
Pilihan Raya dan Perjuangan Membina Peradaban
Kita sering diberitahu bahawa perubahan bermula di peti undi. Seolah-olah setiap beberapa tahun sekali, manusia hanya perlu menunggu musim pilihan raya untuk “menyelamatkan” negara dan masyarakat. Naratif ini terlalu sempit. Ia menjadikan perubahan kelihatan seperti sebuah acara politik berkala, sedangkan hakikat perubahan sebenar ialah proses pembinaan manusia dan peradaban yang berlangsung setiap hari.
Malah ada dalam kalangan kita yang melangkah lebih jauh. Bagi mereka, pilihan raya bukan sekadar instrumen bahkan ianya merupakan medan kebenaran itu sendiri. Perjuangan di peti undi dilihat sebagai manifestasi tertinggi tanggungjawab politik seorang Muslim, dan mereka yang mempersoalkan kecukupannya dianggap tidak memahami realiti zaman atau lebih buruk, lari daripada tanggungjawab.
Keprihatinan ini tidak boleh dipandang ringan. Ia lahir daripada kesedaran yang tulen bahawa negara dan kuasa adalah nyata, bahawa dasar awam memberi kesan kepada kehidupan jutaan manusia, dan bahawa golongan yang baik perlu hadir dalam ruang kuasa tersebut. Ya, semua itu benar. Tetapi ada satu soalan intelektual yang jarang ditanya dengan jujur. Mengapa kita begitu mudah menjadikan pilihan raya sebagai batas atau matlamat akhir kerangka perjuangan kita? Jawapannya, pada hemat penulis, bukan semata-mata kerana kita terlalu pragmatik. Ia berpunca daripada satu kekosongan yang lebih dalam, iaitu kegagalan kita menghayati tauhid sebagai worldview yang mempunyai manifestasi penuh dalam seluruh ruang kehidupan, termasuk ruang politik.
Tauhid bukan sahaja pengakuan bahawa Allah itu Esa dalam zat dan sifat-Nya. Tauhid adalah pengakuan bahawa Allah adalah al-Hakim, penentu segala hukum dan nilai, dalam urusan peribadi mahupun awam, dalam masjid mahupun parlimen. Apabila tauhid difahami secara penuh, kemenangan pilihan raya tidak mungkin menjadi matlamat akhir kerana matlamat akhir itu sudah ditetapkan oleh Allah sendiri. Apabila tauhid menyusut menjadi urusan ritual semata-mata, ruang yang ditinggalkannya akan diisi oleh sesuatu yang lain. Dan dalam konteks politik, ia sering diisi oleh pragmatisme tanpa prinsip, oleh kemenangan tanpa visi, dan akhirnya oleh kuasa tanpa peradaban.
Ingatlah peringatan daripada Allah menerusi Surah al-Baqarah ayat 208:
يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا ادْخُلُوا فِي السِّلْمِ كَافَّةً وَلَا تَتَّبِعُوا خُطُوَاتِ الشَّيْطَانِ إِنَّهُ لَكُمْ عَدُوٌّ مُّبِينٌ
"Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara menyeluruh, dan janganlah kamu mengikuti langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagi kamu."
Ibn Kathir dalam tafsirnya meriwayatkan daripada Ibn Abbas, Mujahid, Abu al-‘Aliyah, Ikrimah, al-Rabi’, al-Suddi, Muqatil bin Hayyan, Qatadah dan al-Dahhak bahawa kesemuanya menafsirkan kaffah sebagai jami’an, yakni keseluruhan dan menyeluruh. Mujahid secara khusus menjelaskan maknanya: “i’malu bi jami’ al-a’mal wa wujuh al-birr”, beramallah dengan keseluruhan amal dan seluruh jalan kebaikan.
Apa yang lebih menarik, Ibn Kathir turut meriwayatkan bahawa ayat ini turun berkenaan segolongan mereka yang telah beriman kepada Islam tetapi masih berpegang kepada sebahagian syariat lama mereka. Allah memerintahkan mereka memasuki Islam secara kaffah dan jangan tinggalkan mana-mana bahagiannya. Ibn Kathir menegaskan bahawa tafsiran yang sahih adalah mereka diperintahkan untuk “ya’malu bi jami’ syu’ab al-iman wa syara’i al-Islam”, mengamalkan kesemua cabang iman dan syariat Islam, sebanyak yang mereka mampu.
Ini adalah peringatan yang sangat relevan untuk zaman kita. Mereka yang beriman tetapi menghadkan Islam hanya kepada ruang ibadah, sambil membiarkan ruang politik, ekonomi dan sosial berjalan tanpa panduan Islam, sebenarnya sedang mengulangi kesilapan yang sama beriman, tetapi tidak secara kaffah. Separuh-separuh bukan sahaja tidak mencukupi. Ia adalah mengikuti langkah syaitan, kerana syaitan tidak pernah melarang manusia daripada beragama. Syaitan hanya meminta manusia beragama secara tidak penuh.
Maka sebelum kita mempersoalkan cara perubahan berlaku, ada soalan yang lebih asas perlu dijawab terlebih dahulu: apakah sebenarnya yang sedang kita cuba bina? Apakah matlamat akhir perjuangan ini?
Islam menjawab soalan ini dengan jelas. Matlamat akhir sebuah peradaban bukan kuasa, bukan kekayaan, bukan pun kemajuan teknologi semata-mata. Matlamat akhirnya ialah as-saadah dan al-falah, iaitu kebahagiaan sejati dan kemenangan yang menyeluruh. Imam al-Ghazali dalam Kimiya al-Saadah menegaskan bahawa kebahagiaan sejati bukan terletak pada kelazatan duniawi, tetapi pada ma’rifatullah, yakni mengenal Allah dengan sebenar-benarnya. Ia bukan sekadar pengalaman peribadi yang berhenti pada diri seseorang, tetapi harus dimanifestasikan dalam cara manusia membina hubungan sosial, institusi dan sistem hidupnya secara kolektif. Al-falah pula bukan sekadar konsep teologi. Ia adalah laungan yang berkumandang lima kali sehari dalam azan: hayya ‘ala al-falah. Kemenangan yang dimaksudkan merangkumi dunia dan akhirat, individu dan masyarakat, jiwa dan peradaban
Apabila al-Qaradawi membahaskan tujuan pembinaan negara Islam dalam Min Fiqh al-Dawla fi al-Islam, beliau menegaskan bahawa negara bukan matlamat pada dirinya sendiri. Ia adalah wasilah, kenderaan yang membawa umat ke destinasi yang lebih besar. Tujuannya bukan untuk menguasai rakyat, tetapi untuk memelihara mereka, menegakkan keadilan dan mengukuhkan agama di muka bumi. Ini penting untuk difahami: pilihan raya bukan perlumbaan untuk menguasai jentera negara bagi kepentingan sempit, tetapi proses memilih siapa yang layak memegang kenderaan itu dan menghala tujukannya ke destinasi yang benar.
Namun kenderaan memerlukan jalan. Dan jalan itu memerlukan tanah yang berdaulat.
Malik Bennabi, pemikir peradaban Algeria yang paling bernas pada abad ke-20, membina satu formula yang ringkas tetapi padat. Bagi beliau, peradaban lahir daripada pertemuan tiga unsur, iaitu insan, turab dan waqt, yang bererti manusia, tanah dan masa. Pemilihan kata turab oleh Bennabi bukan kebetulan. Ia bukan sekadar bumi dalam erti fizikal, tetapi tanah dalam makna sosiologi-politiknya, merangkumi pemilikan, kawalan dan jaminan keselamatan sosial (Shurut al-Nahdah). Tanpa tanah yang berdaulat, tanpa negara yang bebas menentukan hala tujunya sendiri, peradaban tidak mempunyai tapak untuk berdiri. Bennabi juga memperingatkan bahawa masalah setiap bangsa pada intinya adalah masalah peradabannya. Masyarakat yang gagal membina kedaulatannya dari dalam akan sentiasa terdedah kepada apa yang beliau namakan al-qabiliyyah lil-isti’mar, yakni kerentanan untuk dijajah semula, bukan semestinya secara fizikal tetapi secara pemikiran, ekonomi dan budaya.
