KolumnisUtama

Hijrah tidak cukup sekadar perarakan tetapi perlu penghayatan

maal-hijrah

Peristiwa maal hijrah yang mana saban tahun diraikan dngan penuh meriah di Malaysia. Malah boleh dikatakan sambutannya lebih meluas daripada sambutan tahun baru masihi. Dalam sambutan Maal Hijrah maka sambutannya dijalankan disemua peringkat, dari peringkat sekolah, daerah, negeri hinggalah kebangsaan.

Perarakan yang dilakukan dalam menghayati dan menaikkan syiar agama Islam merupakan suatu inisiatif unik yang hanya boleh didapati di Malaysia bumi tercinta.

Namun penghayatan dikalangan masyarakat dilihat lebih cenderung untuk menginsafi dan memasang niat untuk berubah ketika tahun baru berbanding Maal Hijrah.

Apakah puncanya?

Tiada punca yang lebih tepat melainkan penghayatan terhadap peristiwa maal hijrah itu sendiri.

Begitu banyak syiar dilakukan dan dinaikkan, namun penghayatan terhadap syiar itu begitu lemah, seperti lemahnya penghayatan terhadap syiar tingginya dan hebatnya masjid – masjid disekitar kita.

Allah berfirman :

ذلك ومن يعظم شعائر الله فانها من تقوى القلوب
Begitulah keadaan mereka yang meninggikan syiar-syiar agama. Sesungguhnya ia adalah tanda dari hati yang bertaqwa” (Surah al-Hajj : 32)

Maka ayat ini dengan jelas menerangkan bahawa tujuan peninggian syiar adalah hasil daripada hati yang bertaqwa. Namun apabila hati tidak bertaqwa dan taqwa tidak dicapai maka syiaar-syiar ini tidaklah bernilai dihati muslim tersebut.

Mengapa tiada penghayatan terhadap hijrah?

Sebab utama adalah kerana hilangnya roh perjuangan Islam dihati muslimin dan muslimat. Roh perjuangan inilah yang menjadi paksi kepada Hijrah.

Hadis yang cukup masyhur riwayat daripada Abdullah bin Abbas R.A berkata : Bersabda Rasulallah S.A.W ketika hari pembukaan kota Mekah : –

“Tiada hijrah selepas Pembukaan (kota Mekah), tetapi yang ada adalah Jihad (perjuangan) dan niat! Apabila kamu dituntut untuk bergerak berjuang, maka bergeraklah !” (riwayat Bukhari)

Inilah roh yang telah dilupakan didalam setiap kita yang bertakbir ketika perarakan. Inilah roh yang telah hilang dalam nadi umat ini.

Maka jika ditanya kepada kita “Apakah yang kamu akan pejuangkan untuk islam?” maka tiada jawapan konkrit dengan agenda yang jelas. Inilah keadaan umat kita, tenat bukan kerana tiada syiar mengenai Hijrah, namun tenat kerana syiar Hijrah itu tidak dihayati dan difahami dengan maksud yang sebenar.

Dalam keadaan umat perlukan tangan yang membantu, kita lihat betapa pelbagai idea kreatif hasil dari hati yang memahami dan menghayati maksud hijrah tersebut.

Antara contoh perjuangan dan dakwah yang dilihat begitu berkesan dalam masyarakat baru – baru ini adalah Kempen #MalaysiaNgaji begitu memberi kesan dimana buat pertama kali didalam sejarah Malaysia, kempen untuk membaca Quran dilaksanakan dengan penuh berkesan. World Quran Hour merupakan suatu inisiatif yang patut dipuji dan dijadikan sebuah rutin yang berterusan. Malah kelas mengaji adalah suatu yang terlalu penting dan menjadi tuntutan pada masa kini.

Belum dikira pusat – pusat pendidikan Islam yang semakin subur didalam masyarakat, dimana seawal bulan 8 lagi sebahagian sekolah agama sudah membuka aplikasi baru untuk penyertaan ke tahun baru disekolah mereka. Sekolah ini kebiasaanya tidaklah mewah dan penuh dengan cerita – cerita keikhlasan perjuangan guru – guru yang mendidik anak cintakan Allah.

Antara contoh perjuangan yang ada adalah menyuburkan dakwah
dan tarbiah di masjid – masjid dengan mengatur program – program mendidik masyarakat lebih rapat dengan Islam.

Tidak kiralah perjuangan anda dengan kaedah viral dan moden seperti #MalaysiaNgaji, atau melalui pendidikan anak – anak disekolah. Mahupun melalui Masjid dan NGO, yang penting sebagai seorang muslim yang menghayati makna Hijrah sebagai

Perjuangan Umat perlu ada suatu yang diperjuangkan dalam menegakkan islam di Malaysia.

Tidak cukup sekadar hidup makan gaji dan mempunyai kereta dan rumah serta anak – anak, andai sumbangan dan nadi perjuangan kita terhadap umat hanya sedekah ketika solat jumaat.

Umat perlukan pejuang – pejuang Islam yang menegakkan Islam didalam hati umat. Itulah tuntutan dan semangat daripada Hijrah.

Maka andai kita tiada agenda sebelum ini, berhijrahlah supaya meletakkan agenda menegakkan Islam sebagai agenda harian kita. Semoga dakwah dan tarbiah Islam menjadi subur bumi bertuah ini.

Ameen.

Ust Suhail bin Mohd Sufian

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *