Ahli majlis tertinggi Kesatuan Ulama Dunia hadir persidangan anjuran ISMA
KUALA LUMPUR, 5 Mei – Ahli Majlis Tertinggi Kesatuan Ulama Dunia Syeikh Muhammad Hasan Al-Dadu telah menghadiri Persidangan Antarabangsa Pemikir-pemikir Islam (IMTC 2014) anjuran Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA) yang diadakan minggu lepas di sebuah hotel di sini.
Beliau yang juga merupakan Pengerusi bagi Persatuan Ulama Mauritania telah menyampaikan pandangannya di persidangan yang telah dihadiri oleh lebih 40 pemikir Islam dari 14 buah negara.
Beliau menyeru semua gerakan Islam memberi perhatian terhadap isu umat Islam sedunia terutamanya isu Palestin yang masih berlarutan sehingga hari ini.
“Adalah menjadi tanggungjawab pada semua gerakan Islam untuk sentiasa mengikat agenda mereka dengan apa yang sedang berlaku di Palestin khususnya Al-Quds. Mereka juga perlu meletakkan agenda Al-Quds sebagai agenda yang paling utama menjangkaui segala agenda yang lain,” kata beliau.
Beliau yang hadir mewakili Syeikh Yusof Al-Qardawi menambah, umat Islam pada hari ini hanya akan disatukan apabila meletakkan agenda untuk membebaskan Al-Quds sebagai agenda bersama di kalangan seluruh umat Islam.
“Umat Islam perlu melakukan apa sahaja yang mereka mampu dalam menuju ke arah agenda pembebasan Al-Quds,” katanya lagi.
Persidangan ini dianjurkan oleh ISMA dengan kerjasama Yayasan Malaysia-Turki (MTF) dan Pusat Perhubungan Arab-Turki (TAIM).
Antara tokoh lain yang hadir ialah Ketua Hal Ehwal Luar Biro Politik Hamas Syeikh Jamal Isa, Ketua Pengarang Majalah Al-Bayan Syeikh Ahmad Suwayan dan Ketua Jamaah Islamiyah Lubnan Syeikh Azzam Ayubi.
Sumber lain : web Kesatuan Ulama Islam Dunia