Pembedahan Batin
Assalamualaikum ustaz,
Pembedahan batin telah muncul sebagai teknik perubatan yang semakin popular dalam masyarakat kita. Ia sering kali dijadikan alternatif kepada pembedahan biasa untuk penyakit-penyakit yang melibatkan ketumbuhan dan barah. Pada luaran dan zahirnya, pengamal pembedahan batin ini dikatakan mengamalkan bacaan-bacaan ayat alquran dan tidak memperlihatkan ciri-ciri yang boleh diragukan dari sudut syara’ (Contoh: kemenyan, jampi serapah dan sebagainya). Apa pandangan Majlis Ulama ISMA dalam isu ini?
Jawapan :
Islam menyuruh umatnya berikhtiar apabila sakit. Nabi S.A.W sendiri pernah mengubati kaum keluarga, sahabat-sahabatnya dan masyarakat pada masa itu dengan menggunakan ayat-ayat Al-Quran serta ubat tradisional. Ini ditegaskan oleh Allah S.W.T bahawa ayat-ayat suci al-Quran menjadi ubat penawar, firmanNya,
Yang bermaksud, “Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur dari al-Quran, ayat-ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepadanya; dan al-Quran tidak menambah kepada orang-orang yang zalim melainkan kerugian jua.”
(Al-Isra’: 82)
Ada enam kali sebutan syifa’ atau kesembuhan dalam al-Quran. Ada begitu banyak Hadith yang menyebutkan tentang kesembuhan penyakit melalui rawatan ayat-ayat al-Quran dan doa.
Amalan perubatan dengan menggunakan doa ataupun bacaan ayat memang salah satu daripada cabang rawatan yang diakui syarak sebagai amalan mulia. Pergi ke hospital atau menemui perawat pakar juga digalakkan Islam, kerana itu juga salah satu daripada cabang rawatan yang disebut oleh Rasulullah S.A.W dalam Hadis-hadis baginda S.A.W.
Sebelum saya memperincikan jawapan soalan di atas, terlebih dahulu saya ingin mendekatkan saudara dengan pengalaman yang dilalui oleh beberapa pesakit yang pernah mendapat rawatan tersebut. Tujuan saya adalah untuk memastikan adakah rawatan alternatif ini benar-benar menepati kaedah syara’ ataupun tidak. Saya perturunkan beberapa pengalaman yang dilalui oleh mereka seperti di bawah :
Pesakit 1
Encik Ibrahim (bukan nama sebenar) pernah mendapat rawatan ini. Beliau menceritakan pengalaman peribadinya sewaktu beliau dibedah secara batin.Katanya cara dia bedah macam doktor..dibelah dengan keris kecil (besi kuning) , lepas itu potong urat (terasa macam kena gentik pada perut), lepas itu digunting, dijahit…darah tak nampak…tapi beliau seorang sahaja yang nampak urat yang telah dipotong dan darah yang memancut tu… kita tak nampak darah, tapi boleh rasa kena hiris, kena jahit, urat kena potong…pedih pun ada, ngilu pun ada, macam kena jentik pun ada.. Bayarannya terpulang kepada keiklhlasan pesakit, katanya beliau merawat secara ikhlas bukan bertujuan komersial. Pengamal menggunakan alat bedah seperti keris kecil, alat jahit dan gunting. Alat itu beliau tak beli dari mana-mana kedai, tapi datangnya dari dunia ghaib (dihantar atas sejadah masa sembahyang). Katanya beliau sembuh sehingga ke hari ini.
Pesakit 2
Pada tarikh 25hb Feb 2009, Encik Fauzi (bukan nama sebenar) menziarahi pesakit kanser kolon yang meninggal. Belum pun genap satu tahun selepas rawatan kemoterapi mengunakan 5-Flurouracil.
Pada hari yang sama juga, beliau ditunjukkan klip rakaman pembedahan batin ke atas pesakit itu, dilakukan sehari sebelum dia meninggal dunia. Bayaran pembedahan RM10,000. Keluarga berpuas hati kerana telah berikhtiar habis-habisan.
Adakah beliau percaya? Apabila melihat, beliau yakin pembedahan dilakukan, tetapi di luar kemampuan manusia biasa. Rumusan beliau, pembedahan dilakukan dengan bantuan lain. Kanser yang dihidapi pesakit sudah begitu teruk, menghalang perjalanan makanan dalam usus. Risiko telah diberitahu kepada pesakit serta keluarga dan mereka telah menandatangani surat menanggung risiko di atas diri sendiri.
Di dalam hati beliau bertanya sama ada pembedahan sebegini mengambil kira margin keselamatan (safe margins) atau tidak. Mungkin tidak, kerana ada pesakit kanser payudara yang beliau jumpai di klinik, mendapat kanser berulang selepas dibuang ketumbuhan secara pembedahan batin semasa mula menjumpai ketulan kanser di payudara. Akhirnya, kena terima kemo yang kuat dan kanser sudah merebak ke paru-paru dan tulang.
Kita dapat merumuskan beberapa persoalan yang timbul daripada pengalaman mereka di atas :
- Adakah Pengamal pembedahan batin ini dikatakan mengamalkan bacaan-bacaan ayat al-Quran ketika memberi rawatan dan tidak diragui dari sudut syara’ ?
- Adakah Pengamal tersebut menggunakan khidmat khadam ghaib untuk menyembuhkan pesakit ?
1. Adakah Pengamal pembedahan batin ini dikatakan mengamalkan bacaan-bacaan ayat al-Quran ketika memberi rawatan dan tidak diragui dari sudut syarak ?
Menjampi pesakit disebut dalam bahasa Arab sebagai Ruqyah. Ruqyah adalah dibenarkan. Malah kadang-kadang amat digalakkan. Ini dapat kita lihat daripada sumber periwayatan Imam Muslim yang menyatakan :
عَنْ عَوْفِ بْنِ مَالِكٍ الْأَشْجَعِيِّ قَالَ: «كُنَّا نَرْقِي فِي الْجَاهِلِيَّةِ فَقُلْنَا يَا رَسُولَ اللَّهِ كَيْفَ تَرَى فِي ذَلِكَ فَقَالَ اعْرِضُوا عَلَيَّ رُقَاكُمْ لاَ بَأْسَ بِالرُّقَى مَا لَمْ يَكُنْ فِيهِ شِرْكٌ »
Maksudnya :
Daripada Auf bin Malik r.a berkata:
“Kami pandai menjampi pada zaman jahiliah, maka kami bertanya Nabi s.a.w. : Ya ! Rasulullah S.A.W. apakah pandangan anda tentang jampi ? lalu baginda S.A.W. meminta kepada mereka agar mereka memperdengarkan jampi yang digunakan sejak zaman jahiliah itu. Baginda S.A.W menyatakan harus dilakukan, selagi tidak menyebabkan syirik”.
(Riwayat Muslim, Kitab al-Salam, Bab La Ba’sa bi al-Ruqaa, Hadis bernombor 4079)
قَالَ أَبُو الزُّبَيْرِ وَسَمِعْتُ جَابِرَ بْنَ عَبْدِ اللَّهِ يَقُولُ لَدَغَتْ رَجُلاً مِنَّا عَقْرَبٌ وَنَحْنُ جُلُوسٌ مَعَ رَسُولِ
»اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالَ رَجُلٌ يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرْقِي قَالَ : « مَنْ اسْتَطَاعَ مِنْكُمْ أَنْ يَنْفَعَ أَخَاهُ فَلْيَفْعَلْ
Maksudnya :
Abu Zubair berkata : Aku dengar Jabir bin Abdullah berkata, seorang lelaki daripada kami telah disengat kala jengking. Ketika itu kami duduk bersama Rasulullah S.A.W. Maka berkata seorang lelaki wahai Rasulullah S.A.W. ! bolehkah aku jampi ? Baginda S.A.W. bersabda : “Barangsiapa yang mampu di antara kamu untuk memberi manfaat kepada saudaranya maka hendaklah dilakukan.”
(Riwayat Muslim, Kitab al-Salam, Bab Istihbab al-Ruqyah min al-‘Ain wa an-Namlah wa al-Hummah wa al-Naqrah, Hadis bernombor 4076)
Menurut keterangan hadis ini, jampi mantera ada kalanya boleh menyebabkan seseorang itu syirik. Seorang Sahabat, Jabir R.A memberitahu Rasulullah S.A.W bapa saudaranya pandai menjampi. Mendengarkan kata-katanya, itu, baginda S.A.W terus melarang amalan jampi mantera. Bapa saudara Jabir R.A kemudian menemui baginda S.A.W dan memperdengarkan bacaan jampinya untuk merawat sakit sengatan kala jengking. Setelah mendengar, baginda S.A.W menjawab, “sekiranya ada di antara orang Islam yang berupaya menolong saudaranya, ia hendaklah berbuat demikian”.
(Riwayat Muslim, Kitab al-Salam, Bab Istihbab al-Ruqyah min al-‘Ain wa an-Namlah wa al-Hummah wa al-Naqrah, Hadis bernombor 4077)
Dalam peristiwa ini baginda S.A.W mula-mula menegah bapa saudara Jabir R.A melakukan jampi kerana menyangka jampi dituturkan dengan kalimah yang boleh mendatangkan syirik. Setelah mendengar jampi itu, baginda S.A.W membenarkannya apabila mendapati jampi itu tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Daripada sumber ini, para ulama’ telah meletakkan beberapa syarat terhadap penggunaan jampi mentera atau serapah yang dibolehkan dan digunakan :
- Menggunakan ayat al-Quran.
- Menggunakan bahasa yang difahami.
- Jangan mengi’tiqadkan bahawa jampi itu yang memberi kesan sehingga si pesakit menjadi sembuh, sebaliknya Allah yang berkuasa.
Berbalik kepada amalan tradisi kita yang menggunakan ayat-ayat al-Quran oleh Pengamal perubatan alternatif tidak semesti membuktikan apa yang dilakukan oleh individu yang terlibat adalah sesuatu yang benar dan tidak bertentangan dengan ajaran Islam.
Dalam jampi mantera serapah Melayu, sebahagian daripada jampi yang dituturkan ketika melakukan rawatan melibatkan sebutan bismillah, salam, sebutan nama nabi, nama-nama khalifah dan sebagainya, termasuk sebutan syahadah di akhir pertuturan tersebut.
Walaupun demikian di tengah-tengah jampi, mantera atau serapah tersebut, dipanggil nama-nama jin, yang “diperintahkan” datang, mengganggu orang-orang tertentu, merasuk, menguasai roh orang berkenaan membolehkan orang yang berkenaan hilang akal, sasau atau sebagainya dengan izin Allah.
Sebutan-sebutan terhadap jin atau jin-jin itu dituturkan dengan perlahan, yang hanya dapat didengar oleh dirinya sendiri sahaja, tidak difahami atau didengar dengan jelas oleh pelanggan yang berada di hadapannya. Ungkapan kata yang berunsurkan Islam disebut dengan kuat dan jelas pada permulaan juga pada akhir jampi.
Mengenai soalan yang berkaitan ayat-ayat al-Quran, kandungan Hadith ataupun doa dalam jampi mantera ataupun serapah, perlu dijelaskan bahawa sebutan-sebutan seperti ini juga tidak menjamin bahawa kewujudan kalimah-kalimah ataupun ayat-ayat tersebut menjadi alasan atau bukti bahawa amalan yang dilakukan itu sesuai dengan ajaran Islam. Begitu juga kalimah-kalimah yang memperlihatkan adanya pengaruh Islam. Kalimah-kalimah tersebut seperti sebutan nama malaikat, Rasul atau Nabi, khalifah, kalimah-kalimah berkat ataupun rangkaian kata syahadah yang digunakan dalam ungkapan jampi mantera ataupun serapah.
Penggunaan ayat-ayat al-Quran seperti dijelaskan, juga kalimah-kalimah yang mengandungi unsur-unsur pengaruh Islam pada hakikatnya lebih banyak mengelirukan. Dalam banyak hal, kalimah-kalimah tersebut dicampuradukkan dengan nama-nama jin yang tidak diketahui hakikatnya, juga kata-kata yang tidak difahami maknanya, tidak dapat ditafsirkan dengan tepat.Ungkapan seperti ini terdapat dalam jampi, mantera dan serapah yang digunakan oleh mereka yang melibatkan diri dengan ilmu kebatinan Melayu, terutama untuk rawatan dan persembahan teater tradisional.
Penggunaan kalimah-kalimah Allah yang diselit-selitkan dengan nama malaikat, Nabi, kalimah syahadah di samping sebutan nama jin dan syaitan merupakan perbuatan menghina atau mempersenda keagungan Allah yang diistilah sebagai istihza’ malah dalam ungkapan jampi pengasih misalnya, penggunaan kalimah-kalimah tersebut bagi tujuan jahat, menundukkan seseorang supaya jatuh kasih kepadanya menyebabkan mangsa rindu dendam, tertumpu akal fikiran dan ingatannya kepada orang yang memuja.
Walaupun demikian, kerana ungkapan tadi selalunya dituturkan dengan cepat, suara perlahan dan sukar didengar dengan jelas, selain kalimah Bismillah di awal kata, diikuti sebutan salam dan kalimah syahadah di akhir ungkapan, maka ia akan menimbulkan anggapan bahawa apa yang dibaca oleh penutur adalah terdiri daripada ayat-ayat al-Quran.
Di bawah ini diperturunkan satu rangkaian kata jampi pengasih sebagai contoh:Bismi ‘Llahi ‘r-rahmani r-rahim; bismillah urat daun; bismillah tembakau cina; bismillah asap pucuk; hei jin segala jin; pergi ambil hati (dengan menyebut nama mangsa dan nama ibunya); hantar mari kat aku; kalau tidak aku sumpah engkau; sumpah baginda rasulullah; dengan baginda rasulullah; dengan berkat doa; la ilaha illa ‘llah; muhammad ‘r-rasulullah.
Ungkapan di atas mengandungi Bismillah sepenuhnya sebagai pembuka kata. Selepas menyebut sebanyak tiga kali, jin dipanggil mengambil hati gadis yang dipuja, untuk dihantar kepada penutur atau pemuja. Perbuatan seperti ini, iaitu yang melibatkan jin sama ada disedari penutur atau tidak, termasuk dalam amalan sihir. Berdasarkan keterangan ini, biarpun dalam ungkapan yang dikenali sebagai jampi, mantera atau serapah itu mengandungi ayat-ayat al-Quran, kandungan hadis, doa ataupun hanya sebahagian daripadanya, tetapi ia disertakan dengan sebutan nama iblis dan syaitan, disertakan sebutan nama-nama dewa ataupun Tuhan sembahan selain daripada Allah, maka sebutan itu adalah terlarang. Untuk memperkuat arahan, penutur kepada jin, agar ia pergi mengambil hati si gadis, dikatakan bahawa ia akan disumpah dengan menyebut nama baginda Rasulullah.
Hal demikian memperlihatkan bahawa sumpah yang dikenakan terhadap jin yang ingkar seolah-olah datang daripada Rasulullah ataupun berlaku hasil keberkatan menyebut nama nabi. Dalam masa yang sama sumpah juga dikenakan dengan menyebut keberkatan doa kalimah La ilaha illa ‘Llah, Muhammada ‘r-rasulullah.
Penutur kata ungkapan kata ini hakikatnya melakukan pemujaan dengan mencampuradukkan kalimah Allah untuk memanggil jin bagi menundukkan mangsa. Kalau enggan, ia akan kena sumpah. Ini memperlihatkan seolah-olah jin itu khadam penutur. Orang yang meminta pertolongan, sama ada perlindungan diri atau lain-lainnya boleh menyebabkan pemesongan iktikad seperti yang dijelaskan. Mereka adalah terdiri daripada orang yang sesat seperti yang dinyatakan di dalam firman Allah S.W.T,
Yang bermaksud, “Sesungguhnya hamba-hambaKu, tidaklah ada bagimu sebarang Kuasa untuk menyesatkan mereka, kecuali sesiapa Yang menurutmu dari orang-orang Yang sesat (dengan pilihannya sendiri)” .
(Al-Hijr : 42)
Bagi orang awam, apatah lagi mereka yang tidak mengetahui bahasa Arab menganggap dan berkeyakinan bahawa orang yang terlibat menggunakan ayat-ayat al-Quran, padahal sesetengah ayat al-Quran yang digunakan telah diseleweng daripada ayat yang sebenar, pada barisnya, pada kalimah-kalimah tertentu dan sebagainya. Selain itu, masyarakat masih banyak beranggapan bahawa amalan kebatinan, tidak kira sama ada untuk rawatan, ilmu kebatinan mempertahankan diri diharuskan sekiranya menggunakan ayat-ayat al-Quran atau doa-doa. Anggapan ini adalah salah.
Penggunaan ayat-ayat al-Quran atau doa-doa diharuskan. Namun, sekiranya ia disertai dengan sihir, iaitu melibatkan jin-jin, perbuatan tersebut adalah salah kerana amalan itu termasuk dalam kategori dosa besar yang membinasakan iaitu sihir. Berdasarkan keterangan ini, juga bukti-bukti lain yang dapat difikir logiknya ternyata bahawa bukan mudah seseorang itu, iaitu orang awam untuk mempastikan amalan itu sebagai menggunakan ayat-ayat al-Quran, zikir-zikir dan sebagainya.Ia juga dikenali sebagai al-mu’awwizat atau at-ta’awwuz, juga bererti perlindungan. Penggunaan ruqyah lebih terkenal.
Di antara sebutan yang boleh menyebabkan syirik ialah ungkapan meminta perlindungan kepada makhluk seperti jin, menyamakan qudrah Allah dengan keupayaan makhluk-makhluk, beriktikad keberkatan jampi mantera yang boleh menyembuhkan penyakit, memberi kuasa, kekuatan atau hikmat terhadap objek-objek tertentu.
2. Adakah Pengamal tersebut menggunakan khidmat jin untuk menyembuhkan pesakit ?
Mengikut pengalaman yang dilalui oleh pesakit dan pelanggan yang pernah mengunjungi pusat rawatan ini percaya bahawa Pengamal perubatan ini menggunakan khidmat khadam ghaib seperti pengalaman yang dilalui oleh Pesakit 1 di atas. Kata beliau : “Pengamal menggunakan alat bedah seperti keris kecik, alat jahit dan gunting. Alat itu beliau tak beli dari mana-mana kedai, tapi datangnya dari dunia ghaib (dihantar atas sejadah masa sembahyang)”.
Disokong lagi dengan pengalaman Pesakit 2 katanya : “Apabila melihat, beliau yakin pembedahan dilakukan, tetapi di luar kemampuan manusia biasa. Rumusan beliau, pembedahan dilakukan dengan bantuan lain”.
Perkara ini telah menimbulkan persoalan kepada banyak pihak adakah perubatan alternatif ini bertepatan dengan syara’ atau sebaliknya. Untuk menyelesaikan isu ini, marilah kita menjenguk sekejap pandangan ulama’ muktabar yang pernah menghadapi situasi ini yang telah meletakkan beberapa kaedah setelah penelitian kepada nas-nas yang ada. Pandangan ini ada yang pro dan kontra. Saya cuma ingin meneliti kesemua hujah yang ada supaya kita boleh sampai kepada beberapa kesimpulan nanti.
1. Pandangan Pro :
Imam Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ Fatawa, Jil. 11 / hal. 307-308) dan Syeikh Ibn ‘Uthaimin dalam Fatawa al-Aqidah (fatwa bernombor 193) mengharuskan khidmat Jin dengan syarat penggunaan mereka pada perkara-perkara yang diharuskan di samping wasilah juga diharuskan oleh syara’. Ini bermakna rawatan kepada pesakit menggunakan khidmat jin di antara perkara yang diharuskan dengan syarat wasilah adalah harus. Pandangan beliau disokong oleh Syeikh Abdullah Al-Faqih, Penasihat Institut Fatwa yang mengutip beberapa Kaedah Usul dan Amalan Salafussoleh, di antaranya :
1.1 Kaedah syara’ menyatakan : Asal sesuatu perkara itu adalah harus selagi tidak ada dalil yang melarangnya. Oleh kerana tidak ada nas yang melarangnya maka ia kembali kepada kaedah asalnya iaitu hukumnya harus.
1.2 Khidmat yang diminta adalah khidmat masyarakat yang diharuskan seperti mengawal rumah daripada dicerobohi, mengembalikan duit yang telah dicuri atau mengelakkan sebarang mudarat yang datang daripada musuh dan sebagainya sebagaimana pertolongan manusia sesama manusia.
1.3 Khidmat jin ini hendaklah daripada jin Muslim kerana ianya tidak akan membawa sebarang mudharat kepada diri mereka. Kalau sekiranya khidmat datang daripada jin Kafir maka hendaklah dipastikan terlebih dahulu khidmat itu tidak membawa kepada unsur-unsur syirik.
1.4 Ada pendapat yang menolak keharusan khidmat jin ini kerana beralasan bahawa khidmat jin pada zaman Nabi Sulaiman a.s. adalah kurniaan dan anugerah Allah S.W.T hanya kepada baginda a.s. dan tidak kepada selain baginda a.s. Sebenarnya dalil tersebut bukan menjadi hujah yang qat’ie di kalangan para ulama’ mujtahidin kerana khidmat jin kepada Nabi Sulaiman a.s. adalah merupakan kewajipan yang diwahyukan oleh Allah S.W.T sedangkan khidmat jin yang kita maksudkan ialah pertolongan dan bantuan jin pada perkara-perkara yang diharuskan oleh syara’ berdasarkan pilihannya bukan kerana kewajipannya.
2. Pandangan Kontra :
Tidak harus berinteraksi dengan jin dalam melakukan rawatan kepada pesakit. Mereka yang menyokong pendapat ini adalah terdiri daripada Sohibus Samahah Syeikh Abdul Aziz bin Abdullah bin Baz (Majallah al-Dakwah, bil. 1602, Rabiul Awal 1418 H, hal. 34), Fadhilah Syeikh Soleh al-Fauzan ( Al-Sihr wa Sya’uzah, hal. 86-87), Syeikh Soleh bin Abdul Aziz Al Al-Syeikh (Majallah al-Dakwah, bil. 1683, Zulqaedah 1419 H, hal. 23), Dr. Ahmad bin Nasir bin Mohd al-Hamd (Al-Sihr Bain al-Haqiqah wa al-Khayal, hal. 211), Syeikh Mohd Nasiruddin Al-Bani, Syeikh Abdullah bin Abdul Rahman al-Jibrin (Al-Qaul fi Murtakazat Mu’alaji al-Sor’ie wa al-Sihr wa al’Ain) , Abdul Rahman Hasan Hanbakah al-Maidani (Al-Aqidah al-Islamiah, hal. 290) dan lain-lain. Di antara hujah-hujah mereka seperti berikut :
2.1 Banyak riwayat dalam kitab-kitab Hadith menceritakan cara-cara Nabi S.A.W. merawat dan mengubati penyakit sebagaimana yang biasa diketahui oleh orang ramai di zaman ini. Baginda S.A.W. sendiri berbekam dan menyuruh orang lain berbekam, juga baginda S.A.W. menghantar Tabib (Doktor) bagi mengubati sahabatnya R.A. Begitu juga baginda S.A.W. mengamalkan jampi mentera dan dijampi dan menyuruh para sahabatnya dengan jampi mentera. Kalaulah beliau mendapat khidmat jin Muslim sebagaimana dakwaan setengah-setengah pihak tentulah pada hari Nabi S.A.W. terkena sihir daripada Yahudi dan juga para sahabat baginda R.A di mana ada yang dirasuk jin, diserang pelbagai penyakit di segenap bahagian tubuh dan sebagainya tercatit dalam kitab hadith yang menyebut bahawa Nabi S.A.W. dan para sahabatnya R.A mendapat bantuan dan pertolongan jin. Kesemua dalil dan penghujahan dari sudut perbuatan baginda S.A.W., perkataan dan pengakuannya (taqrir) sudah cukup membuktikan bahawa baginda S.A.W. tidak mendapat sebarang pertolongan daripada jin.
2.2 Islam sentiasa memandang serius segala aspek yang bersangkutpaut dengan aqidah kepada Allah S.W.T. agar manusia tidak terjebak dalam kesyirikan. Oleh itu pintu-pintu ke arah kesyirikan sentiasa ditutup dan dikawal dengan ketat. Apabila seseorang Tabib yang merawat pesakit dengan bantuan jin, hatinya sentiasa bergantung harap kepada bantuan Allah dan jin dalam melakukan proses rawatan pada mulanya. Lama kelamaan pergantungan hati kepada Allah S.W.T. sudah bertukar sepenuhnya kepada bantuan jin maka wasilah syirik ini sudah terbina dan akan memudahkan seseorang Tabib tergelincir dari aqidahnya. Begitu juga kepada pesakit yang lemah imannya akan mempercayai bahawa penyakitnya sembuh kerana bantuan jin bukan daripada Allah S.W.T. Walaupun tidak ada dalil qati’ yang mengharamkan khidmat jin tetapi Kaedah Sad al-Zarai’i ini sebagai kaedah yang praktikal untuk menjaga dan mengawal beberapa maslahat syariat terutamanya yang berkaitan dengan aqidah.
2.3 Kita wajib membezakan di antara jampi mentera dengan sihir kerana perbuatan itu pada zahirnya hampir sama. Jampi mentera atau serapah akan menggunakan ayat-ayat al-Quran dan sebutan yang dibenarkan oleh syarak tanpa pertolongan jin sedangkan Ahli Sihir akan membaca jampi untuk memanggil dan menyeru jin supaya datang menolong dan menyelesaikan hajat-hajat mereka.
2.4 Perlu diketahui bahawa asal kejadian jin adalah daripada api. Api tabiatnya membakar. Oleh itu tabiat sifat asalnya adalah zalim, melampau, cepat berbolak balik dan bertukar daripada satu keadaan kepada keadaan yang lain. Begitu juga dia boleh bertukar daripada kawan yang baik kepada musuh yang ketat dan mengheret kawannya kepada azab sengsara apabila dia mengetahui manusia dalam keadaan lemah dan boleh menguasainya. Apabila begitu tabiatnya, kenapa kita perlu mengambil jin sebagai kawan sedangkan kawan kita yang sejati ialah orang yang mengikut al-Quran dan Sunnah Nabi S.A.W di kalangan para Sahabatnya, Tabi’, Tabi’ Tabien dan para Solihin.
2.5 Khidmat jin pada zaman Nabi Sulaiman a.s. adalah kurniaan dan anugerah istimewa daripada Allah S.W.T kepada baginda a.s. Sebagai contohnya baginda a.s mendapat khidmat jin dalam usaha memindahkan istana Puteri Balqis dari Negara Yaman. Peristiwa bersejarah yang berlaku ini bukan syariat yang ditinggalkan oleh Nabi Sulaiman a.s. menjadi ikutan kita sebagaimana syariat yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad S.A.W. Oleh itu khidmat jin pada zaman Nabi Sulaiman a.s. bukan menjadi hujah keharusannya kerana tidak ada dalil qat’ie yang menunjukkan syariat itu terpakai dan diamalkan oleh Nabi kita S.A.W. dalam kehidupannya.
2.6 Islam melarang bersahabat dengan jin walaupun untuk mendapatkan maklumat atau menggunakannya sebagai khidmat sosial kepada masyarakat. Oleh kerana adanya aspek pemujaan sebagai penghubung untuk memanggil jin-jin kerana dibimbangi boleh membawa kepada syirik . Kita perlu berwaspada kerana jin mempunyai nafsu yang mahu dirinya dipuja. Apabila kita memuja jin, mereka akan menjadi lebih sombong dengan kesesatannya lebih-lebih lagi apabila sampai ke tahap jin disembah sebagai Tuhan dan ini akan membawa manusia hanya mencari perlindungan kepada mereka semata-mata.
2.7 Tidak harus menggunakan khidmat jin walaupun perkara itu harus kerana Nabi S.A.W tidak meminta pertolongan mereka walaupun ketika berjihad di medan perang, usaha mendapatkan berita-berita musuh dan sebagainya sedangkan ketika itu baginda S.A.W sangat-sangat memerlukannya tetapi baginda S.A.W tidak melakukannya. Oleh kerana ia merupakan sifat orang-orang Jahiliah yang sentiasa meminta pertolongan daripada mereka maka Islam mengharamkan perkara ini dalam firmannya,
Yang bermaksud, “Dan bahawa sesungguhnya adalah (amat salah perbuatan) beberapa orang dari manusia, menjaga dan melindungi dirinya dengan meminta pertolongan kepada ketua-ketua golongan jin, kerana dengan permintaan itu mereka menjadikan golongan jin bertambah sombong dan jahat”.
(Al-Jin : 6)
Dalam ayat ini, Allah S.W.T mendedahkan kepada kita bahawa jin boleh mempengaruhi sikap dan tingkah laku seseorang seperti mana yang berlaku kepada Musyrikin Arab yang sentiasa meminta perlindungan kepada jin-jin ini ketika ditimpa kesusahan dan ketakutan. Ini memberi kesan jelas kepada aqidah dan pegangan mereka hingga membawa mereka kepada menyembah jin dan melakukan sembelihan kerananya dan akhirnya melakukan kerja-kerja yang kononnya diperkenankan oleh jin-jin tersebut. Natijah daripada hubungan dua hala dengan jin ini tidak akan membawa sebarang kebaikan kerana dua alam yang berbeza iaitu alam nyata dan alam ghaib yang kita tidak dapat mengenal hakikat dan tabiat alam ini kecuali daripada sumber al-Quran dan Sunnah Nabi S.A.W.
2.8 Penasihat Persatuan Kebajikan dan Perubatan Islam Malaysia, Datuk Dr Harun Din, beliau menjelaskan bahawa pembedahan batin melibatkan penggunaan syaitan dan jin sebagai perantaraan. “Kaedah tersebut semestinya membawa kepada khurafat dan syirik. Syirik merupakan dosa besar yang tidak diampunkan oleh Allah SWT. Banyak tokoh agama di Malaysia berpendapat bahawa mereka berasa waswas dengan pembedahan batin,”
2.9 Menyedari isu pembedahan batin yang semakin mendapat perhatian masyarakat, sidang editor Dewan Masyarakat mendapatkan pandangan Ketua Jabatan Surgeri, Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM), Profesor Madya Dr. Razman Jarmin.
Menurut beliau terdapat dua kaedah perubatan yang diamalkan oleh kebanyakan pesakit – perubatan moden dan perubatan tradisional. Perubatan moden mempunyai prosedur ataupun ujian tertentu untuk mengesan penyakit, manakala rawatan batin berlandaskan kepercayaan semata-mata.
Terdapat pesakit yang percaya penyakit mereka semakin pulih setelah mendapatkan rawatan batin. Persoalannya, adakah sesuatu penyakit itu sembuh disebabkan rawatan tersebut? Dr. Razman juga tidak menolak kemungkinan penyembuhan penyakit berlaku secara kebetulan. Hal ini demikian kerana, beliau mendapati masih belum ada bukti empirikal yang dapat menyatakan keberkesanan pembedahan batin.
“Kami (Pakar bedah) tidak menghalang pesakit mendapatkan rawatan alternatif kerana menjadi hak pesakit menentukan rawatan yang mereka mahukan. Namun terdapat banyak pesakit yang semakin teruk setelah membuat pembedahan batin.” Jelas Dr. Razman.
Menurut Dr Razman, faktor yang menyebabkan pembedahan batin begitu popular dalam kalangan pesakit adalah kerana perubatan tersebut lebih mudah dipercayai dan mudah tersebar dari mulut ke mulut.
Saya cabar mereka kemukakan bukti. Jika benar mereka pakar dalam melakukan pembedahan tanpa meninggalkan kesan parut, saya berpendapat pengamal ini layak mendapat Anugerah Nobel,” ujar Dr Razman yang mendakwa bahawa pakar perubatan moden juga sedang beusaha melakukan pembedahan tanpa kesan parut.
Pengarah Perubatan Tradisional dan Komplementari Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Dr Ramli Abdul Ghani, menjelaskan bahawa pembedahan batin bercanggah dengan konsep peubatan Islam dan perubatan moden. Oleh hal demikian, kerajaan tidak mengiktiraf sebarang bentuk pembedahan batin.
(Artikel : Pembedahan Batin Keberkesannya Diragui, Majalah Dewan Masyarakat, Julai 2009)
Setelah kita dihidangkan dengan pandangan pro dan kontra di kalangan ulamak-ulamak muktabar selepas penelitian kepada nas-nas yang ada maka saya memilih pandangan kontra iaitu tidak harus berinteraksi dengan jin kerana kekuatan hujah dan berdasarkan realiti kini dengan sebab-sebab berikut, seperti di bawah :
1. Pendapat Imam Ibnu Taimiyah yang mengharuskan berinteraksi dengan jin ini perlu dilihat dan direnung sejenak kerana suasana kehidupan masyarakat Islam di zaman Imam Ibnu Taimiyah adalah begitu kuat pegangan mereka terhadap hukum dan manhaj Islam ketika itu dilaksanakan dan ditegakkan di samping kesedaran dan kefahaman agama di sisi ulamak dan orang awam juga mantap berbanding dengan zaman kita ini.
2. Pendapat beliau tentang berinteraksi dengan jin adalah terlalu umum dan tidak khusus kepada aspek rawatan dan perubatan. Imam Ibnu Taimiyah dalam Majmu’ al-Fatawa : 11/307 menegaskan bahawa hendaklah seseorang itu mempunyai pengetahuan Islam yang cukup sebagai syarat asasi untuk berinteraksi dengan jin kerana mereka mengetahui perincian hukum-hukum syarak, dapat membandingkan di antara maslahat dan mafsadah, di antara halal dan haram dan kadang-kadang mereka mengetahui banyak perkara yang tidak diketahui oleh orang awam sedangkan di hari ini kebanyakan mereka yang berinteraksi dengan jin ini jahil dalam masalah hukum-hakam, tidak memahami kaedah syarak dan tidak dapat membezakan di antara rukun dan wajib. Kalaulah ditakdirkan Imam Ibnu Taimiyah hidup di zaman kita ini, pasti beliau akan berpendapat bahawa berinteraksi dengan jin adalah tidak harus kerana kesan berinteraksi dengan jin tersebut akan membawa mereka kepada terpesong aqidah. Sebagai contoh dalam realiti kita hari ini terdapat segelintir manusia yang sanggup menghabiskan duit yang banyak semata-mata hendak memiliki tangkal, cincin dan sebagainya kerana mendakwa terdapat jin Islam yang menjaga dan boleh menolong mereka untuk menyampaikan hajat masing-masing dan sebagainya.
3. Kebanyakan hadith-hadith yang mengharuskan berinteraksi dengan jin datang dalam bentuk lafaz sighah tamridh ( رُوِيَ ). Ini bermakna lafaz yang digunakan itu dari sudut ulamak hadith menunjukkan bahawa rangkaian periwayatan hadis-hadis tersebut adalah tidak thabit dan benar-benar pasti. Maka kedudukan hadith-hadith ini jelas tidak boleh menjadi hujah tentang keharusan berinteraksi dengan jin terutamanya kepada orang-orang jahil di hari ini yang banyak merujuk kepada dalil-dalil tersebut dan kesannya ia boleh membawa kepada terpesong aqidah mereka dan menjauhi mereka daripada Allah S.W.T.
4. Sejajar dengan garis panduan perbomohan oleh Jabatan Kemajuan Islam (JAKIM) demi mengelak masyarakat terlibat dalam perkara-perkara khurafat, tahyul, sihir dan amalan-amalan yang bertentangan dengan aqidah maka garis panduan ini diperkenalkan seperti berikut :
4.1. Tidak boleh bersahabat dengan makhluk ghaib seperti jin dengan tujuan mendapat pertolongan dalam perkara yang ditegah oleh syarak walaupun dikatakan dengan jin Islam kerana kita tidak tahu sama ada betul atau tidak.
4.2. Tidak boleh meminta pertolongan jin dalam rawatan perubatan sehingga membawa kepada syirik kerana dibimbangi wujud unsur menafikan kudrat Allah S.W.T.
4.3. Tidak harus meminta pertolongan jin untuk mencari kekuatan dan kehebatan kerana dibimbangi wujud keyakinan bahawa makhluk-makhluk ini mempunyai kuasa yang sama dengan Allah atau mengurangkan keyakinan kepada kuasa Allah S.W.T semata-mata.
4.4. Tidak harus meminta dan menggunakan khidmat jin untuk ilmu sihir atau nujum atau ‘menurun’ kerana ia termasuk dalam amalan syirik atau dilarang oleh Allah dan boleh merosakkan aqidah orang yang terlibat dengannya.
Kesimpulan
- Jika seseorang Pengamal pembedahan batin mengamalkan bacaan-bacaan ayat al-Quran dan wirid-wirid yang ma’thur serta tidak bercampur aduk dengan sebutan-sebutan yang meragukan dan boleh membawa kepada syirik maka Islam mengharuskannya.
2. Untuk tujuan rawatan dan pengubatan, kita dibenarkan menggunakan apa jua cara asalkan kaedah rawatan yang akan dijalani itu tidak mengamalkan perkara-perkara berikut:
2.1 Berinteraksi dengan jin.
2.2 Mengandungi unsur-unsur syirik.
2.3 Penggunaan bahan yang haram.
2.4 Cara pengubatan yang boleh mendatangkan kemudaratan yang lebih besar.
2.5 Suasana yang menimbulkan fitnah seperti berdua-duaan di antara lelaki dan perempuan.
Sekian Wallahu A’lam.
Disediakan oleh:
Ustaz Ahmad Kamal Muhamad
Ahli Panel MUIS
alsalam,
nak tanya.kalo perawat tu kata guna khidmat org bunian,adakah bunian katogori jin?
assalamualaikum… ustaz, saya mengalami sakit lutut iaitu dalam bahasa inggerisnya (ACL INJURY).
bolehkah penyakit sedemikian di bedah menggunakan cara batin?
sekiranya boleh bagaimanakah cara-cara untuk saya mendapatkan pembedahan tersebut?
bapa saya mengidap kanser prostat…bolehkah dia menjalani rawatan ini?
Terima Kasih atas keterangan yg diberikan….Saya mmg sukar untuk mempercayai sebarang perubatan yg melibat kn JIn…sebab saya selama ini begitu berpegang kepada larangan umat Islam bersahabat atau berkawan dgn Jin….dah byk dh dgr cerita tentang perubatan batin ni…Setelah berkahwin saya dapati family suami saya begitu percaya dengan perubatan batin ini…katanya meraka menggunakan ayat Al-Quran..
Ibu mertua saya penah menjalankn pembedahan batin membuang batu karang…sama seperti pengalaman yg diterang kn diaas iaitu mengunakan keris. Saya selalu meragui perkara ni dan penah memberitahu mereka ianya sukar utk terima. takut khurafat.
Saya cuma ingin bertanya, bagaimana pula kalau pembedahan badan dilakukan tetiba dengan memasukkn sesuatu benda di dalam badan, contohnya suami saya menjalankan rawatan pembedahan batin tanpa pengetahuan saya kerana mempunyai masalah lutut yang teruk. berdasarkan apa yg diceritakan pengamal tersebut mengunakan dawai (seperti tali gitar) untuk mengikat lutut dan juga bahagian2 tulang yg sakit…saya tidak pasti bagaimana ianya dilaku kn….tapi saya cuma ingin meminta nasihat dah pandangan…apakah hukum jika ini dilakukan.. Saya tidak menyalahkan suami kerana mungkin die kurang berpengetahuan dalam perkara ini dan memdapat keyakinan utk melakukan nya kerana pengamal yg disebutkan tadi adalah seorang Kiyai dan katanya menggunakan ayat Al-Quran ketika berubat.
Saya memerlukan nasihat daripda pakar2 dlm bidang ini…terima kasih!!
Saya pernah belajar tarekat, namun sudah lama saya tinggalkan.. saya ingin merujuk kepada pernyataan 'sharipudin bin ab kadir'… saya ingin tahu zikir apa yang diamalkan oleh org itu dan perkataan yang disebutkan..
kepada pihak admin web ini.. saya sekrang sangat memerlukan penerangan yang lebih jelas mngenai perihal JIN, hukum-hukum yang bersangkut paut dengannya… amatlah saya hargai jika berhubung terus dengan emel saya.
جزاكم الله دكتور نوجيمين
Terima kasih Dr Nujaimin, perkongsian di atas amat-amat dihargai
sekian wassalam
s/u MUIS
Salam,
Saya baru saja sekejap tadi melakukan pembedahan ketumbuhan kalenjar pituitary dalam otak pada seorang pesakit yang telah menjalani pembedahan batin. Kalau ikut ‘scan’ tok moh tu dah habis dah ketumbuhan, tapi bila kami scan dengan MRI bertambah besar pulak lepas rawatan bedah batin tu. Bila buat operation tadi memang confirm dah besar dan alhamdulillah kami berjaya membuangnya sekali dengan darah kotor dlm ketumbuhan tersebut. Wallahua’lam
Ada beberapa contoh lain lagi yang serupa dengan ini ….
Sekadar perkongsian.
Salam, ana rasa perlu juga untuk dikongsi,
Berdasarkan sedikit pengalaman yang dilalui, beberapa orang pesakit ( pengamal tarikat , tak perlu sebut nama di sini kerana ianya tidak difatwakan sebagai sesat)) pernah ana jumpa, datang jumpa dalam keadaan tidak sedarkan diri secara normal garang, bengis bukan sebagai perwatakan manusia.
Apabila berlaku beberapa perbualan, antara jawapan yang diberi ialah, tuan aku tidak amalkan beberepa zikir sebanyak jumlah yang sepatutnya, aku dah lama jadi sesat kerana tuan aku tidak amalkan zikir ( tak perlu zikir tersebut disini) . Apabila di teliti zikir tersebut, ianya memang zikir biasa yang selalu diamalkan oleh semua orang cuma dalam wirid yang panjang tu ada beberapa dua perkataan sahaja yang nampak janggal , bagi mereka yang memahami bahasa Arab dan mengetahui penggunaaan sifat mausuf atau tabi` matbu` sahaja dapat mengesani sifat mausuf tadi kembali ke mana. Ringkas cerita , akhirnya jin tersebut keluar setelah berlaku hiwar yang panjang.
Cuma apa yang nak diutarakan di sini ialah, kekadang orang awam juga akan terkeliru apabila semua wirid atau zikir tersebut semua ayat Quran dan hadis cuma dua perkataaan sahaja , itu pun masih dalam ungkapan Bahasa Arab cuma kaedah nahu sahaja yang dapat mengesani kesalahan wirid tersebut.
Salam, berdasarkan kepada kesimpulan,
2. Untuk tujuan rawatan dan pengubatan, kita dibenarkan menggunakan apa jua cara asalkan kaedah rawatan yang akan dijalani itu tidak mengamalkan perkara-perkara berikut:
2.1 Berinteraksi dengan jin.
Cuba ustaz perincikan apa yang dimaksudkan dengan perkataan interaksi yang tidak di bolehkan.
Bagi saya interaksi dengan jin ada beberapa cara:
1. Komunikasi biasa apabila kita dah dapat bercakap dengan jin melalui perantaraan manusia yang telah dirasuk sebagaimana kisah Imam Ahmad ibni Hanbal dengan seorang jariah yang telah dirasuk. Interaksi dengan jin hanya meminta jin tersebut keluar dari tubuh jariah. Kita boleh tanya dia , dok kat mana dalam tubuh, berapa jumlahnya dan sebagainya lagi.
2. Komunikasi sama dengan di atas , dalam yang sama kita menyuruh dia keluar dan buang segala kejahatan yang dia lakukan melalui sihir terhadap manusia dengan pelbagai cara terhadap emosi manusia. Kita suruh jin sendiri buang kejahatan yang dia buat terhadap manusia setelah berlaku beberapa hiwar tentang agama Allah maka dia rasa bersalah dan kembali ke pangkalan jalan sebagai hamba Allah. Mungkin ada orang mempersoalkan , adakah kita yakin jin bertaubat dan masuk Islam kerana kita tidak dapat melhat dengan mata kasar. Memang kita tidak dapat pastikan ianya betul berlaku, cuma apabila kita dah ajar dia mengucap dua kalimah syahadah , dan minta buang kejahatan yang dia buat dan pesakit sembuh. Ibarat nya kita minta doktor jantung untuk mengubati penyakit jantung, dalam masalah ini kita suruh jin buang kejahatannya yang dia buat dalam tubuh manusia kerana dia tahu alamnya tanpa disana ada apa apa perjanjian dan pemujaan.
3. Interaksi yang diharamkan apabila komunikasi berbentuk pemujaan dan lain-lainnya yang syirik. Yang ini jelas haram