Marina Mahathir jahil hakikat Syariat Allah SWT
Gambaran yang diberikan oleh Marina Mahathir bahawa Hudud akan membawa kesan buruk kepada Negara serta akan memecah belahkan masyarakat adalah suatu kenyataan orang yang jahil. Jahil akan kefahaman agama Islam itu sendiri bahkan jahil terhadap hakikat hubungan antara bumi dengan Pencipta Alam Semesta ini .
Saya tidak bercadang mengupas perkara ini daripada perspektif hudud, kerana bagi saya kenyataan seperti itu jelas menunjukkan dia gagal memahami perkara yang lebih mendasar lagi dalam agama Islam. Iaitu berkaitan aqidah serta keimanan terhadap Allah SWT.
Hudud adalah sebahagian daripada hukum hakam syariat Allah SWT yang diwajibkan ke atas pemerintah sesebuah Negara Islam melaksanakannya. Kewajipan melaksanakannya bukanlah sekadar kerana ianya adalah perintah Allah SWT sahaja, yang lebih utama ianya adalah demi kemaslahatan masyarakat yang hidup dalam sesebuah negara.
Mustahil bagi Allah SWT yang menciptakan manusia dan seluruh alam ini akan memerintah sesuatu perkara yang akan memberi keburukan kepada diri manusia itu sendiri.
Perkara ini perlu kita imani dengan sebenar-benarnya sebagai seorang muslim.Kita perlu beriman bahawa Allah SWT tidak akan mewajibkan kita akan sesuatu perkara melainkan perkara tersebut mempunyai suatu kemasalahatan yang pasti terhadap kita samada masalahat di dunia atau diakhirat kelak. Sifir ini perlu kita imani sejak awal lagi: semakin kita banyak laksanakan perintah Allah SWT sudah pasti semakin banyak kebaikan yang kita akan dapat.
Hubungan akan kedua perkara ini iaitu antara keimanan terhadap Allah SWT juga kemakmuran serta kemaslahatan yang akan lahir pada perspektif sebuah negara adalah suatu perkara yang jelas diterangkan di dalam Al-Quran.
Dan kalau mereka bersungguh-sungguh menegakkan (menjalankan perintah-perintah Allah dalam) Taurat dan Injil dan apa yang diturunkan kepada mereka dari Tuhan mereka (Al-Quran), nescaya mereka akan makan rezeki (yang mewah) dari atas mereka (langit) dan dari bawah kaki mereka (bumi). (Surah Al-Maidah : 66)
Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Dia Maha Pengampun. (10) (Sekiranya kamu berbuat demikian), Dia akan menghantarkan hujan lebat mencurah-curah, kepada kamu; (11) Dan Dia akan memberi kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan serta anak-pinak; dan Dia akan mengadakan bagi kamu kebun-kebun tanaman, serta mengadakan bagi kamu sungai-sungai (yang mengalir di dalamnya). (12) (Surah Nuh: 10-12)
Dan (Tuhan berfirman lagi): Sekiranya penduduk negeri itu, beriman serta bertakwa, tentulah Kami akan membuka kepada mereka (pintu pengurniaan) yang melimpah-limpah berkatnya, dari langit dan bumi. Tetapi mereka mendustakan (Rasul Kami), lalu Kami timpakan mereka dengan azab seksa disebabkan apa yang mereka telah usahakan. (Surah Al-A’raf: 96)
Azab dan kemudaratan itu hanya akan lahir apabila kita mula mengabaikan segala perintah serta syariat Allah SWT.
Syed Qutb rahimahullah menerangkan perkara ini di dalam Kitab Fi Zilal Al-Quran berkenaan sifir ini:
Kaedah yang disebut dibanyak tempat di dalam Al-Quran ini adalah suatu kaedah yang pasti, suatu ketetapan dan perkara inilah yang kita saksikan sepanjang tempoh kehidupan manusia. Ianya dibicarakan pada perspektif umat bukan secara peribadi.Tidak ada suatu umat yang bertakwa kepada Allah, rajin beribadah kepada-Nya, menegakkan syariatNya dan menerapkan keadilan dan keamanan bagi semua manusia melainkan akan melimpah pada mereka kebaikan yang tersangat banyak. Allah akan memantapkan kedudukan mereka di muka bumi dan akan menjadikan mereka khalifah untuk memberi kemakmuran kepada alam seluruhnya. (Fi Zilal Quran, Tafsir Surah Nuh)
Ini adalah suatu janji Allah SWT! Menegakkan syariat akan melahirkan keamanan lalu jika kita menolaknya akan mengundang bala. Samada kita hendak beriman terhadap sifir ini atau tidak akhirnya terserah kepada kita. Namun ketetapan Allah SWT (sunatullah) pasti akan terus berjalan dan berlaku terhadap seluruh alam semesta ini.
Bagi saya tiada masalah untuk kita berbicara perkara berkaitan hudud pada sudut teknikal untuk mengaplikasannya terhadap sistem perundangan di negara ini. Samada mengenai halangan yang wujud serta bagaimana proses menyesuaikannya dengan perkembangan teknologi semasa.
Namun perbincangan itu tidak sepatutnya mengurangkan sedikit pun keimanan serta keyakinan kita terhadap syariat Allah SWT ini sudah pasti akan memberi kemaslahatan serta menjadi kunci kepada pintu-pintu rezeki yang melimpah-limpah keberkatannya. Maslahat itu meliputi apa yang kita ketahui serta apa yang adakalanya tidak kita ketahui, menjangkaui dunia juga alam akhirat.
Inilah dasar keimanan kita! Menyatakan bahawa syariat Allah SWT ini akan memberi keburukan kepada kita sebenarnya seolah-olah kita menyatakan bahawa Allah SWT gagal serta tidak mampu memahami akan perkara yang boleh memberi kebaikan kepada manusia itu sendiri.
Maha Suci Allah daripada sebarang kelemahan. Sesungguhnya Allah itu Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana.
Ust Muhammad Firdaus bin Zalani Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)