Kejatuhan Kerajaan Islam Turki : Solusi Di Malaysia

3 Mac minggu lalu, genap 92 tahun ulang tahun keruntuhan sebuah tamadun islam yang agung, Turkey Uthmaniyya, yang berakhir secara rasminya pada 3 Mac 1924, tidak lama selepas pelucutan jawatan seorang Sultan umat Islam terakhir, Abdul Hamid II pada 1909.

Hingga hari ini, tiada lagi Negara Islam yang menjadi kuasa dunia, semuanya terkongkong di bawah kuasa besar dunia yang kita semua sudah maklum siapakah di sebaliknya.

+ + +

Syeikh Dr. Abdul Qadir Abu Faris rhm. (Ulama Jordan dalam bidang Politik Islam) telah menyimpulkan satu konsep penting yang wajib kita fahami iaitu : “As-Siyadah Li As-Syara` Wa As-Sultoh Li Al-Ummah”.

“As-Siyadah li As-Syara`” membawa maksud, hanya Allah yang punyai hak menghalalkan atau mengharamkan sesuatu. Manusia wajib mengikut apa saja ketetapanNya. Allah adalah pemerintah tiada tandingan yang tertinggi di dunia.

Dalam istilah ringkasnya Syeikh Abu Faris dan kebanyakan ulama Siyasah yang lain simpulkan sebagai : Al-Hakimiyyah Lillah (Pemerintahan/kekuasaan adalah milik Allah swt).

Manakala “As-Sultoh li al-Ummah” pula bermaksud: Umat pula diberi hak untuk memilih dan melantik pemimpin dari kalangan mereka yang berwibawa yang mampu memikul tanggung jawab menegakkan syara’ dalam negara.

Maka, jika betul-betul mahukan SOLUSI kepada kejatuhan Umat Islam hari ini, tegakkanlah Negara Islam hakiki yang mengangkat Al-Hakimiyyah Lillah . Kerana ia sudah terbukti berjaya memerintah dunia selama berkurun-kurun dengan cemerlang dan adil sejak zaman Khulafa’ Ar-Rasyidin hinggalah Kerajaan Turki Uthmaniyyah.

Tapi ingat, jangan hanya memperjuang Negara Islam tetapi rapuh tiada tiang dan akar umbi yang teguh.

Bilamana kita memahami kewajipan mewujudkan negara Islam yang hakiki, kita juga perlu memahami KEPERLUAN ASAS bagi negara Islam yang kukuh.

Kita perlukan pemerintah dan rakyat yang masing-masing berpegang teguh pada Syara’ dalam seluruh aspek kehidupan termasuk Ekonomi, Pendidikan, Ketenteraan, Politik dan lain-lain.

Jika tidak, bagaimana pemerintah ingin implimentasi syara’ dalam negara kalau rakyat sendiri tidak mahukan syara’?

Ketuanan syara’ dan kemahuan rakyat TIDAK dapat dipertemukan melainkan rakyat sendiri terbimbing sepenuhnya dan inginkan syara’.

+ + +

Akhirnya, kita wajib beriman bahawa methodologi perubahan yang diasaskan oleh Rasulullah saw itulah yang paling tepat, memberi solusi & kejayaan besar buat Islam. Ia bermula dengan fokus pembentukan peribadi muslim dalam skala besar sebagai asas yang kuat bagi sesebuah keluarga dan masyarakat yang seterusnya menjadi tunggak kukuh sebuah negara.

Dengan terbinanya negara Islam yang hakiki, barulah manusia akan berbondong-bondong memasuki Islam, selepas mereka bebas dari semua sistem dan pemikiran yang mencengkam mereka selama ini.

Dengan aset fitrah yang dimiliki, mereka dapat lihat dengan mata hati bagaimana sistem Negara Islam yang mentadbir mereka dengan adil dan cemerlang, lantas tunduk patuh dengan pemerintahan Islam ataupun terus memeluk Islam. Inilah sebenarnya yang dijelaskan oleh Tokoh Pemikir Islam, As-Syahid Syed Qutub dalam Muqaddimah Surah Al-Anfal Tafsir fi Zilal mengenai hakikat kebebasan.

Dengan terbinanya negara Islam yang hakiki, barulah Maqasid Siyasah Syar’iyyah (Tujuan politik Islam) tercapai : Penegakan Syariah Allah di muka bumi.

 

Ust Ahmad bin Khairuddin

Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *