Hukuman Jenayah Hudud Untuk Keharmonian Hidup Bermasyarakat- Siri 1

Pendahuluan

Sudah maklum bahawa manusia perlu hidup secara bermasyarakat. Ini bertepatan dengan apa yang telah dinyatakan oleh Ibnu Khaldun bahawa manusia adalah makhluk bermasyarakat. Dalam hidup bermasyarakat, peraturan diperlukan bagi memastikan kehidupan masyarakat manusia sentiasa berada dalam kebaikan. Namun kadang-kadang kedapatan manusia melanggar hak-hak manusia lain sehingga boleh mendatangkan kekacauan hidup bermasyarakat. Sebagai agama lengkap, Islam telah menyediakan peraturan-peraturan bagi memastikan manusia hidup dalam keadaan harmoni. Juga Islam telah menyediakan hukuman-hukuman tertentu bagi mereka yang melanggar dan mencabuli hak-hak yang telah ditetapkan. Semua peraturan ini adalah bertujuan untuk menjaga keharmonian hidup bermasyarakat seluruh umat manusia. Antara sistem yang disediakan oleh Islam bagi menjaga keharmornian hidup bermasyarakat  ialah sistem jenayah Islam.

Maksud Jenayah dalam sistem Jenayah Islam

Secara umumnya jenayah dalam Islam ditakrifkan sebagai larangan-larangan syarak yang dihalang oleh Allah swt dengan hukuman-hukuman hudud dan ta’zir (al-Mawardi 1985). Bagi membincangkan jenayah dalam Islam, wajar bagi kita membincangkan asal perkataan jenayah dari sudut bahasa. Kedapatan dua istilah yang selalu digunakan oleh ulama dan sarjana Islam, iaitulah perkataan jarimah dan jenayah.  Secara umumnya kedua-dua perkataan tersebut memberi maksud yang berkaitan dengan perbuatan atau perlakuan jahat yang dilakukan oleh seseorang manusia.

Namun dalam perbincangan yang lebih terperinci, terdapat perbezaan dikalangan fuqaha Islam mengenai perkataan jarimah dan jenayah. Ada dikalangan fuqaha yang berpandangan bahawa perkataan jarimah dan jenayah mempunyai maksud dan pengertian yang sama iaitu segala perbuatan jahat dan berdosa yang diharamkan oleh syarak, sama ada perbuatan jahat tersebut menyentuh tentang nyawa seseorang, atau tubuh badan seseorang, atau harta benda dan sebagainya. Kesemua perbuatan jahat tersebut digolongkan dalam pengertian jarimah dan jenayah.

Walaupun begitu, sebahagian para fuqaha berpandangan bahawa dua istilah tersebut mempunyai makna dan pengertian yang berbeza. Mereka berpendapat bahawa istilah jenayah bererti sesuatu jenayah atau kesalahan yang lebih khusus, iaitu perbuatan-perbuatan jahat yang menyentuh nyawa dan tubuh badan manusia. Manakala istilah jarimah pula digunakan untuk perbuatan-perbuatan yang lebih umum, seperti kejahatan yang dilakukan terhadap harta benda dan tidak melibatkan nyawa atau tubuh badan. (Ismail 1991)

Setelah diteliti kepada pelbagai perbincangan para fuqaha mengenai maksud perkataan jarimah dan jenayah dalam tulisan-tulisan mereka, maka dapat disimpulkan bahawa perbezaan hanya di sudut istilah sahaja sedangkan di sudut maksud dan pengertian kepada kedua-dua istilah tersebut ia berkisar kepada perkara yang sama iaitulah perbuatan salah dan pelakunya perlu menerima hukuman yang sewajarnya.

Maksud jenayah di sudut bahasa dan istilah

Bagi memahami dengan lebih mendalam perbahasan jenayah dalam Islam, kita perlu melihat pengertian perkataan jenayah dari sudut bahasa dan istilah. Pengetahuan mengenai maksud perkataan jenayah di sudut bahasa dan istilah dapat membantu seseorang memahami dengan lebih baik tajuk perbincangan ini.

Dari sudut bahasa,  perkataan jarimah adalah berasal dari kata kerja perkataan arab ja-ra-ma (jarama). Ia bermaksud berusaha kearah  melakukan perkara keji dan tidak baik. (al-San’ani 1986)

Manakala perkataan jinayah pula berasal dari kata kerja perkataan arab janaa. Ia bermaksud melakukan kejahatan, jadi jinayah bermaksud sesuatu kejahatan yang dilakukan. Menurut (Harun 2006), perkataan jenayah (yang tepat ialah jinayah) berasal daripada perkataan jana–yajni-jinayatan, yang secara harfiyyahnya bermaksud memetik buah daripada pokok, kemudian digunakan dalam makna jarimah, iaitu perbuatan dosa atau maksiat atau segala perbuatan yang berupa kejahatan yang dilakukan oleh manusia.

Dari sudut istilah syarak pula, berbagai-bagai maksud jenayah telah diberikan oleh ulama Islam. Ia  mempunyai makna umum dan khusus. Maknanya yang umum ialah segala perbuatan yang dilarang oleh syarak, yang pelakunya dikenakan hukuman had atau ta’zir, samada perbuatan itu berupa perlanggaran ke atas jiwa, harta dan lain-lainnya. Manakala maknanya yang khusus menurut istilah fuqaha, jenayah ialah perlanggaran ke atas jiwa, anggota manusia, samada ia berupa pembunuhan, perbuatan mencederakan dengan cara melukakan atau pukulan. (Harun 2006)

Oleh itu perkataan jenayah atau jarimah di sudut istilah syarak merujuk kepada larangan syarak yang dikenakan hukuman hudud atau ta’zir. Perbuatan yang dilarang ini meliputi nyawa, harta dan sebagainya. Dengan itu berbagai-bagai definasi atau pengertian perkataan jenayah di sudut istilah syarak telah diberikan oleh ulama Islam samada ulama terdahulu ataupun ulama masakini. Antara definasi perkataan jenayah yang diberikan oleh ulama Islam adalah seperti berikut:

1) Imam al-Mawardi telah memberi definasi jenayah sebagai larangan-larangan syarak yang dihalang oleh Allah dengan hukuman-hukuman hudud dan ta’zir. (Abdul Qadir A’udah 1985)

2) Prof. Dr. Mahmood Zuhdi melalui kitabnya Undang-undang Jenayah Islam: Konsep dan Asas-asas Perlaksanaannya membawa beberapa takrifan fuqaha berhubung dengan makna jenayah ini. Antaranya ialah;

i) Takrifan oleh Abu Ya’la: Jenayah ialah larangan-larangan berasaskan

hukuman syarak yang dihalang oleh Allah berdasarkan hukuman-hukuman  yang terdiri daripada undang-undang hudud dan juga undang-undang ta’zir.

ii) Manakala Abdul Qadir A’udah pula mentakrif jenayah sebagai melakukan perbuatan yang diharamkan dan yang akan dikenakan keseksaan kerana melakukannya, atau meninggalkan perbuatan yang haram ditinggalkan dan akan dikenakan keseksaan kerana meninggalkannya. Dengan kata lain, ia adalah perbuatan atau tinggalan yang pengharaman dan keseksaan keatasnya dinaskan oleh syarak.

Dengan itu dapat disimpulkan bahawa jenayah ialah melakukan perbuatan haram yang dikenakan hukuman keseksaan kerana melakukannya dan meninggalkan perkara yang diharamkan meninggalkannya. Sesuatu perbuatan itu tidak dianggap jenayah jika seseorang membuat atau meninggalkannya, kecuali ditetapkan oleh syarak bahawa perbuatan itu dianggap sebagai jenayah dan ada hukuman keseksaanya. Uqubah atau hukuman keseksaan ini penting untuk menjaga hak-hak bagi seseorang individu dan juga hak-hak dan kepentingan masyarakat, pada masa yang sama menghalang pencabulan terhadap hak-hak dan batasan-batasan yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t. (El-Muhammady 2005)

Walaubagaimanapun untuk menjadikan sesuatu tindakan itu dianggap jenayah, ia perlu memenuhi elemen-elemen berikut:

  1. Elemen perundangan iaitu peruntukan yang jelas melarang tindakan jenayah itu dan menjadikannya sebagai kesalahan yang boleh dihukum.
  2. Elemen tindakan iaitu melakukan tindakan yang menjadi kesalahan itu.
  3. Elemen kelayakan iaitu melihat kepada umur, keupayaan, dan tanggungan penjenayah berkenaan  (Anwarullah 1997)

Jenis-jenis hukuman jenayah dalam Islam

Melihat kepada jenayah-jenayah yang dilakukan oleh manusia, ia tidaklah sama antara satu jenayah dengan jenayah yang lain di sudut berat, ringan atau kesan sesuatu jenayah kepada mangsa ataupun kepada masyarakat. Oleh itu Islam telah membahagikan jenis-jenis jenayah mengikut pembahagiannya yang tersendiri. Secara ringkasnya, Islam telah membahagikan hukuman jenayah kepada hukuman hudud, hukuman qisas dan hukuman ta’zir.

Syeikh Abdul Qadir A’udah berkata: ”Apabila kami melihat kepada jenayah dari sudut berat hukumannya, maka kami membahagikannya kepada hudud, qisas atau diyat, dan ta’zir. (Abdul Qadir A’udah 1985)

Prof. Dr. Ahmad Ibrahim pula telah menyebut jenis-jenis jenayah Islam di dalam bukunya yang berjodol “The administration of Islamic Law in Malaysia” seperti berikut:

Dalam Islam terdapat tiga jenis bentuk hukuman jenayah iaitu disebut sebagai hudud, qisas dan ta’zir. Dua bahagian yang pertama iaitu hudud dan qisas ditentukan bentuk hukumannya oleh Quran dan Sunnah, di mana kedua-dua jenayah tersebut ditentukan secara khusus bentuk hukuman masing- masing.

Almarhum Prof. Dr. Ahmad Ibrahim menyebut pula berkenaan dengan ta’zir, katanya:

Kesalahan-kesalahan ta’zir merupakan hukuman berasaskan budi bicara, di mana kesalahan ta’zir ini adalah kesalahan selain dari kesalahan hudud dan qisas. Islam tidak menjelaskan kesemua bentuk hukuman terhadap kesalahan ta’zir, sebagaimana yang dijelaskan terhadap hukuman hudud dan qisas. Islam menganggap setiap perbuatan yang boleh membawa kepada akibat buruk kepada keharmonian hidup samada di peringkat individu ataupun masyarakat adalah merupakan kesalahan ta’zir. (Ibrahim 2000)

 Beradasar pembahagian yang disebut oleh dua orang sarjana Islam di atas, jelas menunjukkan bahawa jenayah dalam Islam terbahagi kepada tiga jenis, iaitulah hudud, qisas dan ta’zir. Namun dalam tulisan ini penulis hanya akan menumpukan kepada jenayah hudud sahaja.

hudud

Jenayah hudud

Seperti dinyatakan di atas bahawa tulisan ini hanya akan menghurai tentang jenayah hudud dan tidak akan menyentuh tentang qisas dan ta’zir. Ia merupakan jenis pertama yang selalu dibincangkan oleh para fuqaha di dalam kitab-kitab mereka mengenai sistem jenayah dalam Islam.

Dari sudut bahasa hudud bermaksud sempadan, had, halangan atau sekatan. Dari sudut istilah pula ia bermaksud hukuman yang tidak boleh dipinda yang ditetapkan oleh Allah dalam Al-Quran dan Sunnah. Hudud dianggap sebagai hak Allah, dan hukumannya tidak boleh diubah, dipinda, ditambah atau dikurangkan oleh badan perundangan, pemerintah atau hakim.

Mengikut Abu Zahrah, hudud adalah kata jamak berasal daripada perkataan ’had’, yang bererti larangan dari sudut bahasa. Manakala dari sudut istilah syarak, hudud bermaksud jenayah-jenayah yang telah ditetapkan oleh nas al-Quran atau hadis Nabi saw. (Abu Zahrah 1980)

Di sisi jumhur ulama, mereka memberikan takrifan had adalah hukuman yang telah ditetapkan oleh syarak samada ia merupakan hak Allah atapun hak hamba. (Dr Wahbah Zuhaili 1989)

Abdul Kadir A’udah menyatakan bahawa jenayah hudud ialah kesalahan-kesalahan jenayah yang dikenakan siksaan (hukuman) dengan had. Hukuman had adalah hukuman yang telah ditetapkan dan ia merupakan hak Allah swt. (Abdul Kadir A’udah 1985)

*di dalam siri kedua kita akan membincangkan mengenai jenis-jenis jenayah Hudud.
 
 
ust-ahmad-isma-melaka
 
 
Ust Ahmad Zainal Abidin
Setiausaha Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *