Memohon Fasakh terhadap kezaliman suami
SOALAN: Saya tahu memukul isteri adalah dibolehkan sekiranya dgn niat memberikan pengajaran. Tetapi apakah hukumnya seandainya suami memukul isteri untuk menegakkan hak seorang isteri dengan memberikan kecederaan keatasnya walaupun isteri sedang mengandung dan suaminya berkata ‘Aku boleh pukul sesuka hati, sampai engkau tak gugur’.apakah pandangan ustaz? bolehkah isteri meminta cerai kerana takutkan keselamatan diri dan kandungannya?
JAWAPAN :
Bismillah
Dalam Islam, perbuatan suami memukul isteri merupakan satu tindakan dalam menghadapi perbuatan nusyuz dari pihak isteri. Nusyuz di sini bermakna si isteri derhaka dan tidak mentaati suaminya dalam perkara yang dibenarkan syarak. Namun, perbuatan memukul ini bukanlah langkah pertama yang perlu dilakukan. Allah SWT berfirman:
“Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya). Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka. Sesungguhnya Allah Maha Tinggi, lagi Maha Besar”.
(Surah An-Nisa’:4:34)
Sekiranya berlaku nusyuz oleh isteri, langkah-langkah yang perlu diambil berdasarkan ayat ini adalah:
Pertama: Memberi nasihat dan teguran. Mengajak si isteri untuk kembali taat dengan kata-kata yang baik.
Kedua: Sekiranya nasihat dan teguran tidak diendahkan, suami mengasingkan diri dari tempat tidur isteri untuk menunjukkan kemarahan.
Ketiga: Sekiranya tidak kembali taat juga setelah langkah pertama dan kedua dilakukan, barulah suami dibenarkan untuk memukul isteri namun dengan syarat.
Cara memukul yang dibenarkan oleh syarak adalah:
- Pukulan yang tidak mendatangkan mudarat kepada isteri, iaitu tidak memukul isteri dengan pukulan keras, tidak memukul di bahagian muka atau pada anggota-anggota isteri yang terbuka dan mudah cedera.
- Tujuan pukulan tersebut adalah untuk memberi pengajaran dan dengan tujuan isteri kembali taat semula kepadanya. Bukan dipenuhi dendam dan dengan niat menzalimi.
- Tidak mencerca isteri dengan kata-kata yang buruk.
Untuk menjawab soalan yang diutarakan, perbuatan suami puan memukul sehingga mencederakan adalah perbuatan yang salah dan bertentangan dengan syarak kerana suami tidak boleh memukul isteri sesuka hati dan tanpa sebab yang dibenarkan. Haram hukumnya suami mendatangkan mudarat kepada isteri tanpa sebab munasabah kerana mendatangkan mudarat kepada orang lain adalah suatu kezaliman. Melakukan kezaliman adalah haram kerana Allah tidak menyukai orang-orang yang berlaku zalim.
Dalam hidup berumah tangga, kewajipan pasangan suami dan isteri sepatutnya adalah memberi layanan yang baik kepada pasangan masing-masing. Ia merupakan tanggungjawab yang perlu ditunaikan demi memastikan kebahagiaan dan keharmonian. Allah SWT berfirman:
“Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik”. (Surah An-Nisa’ 4: 19)
Memudaratkan isteri secara fizikal seperti menampar, memukul, menyepak apatah lagi perbuatan yang boleh membahayakan ibu dan bayi di dalam kandungan adalah dilarang kerana perbuatan seumpama ini amat jauh dari konsep pergaulan baik di antara suami isteri sebagaimana yang dituntut syarak.
Puan sebenarnya boleh mendapat perlindungan dari Akta Keganasan Rumah Tangga 1994. Apa yang puan boleh lakukan adalah mendapatkan rawatan doktor jika cedera, kemudian membuat laporan polis dan Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Puan juga mempunyai hak dan alasan yang kukuh untuk menuntut penceraian kerana isteri mempunyai hak untuk membubarkan perkahwinannya melalui fasakh sebagaimana yang diperuntukkan dalam Seksyen 52, Akta Undang-Undang Keluarga Islam 1984 sekiranya berlaku penganiayaan oleh suami.
Yang penting, puan haruslah berani bertindak dalam menuntut hak dan tidak terus berdiam diri. Sesungguhnya perkahwinan adalah perkongsian hidup yang dipenuhi cinta dan kasih sayang. Sekiranya dipenuhi dengan derita dan kesengsaraan, apalah ertinya lagi sesebuah perkahwinan itu.
“Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaannya dan rahmatNya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikanNya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir”. (Surah Ar-Rum 30:21).
Wallahua’lam.
Rujukan:
1) Hukum memukul isteri:
http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=110368
http://fatwa.islamweb.net/fatwa/index.php?page=showfatwa&Option=FatwaId&Id=69
2)Akta Keganasan Rumah Tangga 1994:
http://www.agc.gov.my/Akta/Vol.%2011/Akta%20521%20-%20Akta%20Keganasan%20Rumah%20Tangga%201994.pdf
3) Alasan Membubarkan Perkahwinan Melalui Fasakh: http://www.islam.gov.my/sites/default/files/8.alasan.pdf