Maqasid Utama Syariah Yang Mencabar Kuasa Barat dan Pejuang-Pejuang Liberal
Kalimah “maqasid” mulai popular hari ini apabila banyak tulisan, ucapan, diskusi dan wacana menggunakan terma maqasid, di samping tak kurang juga jenama yang diperkenalkan atas nama maqasid seperti Lepak Maqasid dan Sekolah Pemikiran As-Syatibi (Ulama’ Maqasid).
Namun bagi saya, banyak perbincangan maqasid sesetengah pihak di Malaysia hari ini begitu mengecewakan, hanya menyentuh isu-isu mikro atau bersifat juz’iyyah seperti menegakkan keadilan sosial, memperjuang hak asasi manusia, kebebasan bersuara dan lain-lain laungan yang dakwanya itulah maqasid Syariah yang wajib dicapai, itulah tujuan utama syariah diturunkan.
Tetapi isu maqasid yang paling utama, bersifat kulliah atau makro yang hakikatnya adalah asas segala maqasid yang dilaungkan tadi dipinggirkan. Natijahnya, apa yang dibincangkan tiada penyelesaian jelas dan buntu ke arah mana mahu dituju. Buntu untuk apa semua itu dilaungkan. Adakah sekadar kebajikan dan keadilan sosial itu sahaja yang Allah mahu dari manusia?
Ingin sekali saya berkongsi seringkas yang boleh serba sedikit mengenai asas Maqasid Syariah yang perlu ditekankan bagi memandu kita semua khususnya sebagai seorang Muslim yang terikat dengan syariah dan juga sebagai panduan asas bagi mereka yang ingin berwacana berkaitan ilmu Maqasid.
+ + +
Makna Maqasid Syariah
Maqasid Syariah, Maqasid Syari’, dan Maqasid Syar’iyyah semuanya membawa maksud yang sama.[1]
Dari sudut bahasa, Maqasid adalah kata jama’ yang berasal dari kalimah maqsad, yang membawa maksud tujuan.
Maqasid Syariah pula bermaksud ; Matlamat daripada syariah yang diturunkan, dan rahsia-rahsia yang diletakkan As-Syari’ (Allah swt) pada setiap hukum hakamnya”[2], seperti mana yang dijelaskan Al-‘Allamah ‘Allal Al-Fasi.
Syeikh Ibn ‘Asyur pula menerangkan ;
“Maqasid ‘Ammah bagi Syariah adalah makna-makna (ma’ani) dan hikmah-hikmah yang dicatatkan/dikehendaki As-Syari’ (Allah swt) dalam semua atau majoriti urusan pensyariatan.”[3]
Secara mudahnya, boleh saya katakan Maqasid Syariah ini adalah apa yang Allah kehendaki melalui segala syariat yang diturunkanNya kepada kita. Untuk menjawab kenapa dan apa tujuan kita laksanakan segala tuntutan syariat ini.
Maqasid Syariah sangatlah penting untuk difahami, kerana satu titik penting yang membezakan sistem Islam dengan segala sistem dan ideologi selainnya adalah berbezanya Maqasid yang begitu jauh antara keduanya yang akhirnya akan menentukan tempat tinggal akhir kita buat selama-lamanya, samada syurga atau neraka.
Maqasid Syariah adalah Maqasid Al-Quran
Hakikatnya, Maqasid Syariah dan Maqasid Al-Quran adalah sama. Kerana sumber utama syariah itu sendiri adalah Al-Quran, bukan bersumberkan logik akal semata-mata.
Begitulah juga bagi semua urusan di dunia ini, tidak boleh lari dari panduan Al-Quran dan As-sunnah yang merupakan wahyu daripada Allah swt yang menciptakan seluruh makhluk di dunia ini. Maka tidak boleh tidak, perbincangan maqasid Al-Quran adalah satu perbincangan yang terpenting sebagai dasar perbincangan maqasid.
Sudah ramai ulama’ yang membahaskan tentang Maqasid Al-Quran yang kebiasaannya terbahagi kepada 3 bahagian maqasid ;
- Maqasid setiap ayat Al-Quran secara terperinci.
- Maqasid setiap surah di dalam Al-Quran,
- Maqasid umum Al-Quran secara keseluruhan (Maqasid Al-‘Ammah lil Al-Quran). [4]
Adapun dalam artikel kali ini saya hanya ingin berkongsi mengenai Maqasid Umum Al-Quran secara keseluruhan untuk memberi gambaran yang lebih luas maqasid utama yang semestinya dicapai.
Imam Al-Ghazali dalam kitabnya “Jawahir Al-Quran” menyatakan terdapat 3 Maqasid Al-Quran yang terpenting sebagai pokok kepada segala maqasid yang lain.
- Mengenalkan kita pada Allah swt
- Mengenalkan kita pada jalan lurus yang wajib dilaluinya.
- Mengenalkan keadaan ketika hari Akhirat[5]
Sultan Al-‘Ulama, Al-‘Izz bin Abd Salam menyimpulkan maqasid Al-Quran dalam satu ayat :
“الأمر باكتساب المصالح وأسبابها والزجر عن اكتساب المفاسد وأسبابها”
(arahan supaya memperoleh maslahah-maslahah dan sebab-sebabnya, serta larangan daripada memperoleh mafsadah-mafsadah dan sebab-sebabnya)[6]
Al-Baqa’ie pula telah menyatakan maqasid surah Al-Ikhlas yang merupakan 1/3 daripada Al-Quran :
” Ia memadai dengan arahan supaya beriktikad dengan keesaan Allah yang merupakan iktikad (kepercayaan) yang paling utama. Segala maqasidnya tertumpu kepada menerangkan Aqidah, hukum-hakam, dan kisah-kisah. Surah ini merangkumi seluruh pengetahuan Ilahiyyah dan membidas mereka yang tidak mempercayainya. Inilah sebenarnya yang dikehendaki yang mana menjadi ikutan/asas segala maqasid yang lain.”[7]
Maqasid Al-Quran Yang Mencabar Kuasa Barat dan Pejuang-Pejuang Liberal
Penulis Tafsir fi Zilal Al-Quran, As-Syahid Syed Qutb rahimahullah telah merungkaikan kepada kita maqasid asasi Al-Quran dengan lebih jelas dan tepat pada situasi hari ini. Ia selari dengan keterangan-keterangan Ulama’ Agung di atas. Malah beliau telah menulis sebuah tafsir Al-Quran yang lebih membuka mata kita hari ini, bertepatan dengan situasi dunia akhir zaman yang penuh pertembungan ideologi dan kuasa abad ini.
Syed Qutb – dengan taufiq dan rahmat Allah swt kepadanya – yang telah hidup berpuluh tahun di bawah naungan Allah, mendalami makna-makna setiap ayatnya, telah dikurniakan kemampuan untuk mengetahui tujuan sebenar yang praktikal (Aghradh ‘Amaliyyah) daripada Al-Quran dan mengetahui Maqasid Asasiyyah Al-Quran. Jika kita selalu membaca Tafsir fi Zilal Al-Quran, pasti kita akan dapati beliau sering mengulangi perkara yang sama bagi menguatkannya dan menunjukkan perkara yang ditulis itulah yang terpenting.
Perkara atau isu yang sentiasa diulangi Syed Qutb adalah berkenaan Aqidah, Al-Hakimiyyah, dan Pertembungan yang sentiasa berlaku sepanjang zaman antara Aqidah dan Jahiliyyah.
Ia tidak kontradik dengan apa yang dapat kita perhatikan sendiri dari Al-Quran. Hakikat-hakikat yang sentiasa difokuskan Al-Quran adalah berkenaan hakikat Uluhiyyah dan ciri-ciri khususnya, Hakikat ‘ubudiyyah, menentukan hubungan ubudiyyah dengan uluhiyyah, hakikat perkara ghaib, hakikat manusia, hakikat ciptaan alam, dan hakikat kehidupan.[8]
Maqasid Asasi Al-Quran menurut Syed Qutb adalah perjuangan di dalam pertempuran Aqidah (Ma’rakah Al-Aqidah), melawan musuh-musuh Umat Islam, dan menetapkan umat Islam di atas jalannya.[9]
Al-Quran di sisi Sayyid Qutb bukanlah bercerita tentang peristiwa yang berlaku pada sesuatu fatrah zaman tertentu yang telah berlalu dan berakhir begitu sahaja. Bukan juga mengisahkan tentang pertembungan dengan Jahiliyyah lalu yang telah hapus di mamah zaman. Tetapi ia bercerita tentang segala Jahiliyyah-Jahiliyyah yang wujud tidak kira masa dan zaman. Tentang bertembungan dengan realiti yang terpesong tidak kira zaman, dan membawa realiti tersebut pulang ke Jalan Allah yang lurus.[10]
Perkara yang disebut di atas adalah isu pokok dalam Al-Quran, maqasid asasi bagi Al-Quran. Sebab itulah kita dapat perhatikan Syed Qutb seringkali mengulanginya bagi menyedarkan dan membuka mata hati kita yang sudah lama terlena.
Menurut Syed Qutb lagi, kehidupan manusia di muka bumi ini tidak akan lurus melainkan apabila wujudnya hakikat ini dalam kepercayaan dan gambaran mereka, begitu juga dalam kehidupan dan realiti mereka[11], bahawa Allah swt yang Maha Berkuasa di dunia ini. Allah sahaja lah yang layak memerintah segala sistem di dunia ini. KuasaNya mutlak tidak tertanding oleh sebarang kuasa dan sistem manusia, atau dalam bahasa arab ringkasnya disebut Al-Hakimiyyah Lillah (Seluruh pemerintahan adalah milik Allah)
Inilah sebenarnya titik penting berbezanya maqasid ataupun tujuan utama umat Islam dengan musuh Islam dan sekutunya.
Pejuang Islam yang hakiki sentiasa berjuang menegakkan Hakimiyyah Allah, manakala musuh Islam sentiasa berjuang menjatuhkan Hakimiyyah Allah, ingin terus kekal berkuasa di atas muka bumi ini, mengatasi Allah swt.
Kesimpulan
Menegakkan Aqidah di muka bumi, menegakkan Hakimiyyah Allah, inilah maqasid kepada segala maqasid yang dibincangkan hari ini yang mana tidak pernah disebut oleh pejuang liberal di Malaysia.
Akhirnya kita ingin membawa seluruh manusia kepada Allah swt. Kita ingin mengangkat kedudukan Agama Allah menjadi sistem untuk seluruh manusia di dunia ini. Agama Allah iaitu Islam sahajalah yang layak bahkan wajib untuk dipatuhi, kerana kita yakin bahawa tidak ada yang dapat menyediakan suatu sistem terbaik untuk seluruh makhluk di dunia ini melainkan Al-Khaliq, Allah swt, Pencipta kepada semua makhluk.
Sunnah perjuangan sudah termaktub di dalam Al-Quran, maqasid Al-Quran ini sentiasa mencabar kuasa Jahiliyyah, mencabar kedudukan-kedudukan manusia yang merasakan diri mereka tuhan yang berkuasa di dunia ini, mencabar kedudukan mereka yang bertuhankan akal dan hawa nafsu. Pejuang-pejuang liberalisme yang bertuhankan akal, akan sentiasa tercabar dengan hakikat Hakimiyyah Allah ini.
Hanya mereka yang naif akan terus terpedaya dengan laungan-laungan liberal, demokrasi, hak asasi manusia, kebebasan tajaan barat dan musuh Islam bagi menutupi kerakusan mereka yang tamakkan kuasa besar dunia, yang menyerang umat Islam dalam pelbagai bentuk fizikal mahupun pemikiran, untuk mengekalkan kedudukan mereka di tampuk pemerintahan dunia, mengatasi kedudukan tertinggi Allah swt yang menjadi maqasid utama kita.
Umat Islam yang menyedari hakikat ini akan sentiasa berjuang dengan segala kemampuan untuk menegakkan agama Islam, berani bertembung dengan segala kuasa dan pemikiran selain Islam pada hari ini seperti Liberalisme, Humanisme, Feminisme, Hedonisme yang merupakan umpan barat bagi menarik hati umat Islam dan mencairkannya secara halus dan perlahan-lahan.
Kita perlu yakin bahawa Islam sahajalah yang mampu memberi rahmat dan kesejahteraan kepada seluruh manusia. Jika tidak, apakah ertinya Islamnya kita pada saat ini?
Ingatlah kata-kata Imam Ibnu Al-Qayyim rahimahullah :
“Sesungguhnya asas syariah adalah ia memberi hikmah dan kebaikan pada kehidupan manusia. Syariah semuanya adil, semuanya maslahah, dan semuanya hikmah.”[12]
Ust Ahmad bin Khairuddin Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS) BA Syariah (Hons) Fiqh & Usul Fiqh Universiti Yarmouk, Jordan
Rujukan:
[1] Nadzoriah Al-Maqasid ‘Inda Al-Imam As-Syatibi, m/s 17
[2] Maqasid As-Syariah Al-Islamiah wa Makarimuha, m/s 3
[3] Maqasid As-Syariah Al-Islamiah, m/s 50
[4] Maqasid Al-Maqasid, Syeikh Dr. Ahmad Ar-Raisuni, m/s 21-24
[5] Jawahir Al-Quran, m/s 23
[6] Qawa’id Al-Ahkam fi Islah Al-Anaam. 10/1
[7] Nazmu Ad-Durar fi Tanasubi Al-Ayat wa As-Suwar, 593/8
[8] Lihat : Surah Al-Baqarah ayat 109, 130, 217, Surah An-Nisa’ ayat 89 sebagai contoh.
[9] Lihat : Fi Zilal Al-Quran, 3541/1
[10] Lihat : Fi Zilal Al-Quran, 1219/3
[11] Lihat : Fi Zilal Al-Quran 1753/3
[12] I’lam Al-Muwaqqi’in, 3/3