KolumnisUtama

Kasih sayang dan cinta adalah intipati Islam

sujud2

Saban tahun kita dimomokkan oleh barat dengan sambutan hari kekasih iaitu 14 febuari semalam. Saya sengaja tulis lewat sehari ulasan bagi melihat sambutan di FB tentang hari kekasih ni semalam..

Alhamdulillah, apa yang saya lihat tiada dari kalangan sahabat FB yang menyambut hari valentine. Alhamdulillah..

Saya mengambil peluang ini untuk mengulas sedikit kasih sayang dan cinta dari sudut Islam yang telah dibuktikan dalam kehidupan Baginda SAW dan para sahabat.

Sebenarnya Islam sentiasa menggalakkan kasih sayang dan cinta. Bila baca sirah Rasullah SAW dan para sahabat sangatlah penuh dengan rasa cinta dan kasih sayang.

1. Kasih sayang yang ditunjukkan sesama Rasulullah dan para sahabat sesama mereka. sehinggalah melebihkan diri orang lain daripada diri sendiri..Alangkah indahnya hidup kelompok yang sayang menyayangi, pelihara antara suatu sama lain..Inilah ukhuwah Islamiyyah, ikatan paling kukuh yang merentas semua hubungan dan menyatukannya di bawah naungan akidah Islamiyyah. Walhal kita umat Islam hari ni dengan sebab akidah lah terpecah dan berkelahi.

2. Kasih sayang dalam Rumahtangga yang ditunjukkan oleh Baginda SAW kepada isteri-isteri Baginda yang menjadi contoh pembinaan sebuah keluarga berasaskan kepada mawaddah dan rahmah. Hari ini kita saksikan keretakan rumah tangga yang saban tahun meningkat seolah-olah kita tiada panduan dalam mengurus rumahtangga yang diajarkan oleh Baginda SAW sepertimana Baginda mengajar kita solat dan puasa.

3. Kasih sayang bersama antara majikan dan pekerja. Anas Bin Malik RA khadam ataupun pekerja Rasulullah menceritakan tentang peribadi Rasulullah, Baginda tidak pernah sama sekali memarahinya dan sentiasa mengasihaninya. Bahkan Baginda berdoa kepada pekerjanya itu supaya dimurahkan rezeki dan dibanyakkan anak. Hari ini pekerja hanyalah menjadi tempat melepaskan geram dan pekerja hanya mencari masa ketiadaan bos untuk culas.

4. Kasih sayang antara Pemimpin dan rakyat ketika Baginda SAW menawan semula kota Mekah selepas Baginda dihalau oleh penduduknya dan berhijrah ke Madinah. Penduduk mekah yang telah banyak menyakiti Baginda menunggu-nunggu apakah nasib mereka? adakah Baginda akan membalas dendam? terbuktilah dalam diri Baginda SAW penuh dengan rasa cinta dan kasih sayang yang memaafkan mereka tanpa ada syarat.

5. Dan lebih agung daripada semua yang di atas bagaimana kecintaan para sahabat dan Rasulullah SAW kepada Allah SWT yang dibuktikan dengan ketakqwaan dan ketaatan kepada Allah SWT yang tiada dapat menandingi kecintaan ini manusia mahupun Jin. Mereka sanggup berhijrah meninggalkan Mekah yang merupakan tempat tinggal, memori, harta mereka dan berhijrah ke Madinah untuk mencari keredhaan Allah SWT. Begitu juga kisah Jihad mereka yang tidak putus-putus demi Allah SWT dan Rasulnya..

Dan banyak lagi sudut Islam mengajar kecintaan dan kasih sayang. Tiada masa dan tempat tertentu sahaja untuk mengungkapkan kasih sayang. Bahkan para Duat dan orang beriman ibarat pohon yang dilontarkan batu lalu dia memberi buah sebagai tanda kasih dan sayangnya dia terhadap semua orang.

Adapun ada hari tertentu untuk menyambut dan mengungkap cinta bukan dari adat dan ajaran Islam. Apatah lagi mencedoknya daripada orang bukan Islam yang tiada panduan selain hawa nafsu sendiri.

Ayuh kembali kepada Sunnah lalu menyebarkan kasih sayang dan cinta dengan mengembalikan manusia kepada jalan Allah. Dengan itulah kita menyebarkan cinta kepada umat manusia dan membuktikan cinta kita kepada Allah SWT.

Sekian, Wallhuallam.

Ust Muhammad Ikram Abu Hassan

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *