KolumnisUtama

Islam tidak boleh difahami dalam kerangka barat

 

one finger islam

Menjadi muslim, bererti menjadi seorang yang tunduk kepada Allah dengan segala jiwa dan raganya. Pegangannya, kepercayaannya, tabiatnya, pemikirannya, perasaannya, pertimbangannya dan cara hidupnya.

Atas sebab itu memahami Islam dalam kerangka Barat boleh membawa kita terjebak kepada masalah-masalah besar yang berlaku dalam dunia barat sendiri seperti zaman kegelapan, negara teokrasi, pertentangan agama dengan sains, agama tanpa institusi, dan sebagainya.

Mungkin itu yang menjadikan ramai anak muda Islam pada hari ini mudah cenderung untuk menolak para ulamak (walaupun hanya segelintir yang terlibat) yang terlibat dalam politik kerana dikatakan mahu mempolitikkan agama, juga cenderung untuk menolak penafsiran secara keagamaan dan kerohanian dalam isu-isu besar Malaysia seperti hidangan arak dalam MH 370, isu banjir sebagai peringatan daripada Allah, dan sebagainya.

Kita mesti keluar daripada paradoks ini. Tuhan di langit juga merupakan Tuhan di bumi, di atas alam nyata. Tuhan di masjid juga adalah Tuhan di pejabat dan pasaraya. Kesyumulan konsep ketuhanan ini membawa kepada kesyumulan kita hidup beragama, lantas menolak paradoks yang mengetepikan peranan ‘hidup bertuhan’ dalam mana-mana aspek kehidupan.

Tiada pertentangan di antara agama dan sains, juga antara agama dan peng’institusi’an, serta agama dengan penafsiran fenomena alam.

Ini kerana kebenaran agama sama benarnya dengan hakikat kebenaran alam. Kedua-duanya datang dari satu Pencipta. Kedua-duanya mempunyai undang-undang yang sama benarnya, dan saling selari dalam satu ekosistem kewujudan.

Sekalipun wujud sesetengah golongan yang menggunapakai istilah agama dalam bisnes dan politik dengan niat eksploitasi, ia tetap tidak menafikan bahawa perjuangan atas nama agama tetap relevan dan tidak pernah ketinggalan zaman, kerana agama itu juga merupakan perjuangan, dan menegakkannya adalah satu tujuan, atas sebab itu juga para rasul yang merupakan semulia-mulia ciptaan diutuskan.

Di sisi Islam, agama hanya ada dua, wahyu, dan nafsu. Yang tidak menegakkan wahyu, akan menegakkan nafsu, walau apa sekalipun namanya, walau namanya ada kalimah ‘Islam’. Hakikatnya semua nama-nama yang di’islam’kan ini tidak ada nilai sebenar Islam walau sedikit pun, kerana percampuran hak dan batil dalam perjuangan mereka menafikan sifat ketulenan Islam itu sendiri.

وَلَوۡلَا دَفۡعُ ٱللَّهِ ٱلنَّاسَ بَعۡضَهُم بِبَعۡضٍ۬ لَّفَسَدَتِ ٱلۡأَرۡضُ

“Kalaulah Allah tidak menolak (kefasadan) sebahagian manusia dengan sebahagian yang lain, sudah pasti akan hancurlah muka bumi ini” – (Surah Al-Baqarah : 251)

وَلَوِ ٱتَّبَعَ ٱلۡحَقُّ أَهۡوَآءَهُمۡ لَفَسَدَتِ ٱلسَّمَـٰوَٲتُ وَٱلۡأَرۡضُ وَمَن فِيهِنَّ‌ۚ

“Kalaulah kebenaran itu mengikut hawa nafsu mereka sudah pasti akan hancurlah seluruh langit dan bumi ini serta apa yang ada dalamnya” – (Surah Al-Mukminun: 71)

قُلۡ إِنَّ صَلَاتِى وَنُسُكِى وَمَحۡيَاىَ وَمَمَاتِى لِلَّهِ رَبِّ ٱلۡعَـٰلَمِينَ

“Katakanlah (wahai Muhammad) bahawa sesungguhnya solatku, ibadahku, kehidupanku, dan kematianku adalah untuk Allah Tuhan sekalian alam” – (Surah Al-An’am :162)

Wallahua’lam

Ust Ahmad Syamil Esa
Ahli Majlis Ulama ISMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *