita bahawa hanya Allah SWT yang tunggal sahaja yang kita sembah dan menyerahkan diri, menuntut kita pasrah dan menyerahkan diri kita terhadap semua peraturan yang ditetapkan oleh Allah SWT. Allah SWT telah memperkanunkan peraturanNYa untuk dipatuhi samada peraturan yang mengikat individu mahupun yang mengikat masyarakat dan negara.

Ketundukan masyarakat kepada peraturan Allah SWT adalah terjemahan kepada pematuhan terhadap tuntutan dua kalimah shahadah ini. Jangan sesekali kita mengasingkan peranan dua kalimah shahadah antara memberi kesan kepada individu dan memberi kesan kepada masyarakat.

Jelasnya pengungkapan dua kalimah shahadah bukan sekadar “mengucap” seperti mana yang difahami oleh kebanyakan orang , tetapi ia menuntut ketundukan yang total kepada peraturan Allah samada peraturan untuk kita amalkan secara individu bahkan masyarakat wajib ditundukkan kepada semua peraturan Allah dalam bermasyaraat, berpolitik sehingga bernegara pun kita mesti mengikut peraturan Allah. Peraturan Allah bukan sahaja pada ungkapan itu tetapi lebih daripada itu!

Pemahaman ini penting agar seseorang tidak menganggap dirinya sudah mencapai kemuncak jaluran kehidupan beragamanya walaupun dia sudah bershahadah selagi mana masyarakat tidak ditundukkan dengan peraturan Islam sebagai bukti ia telah menyerah diri kepada Allah. Adalah tidak masuk aqal apabila mengungkap dan mengaku hanya Allah yang disembah dan dipatuhi sedangkan kehidupannya mematuhi selain daripada peraturan Allah.

Firman Allah SWT : Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) segala hukum-hukumnya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.( QS al Baqarah 208)

Inilah realiti yang berlaku di dunia Islam hari ini termasuk di negara kita. Pemikiran meminggirkan peranan dua kalimah shahadah dalam mengatur kehidupan menyebabkan umat Islam merasa selesa dengan apa yang ada sehingga merasakan seperti tiada lagi tangunggjawab yang perlu dilunaskan.

Apabila direnung dan dianalisa , inilah jurang perbezaan antara cara memahami dua kalimah shahadah antara generasi awal Islam dan generasi sekarang.

 

Sohibus Samahah Ust Zamri Hashim

Timbalan Mufti Negeri Perak

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *