Fiqh SemasaSoal JawabUtama

Hukum melukis gambar Nabi Muhammad yang dibuat Syiah

syiah-lukis-gambar-nabi

Salam Ustaz ! Apa hukum melukis gambar Nabi dan ahli bait seperti yang dilakukan oleh orang Syiah.

Jawapan :

Gambar yang didakwa kononnya gambar Nabi Muhamad s.a.w dan gambar-gambar imam dua belas mereka ada dijual dengan meluas di Iran bahkan pernah dipamerkan di satu Expo Perdagangan Iran di Kota Bharu satu ketika dahulu, termasuk pelbagai cenderamata berlambang agama.

Hukum melukis, melakar atau mengukir gambar Nabi s.a.w., ahli keluarga dan para sahabat Baginda :

Ulama Ahli Sunnah sepakat MELARANG melukis, melakar atau mengukir gambar para Nabi dan Rasul. Sebab-sebab larangan tersebut seperti berikut :

1. Menggambar wajah mereka adalah merupakan pembohongan di atas apa yang telah dilukiskan. Pembohongan terhadap mereka adalah perkara yang diharamkan. Nabi s.a.w bersabda maksudnya :

“Sesiapa yang berbohong ke atas ku dengan sengaja maka hendaklah dia menempati tempatnya di dalam neraka”. [HR Bukhari dan Muslim]

Berdasarkan hadis ini, maka para ulama ahli sunnah sepakat bahawa HARAM melukis gambar Rasulullah s.a.w termasuk gambar para Nabi yang lain. Tidak ada seorang pun manusia yang hidup di zaman ini yang pernah melihat wajah Rasulullah S.A.W dan juga Nabi-Nabi yang lain. Dari mana lukisan Rasulullah itu didapati, kalau bukan dari hayalan dan imaginasi?

2. Dengan melukis gambar para Nabi dan Rasul juga adalah salah satu perkara yang menyakiti mereka. Ini kerana lukisan tersebut tidak dibuat secara tepat dengan yang asal. Menyakiti hati Rasulullah S.A.W adalah amat ditegah sama sekali. Firman Allah S.W.T :

Maksudnya : “Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti Allah dan Rasulnya, Allah melaknat mereka di dunia dan akhirat dan menyediakan mereka azab yang menghina mereka” [57: al-Ahzab]

Perbuatan puak-puak Syiah ini samalah seperti amalan masyarakat jahiliyah dahulu. Antara amalan jahiliyah ialah melukis dan membuat patung para Nabi dan orang soleh di masa lalu.

Sejarah keberhalaan membuktikan bahawa golongan awal telah menghasilkan gambar atau patung bertujuan untuk kenang-kenangan, tetapi kemudiannya sampai ke tahap mengquduskan dan menjadikannya sebagai perantaraan untuk beribadah.

Ahli tafsir menjelaskan tentang firman Allah s.w.t. melalui lisan Nabi Nuh a.s., maksudnya :

“Dan mereka berkata ; janganlah sekali-kali kamu meninggalkan (penyembahan) tuhan-tuhan kamu dan jangan pula kamu meninggalkan (penyembahan) wadd, dan jangan pula suwa’, yaghuts, ya’uq dan nasr.” [Nuh: 23]

Bahawa nama berhala yang disebutkan dalam ayat ini asalnya adalah nama-nama orang-orang soleh, tetapi ketika mereka meninggal dunia, syaitan membisikkan kaum mereka agar membuat patung-patung peringatan di majlis-majlis mereka dan menamakan mereka dengan namanya. Maka kaum itu pun melakukannya. Asalnya ia tidak disembah, tetapi setelah generasi mereka hancur dan ilmu telah dilupakan, ketika itulah patung-patung tersebut disembah.

Konklusi bahawa membenarkan imaginasi lukisan atau gambaran Rasulullah SAW secara langsung atau tidak langsung boleh menjurus kepada memasukkan unsur-unsur khurafat, tahyul dan khayalan ke dalam akidah Islam seterusnya ini sedikit demi sedikit akan menghakis sifat Islam sebagai agama yang bersih daripada dongengan, lebih-lebih lagi ia akan merosakkan sistem ‘tasabbut’ iaitu memastikan setiap apa yang disandarkan kepada agama itu adalah betul-betul benar seperti yang disusun oleh para ulama seumpama dalam metodologi ilmu hadis dan ilmu usul fiqh.

Berasaskan dalil dan hujah yang dibentangkan maka kita dapati bahawa para ulama Islam serta beberapa institusi Islam terkemuka telah mengumumkan fatwa HARAM menghasilkan lukisan atau apa-apa gambaran berbentuk imej Rasulullah SAW.

Antaranya adalah :
-Fatwa Syeikh Hasnain Makhluf | Mei 1950 | kitab al-Fatawa al-Islamiyyah, jilid 4, ms1297
-Lajnah Fatwa al-Azhar | Jun 1968
-Majlis Majma’ Buhuth al-Islamiyyah | Februari 1972
-Majlis Majma’ al-Fiqh al-Islami Makkah kali ke-8 1405H

Pengharaman ini adalah bertitik tolak daripada pendirian para ulama Islam yang mahu menjaga kepentingan Islam serta penganut agama Islam itu sendiri dan ia telah dijelaskan berpandukan hujjah-hujjah naqli (al-Qur’an dan al-Sunnah) dan aqli atau rasional pemikiran manusia.

Namun sekiranya masih kedapatan mereka yang masih mempertikaikan keputusan tersebut, itu bukanlah timbul kerana kepincangan hujjah-hujjah tetapi sekadar sifat manusia yang tidak pernah puas serta tidak tahu menghormati pandangan Ulamak yang telah sepakat.

Wallahua’lam.

Ust Rahman Iskandar

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *