KolumnisUtama

Di manakah hilangnya kelembutan dan ketegasan dalam jiwa umat ini?

Hadirnya Islam adalah untuk mengembalikan manusia kepada fitrah dan bukannya untuk menentang serta menolak fitrah tersebut. Atas dasar itulah, dalam Islam adanya peraturan perkahwinan, aturan menyambut tetamu, aturan peperangan, aturan jual beli, fiqh kewanitaan dan pelbagai perkara lagi yang melambangkan Islam itu meraikan fitrah. Diraikan fitrah itu dengan maksud dinilai manusia itu sebagai manusia dan bukan tuhan atau melaikat dalam masa yang sama dipandu fitrah itu supaya diletakkan serta digunakan pada tempatnya.

Tegas dan berlembut adalah dua sifat yang sedia ada di dalam jiwa dan fitrah manusia. Manusia akan bertegas pada perkara yang mereka tidak sukai atau perkara yang dibenci olehnya dan mereka akan bersifat lembut pada benda yang disukai. Islam melihat kedua sifat ini adalah fitrah manusia yang perlu dipandu supaya ianya diletakkan pada tempat yang sepatutnya dan tidak disalahgunakan. Maka dengan sebab itulah Allah SWT mengajar umat Islam supaya menggunakan ketegasan dan kelembutan pada tempatnya dengan cara menyukai atau membenci sesuatu perkara berdasarkan nilaian Allah SWT. Benci atau suka akan melahirkan tegas atau lembut.

Ayat 29 di dalam Surah Al-Fath adalah satu ayat yang sangat menarik untuk kita perhatikan kerana dalam ayat tersebut Allah SWT menceritakan kepada kita bagaimana gambaran atau sifat yang ada pada qudwah yang paling agung iaitu Rasulullah SAW juga sifat yang ada pada generasi yang paling hebat iaitu mereka yang hidup bersama Rasulullah SAW. Dalam menceritakan perihal sifat yang ada pada Rasulullah SAW dan para sahabat, Allah SWT telah meletakkan sifat tegas dan lembut mereka sebagai ciri yang paling utama bahkan kedua sifat tersebut diletakkan sebelum menceritakan sifat mereka yang sujud kepada Allah SWT:

Nabi Muhammad (s.a.w) ialah Rasul Allah dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam) dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya.

Mendahulukan serta mengutamakan sifat tegas dan lembut berbanding sifat-sifat yang lain dalam mengambarkan ciri Rasulullah SAW dan para sahabat melambangkan betapa besarnya nilaian sifat ini pada Allah SWT juga pada mereka.

Ibn Kathir apabila menceritakan ayat ini menyatakan :

“Inilah sifat yang sepatutnya ada pada seorang mukmin, tegas dengan setegas-tegasnya terhadap orang kafir juga bersifat sangat lemah lembut terhadap orang yang beriman. Ketegasan hingga ketahap garang serta bermasam muka dengan mereka (kafir) dan lembut hingga ketahap bermanis muka dan sentiasa senyum sesama saudara muslim.”

Ketegasan seorang mukmin terhadap orang kafir ini lahir disebabkan sifat yang paling utama ada pada orang kafir iaitu menyekutu dan mensyirikkan Allah SWT. Sifat ini adalah sifat yang paling dibenci oleh Allah sehingga Allah SWT menyatakan bahawa akan mengampunkan sebarang dosa kecuali dosa syirik seperti yang disebut dalam Surah An Nisa’ ayat 48:

Sesungguhnya Allah tidak akan mengampunkan dosa syirik mempersekutukanNya (dengan sesuatu apajua) dan akan mengampunkan dosa yang lain dari itu bagi sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan SyariatNya) dan sesiapa yang mempersekutukan Allah (dengan sesuatu yang lain), maka sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar.

Adapun kecintaan dan lemah lembut sesama orang mukmin itu lahir kerana mereka menyembah dan menjadi hamba kepada Allah SWT.

Jelas disini bagaimana Allah SWT mendidik orang yang beriman supaya meletakkan kepentingan aqidah sebagai kepentingan yang paling utama diatas kepentingan yang lain. Benci seseorang itu kerana aqidah dan suka seseorang itu kerana aqidah. Inilah perkara yang selalu ditegaskan oleh As Syahid Syed Qutb di dalam tafsirnya Fi Zilal Quran bagaimana seorang muslim perlu meletakkan setiap cara fikir, tindakan, penilaian berdasarkan pada timbangan aqidah (muntolaq aqidi).

Perlu diingat, lembut seorang muslim itu bukanlah bermaksud tidak tegas terhadap kesesatan yang berlaku, dan bukan pula berasa selasa dengan orang yang memperlekeh dan memusuhi agama Islam. Karena tidak tegas terhadap kesesatan adalah kefasikan. Berlemah-lembut dengan orang yang memperlekeh dan memusuhi agama Islam adalah kemunafikan. Lemah-lembut dan tegas pada tempatnya.

Sedih dan pilu melihat umat Islam pada hari ini, orang kafir yang secara jelas menentang dan memusuhi Islam dijadikan teman rapat dan kawan sepermainan sedangkan orang yang seaqidah, seqiblat bahkan satu saf ketika sembahyang dilihat sebagai musuh ketat yang langsung tidak boleh bermanis muka ketika bertemu. Suasana ini seolah-olah mereka tidak pernah membaca ayat 29 Surah Al-Fath atau tidak pernah menyelusuri sirah Rasulullah SAW dan para sahabat. Di manakah umat Islam yang berani mengatakan kebenaran dengan penuh izzah dan tegas seperti mana Ruba’ei bin Umair ketika beliau berhadapan dengan Rustam, panglima perang Rom serta musuh yang paling digeruni oleh pihak lawan dan rakan bertanya kepadanya ‘Mengapa engkau datang kepada kami ?’

‘Kami datang untuk mengeluarkan manusia daripada menjadi hamba sesama manusia kepada menjadi hamba kepada Allah, dari kegelapan syirik kepada cahaya tauhid dan mengeluarkan manusia daripada kesempitan dunia kepada keluasan akhirat’.

firdaus
 
 
Ustaz Muhammad Firdaus Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *