Kenyataan RasmiUtama

Kenyataan : Pelantikan Datuk Dr Haron Din sebagai Mursyidul Am PAS

haron din

الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وصحبه ومن تبع هداه وبعد

35:28

Majlis Ulama ISMA (MUIS) mengucapkan tahniah kepada Datuk Dr Haron Din atas pelantikan beliau sebagai Mursyidul Am Parti PAS melalui lantikan oleh Majlis Syura Ulama PAS.

MUIS berdoa semoga perlantikan tersebut akan lebih membuka ruang untuk sumbangan yang lebih besar kepada perjuangan Islam di tanah air Malaysia ini, dan lebih memberi ruang kepada kerjasama sesama gerakan Islam di Malaysia ke arah memartabatkan syariat Islam di Negara ini.

MUIS percaya kerjasama dan persefahaman antara gerakan Islam di Malaysia adalah amat penting di dalam menghadapai pelbagai arus yang mengancam kedudukan Islam dan jatidiri umat Islam di Malaysia seperti arus liberalism, pluralisma, sekularisma, salahguna kuasa, pembaziran dll. Ini ditambah lagi dengan pelbagai isu-isu besar lain yang menyentuh kesejahteraan umat secara umum, yang memerlukan panduan syariat di dalam menyelesaikannya.

Hanya panduan syariat yang jelas sahajalah yang dapat memastikan bahawa usaha memartabatkan Islam di Malaysia akan berada di atas landasan yang sebenar.

Ketegasan yang selama ini ditunjukkan oleh Datuk Dr Haron Din dalam memelihara al-Haq seperti dalam hal isu kalimah Allah adalah perkara yang hendaklah diteruskan serta sepatutnya dijadikan qudwah oleh pemimpin, ulama serta masyarakat Malaysia amnya.

MUIS juga mengambil kesempatan ini untuk mengingatkan para ulama akan tanggungjawab mereka untuk memandu umat kearah jalan Islam yang sebenar. Kegagalan para ulama untuk menyedari tanggungjawab mereka yang sebenar, kegagalan di dalam meletakkan awlawiyat yang sebenar atau kegagalan di dalam mengenali musuh umat yang sebenar akan menyebabkan kekeliruan serta mengundang fitnah yang besar kepada umat.

MUIS juga ingin mengingatkan seluruh ulama bahawa sesungguhnya mereka adalah tempat rujukan, panduan dan qudwah kepada masyarakat. Maka letakkanlah kepentingan maslahat umat serta kebenaran itu di tempatnya yang tertinggi mengatasi segala perkara yang lain.

عن أنس بن مالك رضي الله عنه، قال: قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: «إن مثل العلماء في الأرض كمثل النجوم، يهتدى بها في ظلمات البر والبحر، فإذا انطمستالنجوم أوشك أن تضل الهداة» رواه أحمد

Dariipada Anas bin Malik RA, Sabda Rasulullah SAW: “Gambaran ulama di muka bumi adalah seperti bintang di langit yang memberi petunjuk dalam kegelapan di daratan dan lautan. Apabila bintang berkenaan hilang, maka ditakuti manusia akan tersesat jalan.” (riwayat Ahmad)

Semoga Allah SWT sentiasa memandu para ulama umat ke arah memperjuangkan Islam dalam bentuk yang paling diredhaiNya.
 
Prof Madya Dr Aznan Hasan
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *