Mengahwini wanita bukan Islam
Assalamualaikum ustaz,
saya ingin bertanya tentang hukum mengahwini wanita bukan islam?wujud lagikah pada zaman sekarang ahli kitab yang boleh dikahwini?apakah dalil tentang hukum perkahwinan antara islam-bukan islam?
Jawapan:
الحمد لله، والصلاة والسلام على رسول الله، وعلى آله وأصحابه أجمعين، وبعد:
Hukum mengahwini wanita dan lelaki bukan Islam adalah haram secara Ijma` berasaskan firman Allah SWT;
Maksudnya: “dan janganlah kamu berkahwin dengan perempuan-perempuan kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam); dan Sesungguhnya seorang hamba perempuan yang beriman itu lebih baik daripada perempuan kafir musyrik sekalipun keadaannya menarik hati kamu. dan janganlah kamu (kahwinkan perempuan-perempuan Islam) dengan lelaki-lelaki kafir musyrik sebelum mereka beriman (memeluk agama Islam) dan sesungguhnya seorang hamba lelaki yang beriman lebih baik daripada seorang lelaki musyrik, sekalipun keadaannya menarik hati kamu. (yang demikian ialah kerana orang-orang kafir itu mengajak ke neraka sedang Allah mengajak ke syurga dan memberi keampunan dengan izinNya. dan Allah menjelaskan ayat-ayatNya (keterangan-keterangan hukumNya) kepada umat manusia, supaya mereka dapat mengambil pelajaran (daripadanya).”
(al-Baqarah : 221)
Firman Allah lagi;
Maksudnya : dan janganlah kamu (wahai orang-orang Islam) tetap berpegang kepada akad perkahwinan kamu dengan perempuan-perempuan yang (kekal dalam keadaan) kafir,
( al-Mumtahanah : 10)
Namun, persoalan yang kerap menjadi kekeliruan umat Islam iaitu berhubung keharusan mengahwini wanita-wanita yang dikatakan sebagai ahli kitab. Keharusan ini merujuk kepada firman Allah SWT;
Maksudnya :”Pada masa ini dihalalkan bagi kamu (memakan makanan) yang lazat-lazat serta baik-baik. dan makanan (sembelihan) orang-orang yang diberikan Kitab itu adalah halal bagi kamu, dan makanan (sembelihan) kamu adalah halal bagi mereka (tidak salah kamu memberi makan kepada mereka). dan (dihalalkan kamu berkahwin) dengan perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya – di antara perempuan-perempuan yang beriman, dan juga perempuan-perempuan yang menjaga kehormatannya dari kalangan orang-orang yang diberikan Kitab dahulu daripada kamu apabila kamu beri mereka maskahwinnya, sedang kamu (dengan cara Yang demikian), bernikah bukan berzina, dan bukan pula kamu mengambil mereka menjadi perempuan-perempuan simpanan. dan sesiapa yang ingkar (akan syariat Islam) sesudah ia beriman, maka Sesungguhnya gugurlah amalnya (yang baik) dan adalah ia pada hari akhirat kelak dari orang-orang Yang rugi”
(al-Maidah : 5).
Namun untuk menjawab soalan yang diajukan, saya cuba merumuskan beberapa panduan penting yang dikemukakan oleh Profesor Dr. Yusuf al-Qardhwi di dalam fatwanya:
1. Secara prinsipnya Islam mengharuskan makan dan minuman serta kahwin mengahwini di antara Muslim dan ahli Kitab sebagaimana keterangan ayat 5 daripada surah al-Maidah di atas.
2. Walau pun begitu, keharusan tersebut terikat kepada beberapa syarat yang perlu dipatuhi antaranya;
i. Mengimani agama samawi yang terdiri daripada Yahudi dan Nasrani. Secara umumnya mereka ini dianggap beriman kerana mempunyai asas keimanan yang sama dari sudut ketuhanan, kerasulan dan hari akhirat. Beliau seorang yang kuat berpegang kepada agamanya dan bukanlah seorang yang ingkar atau murtad dari agamanya.
ii. Wanita yang suci dan bukan wanita jalanan atau penzina. Dalam ayat di atas Allah meletakkan syarat wanita berkenaan adalah “المحصنت“. Satu perkara yang harus diberi perhatian adalah trend dan gaya hidup wanita-wanita bukan Islam adalah mengharuskan pergaulan bebas yang berkemungkinan besar terdedah kepada gejala seks bebas. Perkara ini yang amat dibimbangi berbanding dengan wanita-wanita Islam.
iii. Tidak menjadi musuh dan seteru kepada umat Islam. Allah SWT menjadikan ikatan perkahwinan sebagai suatu jambatan mempereratkan silaturahim dan memperkukuhkan persaudaraan. Ikatan tersebut tertegak di atas dasar saling percaya mempercayai dan berkasih sayang. Firman Allah
Maksudnya: “dan Dialah Tuhan Yang menciptakan manusia dari air, lalu dijadikannya (mempunyai) titisan baka dan penalian keluarga (persemendaan); dan sememangnya Tuhanmu berkuasa (menciptakan apa jua Yang dikehendakiNya).
(al-Furqan : 54)
Akan wujudkah kasih sayang dan perasaan cinta mencintai sedangkan mereka menyembah tuhan yang lain, dan sentiasa memusuhi umat Islam. Apakah akan terjamin anak cucu yang dilahirkan? Apakah mereka akan memayungi dan sentiasa memperthankan hak anak cucu mereka yang Muslim. Mungkinkah anak dan cucu dilahirkan bebas mengamalkan adab, budaya dan ajaran Islam tanpa sebarang sekatan dan ganguan? Sudah pasti jawapan mungkin tidak. Kalau begitulah situasinya apakah mungkin kita boleh memastikan generasi yang dilahirkan menjadi Muslim dan mukmin kepada Allah, memelihara dan melaksanakan suruhan dan tuntutan agama. Terjaminkah generasi kita dengan memilih wanita yang bukan Islam berbanding dengan wanita Muslimah. Terjaminkah keluhuran, kadaulatan dan maruah agama kelak.
Oleh yang demikian, kebanyakkan ulama hanya mengharuskan perkahwinan dengan wanita ahli kitab mestilah yang ada perjanjian atau yang akur kepada kepimpinan Islam (ahli Zimmah) Pendapat ini didokong oleh Ibnu Abbas, Qatadah, Ibrahim al-Nakha`ie, Ibn Jarir dan Zaid Bin Ali, al-Razi dan lain-lain. Dalam konteks semasa, tidak harus bagi Muslim mengahwini bangsa Yahudi yang merampas dan menjajah tanah Palestin.
iv. Tidak membawa kemudharatan dan mengundang fitnah. Secara asasnya perkara yang harus dibolehkan selagimana tidak mendatangkan mudharat. Andaian membenarkan perkahwinan dengan wanita ahli Kitab boleh menyebabkan terabainya wanita Muslimah. Lebih-lebih lagi dalam konteks wanita Muslimah yang ramai jumlahnya dan beban tanggungan yang tinggi bagi melangsungkan urusan perkahwinan. Oleh itu, mendahulukan wanita Muslimah perlu diutamakan.
Bagi menyimpulkan perbincangan, terdapat tiga noktah penting yang perlu dipertegaskan semula iaitu;
- Keharusan mengahwini wanita ahli Kitab adalah bersandarkan persamaan keyakinan dan keyakinan Allah sebagai pencipta.
- Keharusan tersebut juga merujuk kepada persekitaran agama Islam yang mendominasi masyarakat. Sudah pasti mereka yang mempunyai keyakinan dan kepercayaan serta kepatuhan kepada Allah akhirnya akan menganut agama fitrah dan benar iaitu Islam. Berbeza dengan realiti sekarang, di mana Islam tidak mendominasi malah sering di pandang asing dari realiti kehidupan sebenar.
- Pendapat ini berasaskan situasi dan neraca pada masa kini dan ia boleh berubah mengikut perkembangan dan realiti semasa.
والله أعلم بالصواب
Rujukan : al-Qardhawi, Fatawa Muasarah, m.s : 462 , Darul Qalam: Beirut
Disediakan oleh:
Ustaz Dr Ridzuan Ahmad
Ahli Panel MUIS
tahun depan saya nak kahwin dgn perempuan jepun boleh tak