Inilah realiti yang perlu kita akui dengan jujur. Pembinaan negara yang berdaulat adalah milestone terawal dalam perjalanan panjang membina peradaban Islam yang baru. Ia bukan kemuncak, tetapi titik permulaan yang tidak boleh dilangkau. Pilihan raya, dalam kerangka ini, adalah salah satu mekanisme yang menentukan siapa yang memegang platform pembinaan itu. Siapa yang akan memastikan tanah ini kekal berdaulat. Siapa yang akan menjaga syarat-syarat agar peradaban boleh tumbuh. Namun realiti yang kita saksikan hari ini bercerita sebaliknya. Pilihan raya telah bertukar rupa daripada instrumen peradaban kepada matlamat itu sendiri.
Apabila kemenangan pilihan raya dijadikan matlamat akhir, sesuatu yang sangat berbahaya mula berlaku. Cara mula menghalalkan matlamat. Politik mula beroperasi di atas logik Machiavelli, bahawa kuasa adalah tujuan, dan apa sahaja yang membawa kepada kuasa adalah sah. Fakta dimanipulasi. Naratif dipalsukan. Musuh dicipta. Ketakutan dijual. Pemimpin yang lemah dipertahankan bukan kerana mereka layak, tetapi kerana mereka boleh dikawal. Machiavelisme pada intinya adalah doktrin yang mengasingkan politik daripada akhlak, membenarkan semua cara walaupun yang paling tidak berprinsip, selagi kepentingan berkuasa dapat dipertahankan. Inilah racun yang paling halus dalam politik. Ia tidak terasa seperti rasuah. Ia terasa seperti strategi.
Islam menolak logik ini dari akarnya. Di mana Machiavelli mempromosikan manipulasi, tradisi Islam menekankan keadilan. Di mana Machiavelli menggalakkan rasa takut, Islam menekankan tanggungjawab terhadap rakyat dan kepada Allah. Bagi Machiavelli, agama adalah topeng yang berguna. Bagi Nizam al-Mulk, wazir agung Kesultanan Saljuk pada abad ke-11 dan pengarang Siyasatnama (Buku Pemerintahan) yang merupakan karya klasik etika kepimpinan Islam, agama adalah sumber legitimasi yang sebenar.
Beliau pula tidak sekadar menulis tentang prinsip itu. Beliau melaksanakannya. Pada tahun 1065, Nizam al-Mulk mendirikan Universiti Nizamiyyah Baghdad yang telah dipuji oleh sejarawan sebagai universiti terbesar di dunia Zaman Pertengahan dan menawarkan pendidikan percuma kepada seluruh masyarakat. Pada tahun 1091, beliau melantik al-Ghazali, ketika itu berusia 33 tahun, sebagai profesor utama di universiti tersebut. Bukan sekadar di Baghdad, Nizam al-Mulk juga mendirikan rangkaian universiti Nizamiyyah secara sistematik di seluruh empayar Saljuk iaitu di Isfahan, Nishapur, Basra, Herat dan beberapa bandar lain, semuanya dibiayai dari perbendaharaan negara, semuanya menjadikan ilmu sebagai teras dasar awam.
Inilah model yang tidak pernah terlintas dalam fikiran Machiavelli di mana pemimpin yang menggunakan kuasa negara bukan untuk mengekalkan takhta, tetapi untuk membina manusia. Nizam al-Mulk menyediakan platform berupa dana, institusi dan legitimasi politik. Al-Ghazali mengisinya dengan fikrah, yakni ilmu, akhlak dan tarbiah jiwa. Hasilnya adalah puncak tamadun Islam Zaman Pertengahan, di mana universiti-universiti Nizamiyyah menjadi model bagi institusi pengajian tinggi di seluruh dunia, malah diakui kemasyhurannya sehingga ke Eropah. Inilah bukti sejarah bahawa negara yang berdaulat, apabila dipimpin oleh mereka yang benar, boleh menjadi wasilah peradaban yang paling berkesan. Negara yang dibina di atas penipuan tidak akan tegak bahkan ianya hanya akan melahirkan lapisan penipuan yang lebih tebal dari semasa ke semasa.
Apa yang lebih merbahaya adalah bila mana permainan politik dalaman kita dibina di atas kepalsuan dan manipulasi. Kita sebenarnya sedang membuka pintu kepada penjajahan yang lebih halus dari luar. Bennabi sudah lama memperingatkan tentang ini. Dalam Shurut al-Nahdah (شروط النهضة), beliau menulis:
"إنَّ الاستعمار ليس من عبقرية المستعمِر، بل من قابلية المستعمَر للاستعمار. لكيلا نكون مستعمَرين يجب أن نتخلص من القابلية للاستعمار."
"Sesungguhnya penjajahan bukan lahir daripada kejeniusan penjajah, tetapi daripada kerentanan yang dijajah untuk menerima penjajahan. Agar kita tidak lagi dijajah, kita mesti membebaskan diri daripada kerentanan untuk dijajah itu sendiri."
Masyarakat yang mana para elitnya sibuk bermain politik kotor sesama sendiri, sementara rakyatnya disuap dengan berita palsu dan emosi buatan, institusinya pula lemah kerana dilantik berdasarkan kesetiaan kepada ahli politi bukannya berdasarkan keupayaan; masyarakat seperti itu tidak perlu dijajah dengan tentera. Ia sudah dijajah dari dalam.
Kwame Nkrumah, presiden pertama Ghana, menggambarkan keadaan ini dengan tepat dalam Neo-Colonialism: The Last Stage of Imperialism (1965):
“The essence of neo-colonialism is that the State which is subject to it is, in theory, independent and has all the outward trappings of international sovereignty. In reality its economic system and thus its political policy is directed from outside.”
“Intipati neo-kolonialisme ialah negara yang tunduk kepadanya adalah, dari segi teori, merdeka dan memiliki semua simbol luaran kedaulatan antarabangsa. Pada hakikatnya, sistem ekonominya dan dengan itu dasar politiknya diarahkan dari luar.”
Inilah bahaya vassal state, iaitu negara yang ada bendera, ada parlimen, ada pilihan raya, tetapi keputusan sebenarnya dibuat di tempat lain, oleh kepentingan luar, untuk agenda asing. Jalan menuju vassal state bukan selalunya melalui penaklukan tentera. Ia selalunya bermula dengan elit politik yang lebih gemar bermain permainan kuasa sesama sendiri daripada membina negara yang benar-benar berdaulat.
Maka pilihan raya yang dijalankan di atas asas manipulasi, propaganda dan Machiavelisme bukan sahaja tidak membawa kita ke arah peradaban. Ia secara aktif menghalang kita daripada sampai ke sana. Setiap kali pilihan raya dimenangi dengan cara yang salah, kita sebenarnya sedang menghakis turab, tanah kedaulatan yang menjadi syarat pertama peradaban itu sendiri.
Masalah terbesar sesebuah masyarakat bukan semata-mata siapa yang memerintah, tetapi jenis manusia yang wujud di dalam masyarakat tersebut. Sistem yang rosak boleh melahirkan pemimpin yang rosak. Namun dalam masa yang sama, masyarakat yang rosak juga akan sentiasa mengitar semula kerosakan itu walaupun wajah pemerintah berubah silih berganti. Oleh yang demikian, Al-Quran tidak memulakan perubahan dengan slogan politik semata-mata, tetapi dengan pembinaan insan, penyucian jiwa, pembetulan tasawur dan pembinaan amal.
Risalah Islam itu sendiri hadir bukan sekadar sebagai himpunan hukum ritual atau identiti sosial, tetapi sebagai intervensi langit terhadap fitrah dan krisis manusia. Aqidah, ibadah, muamalah bahkan hukum jenayah dalam Islam perlu dilihat sebagai sebahagian daripada proses pembentukan jiwa insan. Semua unsur ini berfungsi mendidik manusia keluar daripada dominasi nafs al-ammarah bi al-su’, iaitu jiwa yang mudah tunduk kepada dorongan hawa nafsu, kerakusan, ketamakan dan kezaliman. Dari situ manusia berpindah kepada jiwa yang sering mencela diri apabila melakukan maksiat, dan akhirnya menuju jiwa yang memiliki kendali diri yang terpimpin dan tenang, itulah yang dinamakan nafs al-mutma’innah.
Oleh hal yang demikian, Islam tidak memisahkan pembangunan spiritual daripada pembinaan sosial dan sistem hidup. Aqidah membetulkan pandangan alam manusia. Ibadah mendisiplinkan jiwa dan kehendak diri. Muamalah membentuk hubungan sosial dan ekonomi yang adil. Hukum pula menjadi pagar yang melindungi masyarakat daripada kerosakan yang lahir apabila hawa nafsu dibiarkan tanpa sempadan. Kesemua ini bergerak sebagai proses tarbiah rabbaniyyah yang membina manusia secara menyeluruh.
Baiklah, kita lihat pula konsep karamah insaniyyah. Allah menegaskan dalam surah al-Isra’ ayat 70:
وَلَقَدْ كَرَّمْنَا بَنِي آدَمَ وَحَمَلْنَاهُمْ فِي الْبَرِّ وَالْبَحْرِ وَرَزَقْنَاهُم مِّنَ الطَّيِّبَاتِ وَفَضَّلْنَاهُمْ عَلَىٰ كَثِيرٍ مِّمَّنْ خَلَقْنَا تَفْضِيلًا
"Dan sesungguhnya Kami telah memuliakan anak-cucu Adam, dan Kami angkut mereka di darat dan di laut, dan Kami beri mereka rezeki daripada yang baik-baik, dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebanyakan makhluk yang Kami ciptakan."
Kemuliaan ini bukan perhiasan kata-kata. Ia adalah pengisytiharan ilahi bahawa manusia memiliki kapasiti untuk bangkit, berubah dan meningkat ke puncak insaniah kerana Allah telah membekalkan manusia dengan akal, ruh, fitrah dan kemampuan moral yang tidak dimiliki makhluk lain. Manusia bukan sekadar makhluk ekonomi, mesin politik atau haiwan sosial yang digerakkan oleh naluri material semata-mata.
Namun dalam masa yang sama, manusia juga berhadapan dengan bisikan dan dorongan ke arah kejahatan. Allah mengingatkan dalam surah al-Tin ayat 4 hingga 6 bahawa manusia yang dicipta dalam sebaik-baik kejadian boleh jatuh ke taraf serendah-rendahnya kecuali mereka yang beriman dan beramal soleh. Pengecualian itu bukan automatik. Ia memerlukan proses dan proses itulah yang kita namakan tarbiah.
Sebab itu perjuangan membina masyarakat yang terbaik tidak boleh hanya bergantung kepada perubahan struktur politik semata-mata. Ia mesti melibatkan proses membimbing jiwa manusia agar potensi fitrahnya dapat mengatasi kecenderungan destruktif dalam dirinya.
Apabila kita melihat dari sudut ini, kita akan memahami bahawa fardhu ‘ain bukan sekadar kewajipan peribadi antara manusia dengan Tuhan. Ia adalah proses tarbiah harian yang paling asas berupa latihan jiwa yang berulang setiap hari, setiap minggu, sepanjang hayat yang secara perlahan membina kapasiti dalaman manusia untuk memikul amanah yang lebih besar.
Rasulullah ﷺ bersabda:
الصَّلَاةُ عِمَادُ الدِّينِ، فَمَنْ أَقَامَهَا فَقَدْ أَقَامَ الدِّينَ، وَمَنْ هَدَمَهَا فَقَدْ هَدَمَ الدِّينَ
"Solat itu tiang agama. Sesiapa yang mendirikannya, dia telah menegakkan agama. Sesiapa yang meruntuhkannya, dia telah meruntuhkan agama." (Riwayat al-Baihaqi)
Perhatikan keluasan makna hadis ini. Solat bukan sekadar ritual lima waktu. Ia adalah tiang, struktur yang menopang keseluruhan bangunan agama dan kehidupan. Manusia yang benar-benar mendirikan solat bukan sekadar manusia yang ruku’ dan sujud ia adalah manusia yang terbina dengan kesedaran bahawa amanah tidak boleh dikhianati, kuasa tidak boleh disalahguna, dan keputusan tidak boleh dibuat berdasarkan kepentingan diri semata-mata. Allah sendiri menyebut dalam surah al-‘Ankabut ayat 45:
وَأَقِمِ الصَّلَاةَ إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ
"Dirikanlah solat, sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan keji dan mungkar." Solat yang benar melahirkan manusia yang benar.
Demikian juga puasa. Allah menyebut dalam surah al-Baqarah ayat 183:
كُتِبَ عَلَيْكُمُ الصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى الَّذِينَ مِن قَبْلِكُمْ لَعَلَّكُمْ تَتَّقُونَ
"Diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa."
Matlamat puasa bukan kelaparan, ia Adalah bertujuan melahirkan sikap taqwa. Taqwa juga merupakan kualiti jiwa yang melahirkan kawalan diri dan empati, dua sifat yang menjadi teras kepimpinan yang adil. Zakat pula mendidik tanggungjawab ekonomi dan kesedaran bahawa harta adalah amanah sosial, bukan hak mutlak peribadi. Menuntut ilmu pula membina kemampuan berfikir dan membuat keputusan berdasarkan hikmah, bukan emosi atau tekanan massa.
Rasulullah ﷺ bersabda
طَلَبُ الْعِلْمِ فَرِيضَةٌ عَلَى كُلِّ مُسْلِمٍ
"Menuntut ilmu adalah fardhu ke atas setiap Muslim." (Riwayat Ibn Majah)
Inilah yang dimaksudkan apabila kita katakan fardhu ‘ain adalah tarbiah agenda harian menuju peradaban. Setiap hari, melalui ibadah yang penuh kesedaran, manusia sedang dilatih untuk menjadi seseorang yang layak memikul fardhu kifayah, tanggungjawab kolektif yang lebih luas. Fardhu kifayah adalah peringkat kedua dalam rantaian ini. Apabila jiwa sudah terbina, ia mesti dituangkan ke dalam peranan sosial yang nyata. Doktor yang amanah. Hakim yang adil. Guru yang membina jiwa. Ahli ekonomi yang memahami maslahah. Pemimpin yang berintegriti. Usahawan yang sedar amanah sosialnya. Kesemua ini bukan pilihan tambahan dalam kehidupan seorang Muslim. Ia adalah manifestasi wajib daripada jiwa yang telah ditarbiah melalui fardhu ‘ain.
Maka memisahkan fardhu ‘ain daripada fardhu kifayah adalah kesilapan besar yang meruntuhkan keseluruhan rantaian ini. Apabila agama dilihat sekadar ritual peribadi tanpa sambungan kepada pembinaan masyarakat, kita akan menghasilkan manusia yang soleh secara individu tetapi tidak relevan secara peradaban. Manusia yang baik di atas sejadah tetapi tidak hadir dalam ruang yang membentuk kehidupan orang lain.
Tarbiah yang sebenar mesti melahirkan wa’yu, iaitu kesedaran yang hidup terhadap realiti zaman, arah peradaban dan tanggungjawab insan terhadap agama dan masyarakat. Allah mengingatkan dalam surah al-Ra’d ayat 11:
إِنَّ اللَّهَ لَا يُغَيِّرُ مَا بِقَوْمٍ حَتَّىٰ يُغَيِّرُوا مَا بِأَنفُسِهِمْ
"Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah keadaan sesuatu kaum sehingga mereka mengubah keadaan yang ada pada diri mereka sendiri." Perubahan bermula dari dalam, bukan sekadar hati yang lembut. Ia adalah wa'yu yang hidup, fikrah yang jelas, dan amal yang bergerak ke arah membina. Tanpa wa'yu, seseorang mungkin rajin menghadiri usrah dan daurah, tetapi akhirnya semua itu hanya menjadi adat gerakan dan kebiasaan sosial.
Apabila cukup ramai manusia yang telah melalui rantaian ini, di mana fardhu ‘ain membina jiwa, jiwa yang terbina melaksanakan fardhu kifayah, dan fardhu kifayah mengisi institusi dengan manusia yang berintegriti, barulah pilihan raya menjadi sesuatu yang bermakna dalam rangka kerja menuju peradaban baru Islam. Pilihan raya, pada hakikatnya, adalah mekanisme masyarakat untuk memilih siapa yang akan memegang platform negara bagi meneruskan agenda peradaban itu. Ia adalah saat di mana kualiti manusia yang telah dibina sepanjang hari-hari biasa diuji secara kolektif.
Jika tarbiah tidak berlaku, jika fardhu ‘ain hanya ritual kosong dan fardhu kifayah hanya slogan, pilihan raya hanyalah pertandingan populariti di kalangan manusia yang belum terbina. Pertandingan populariti semestinya tidak pernah melahirkan peradaban.
Tarbiah sahaja tidak mencukupi tanpa jihad. Allah berfirman dalam surah al-Ankabut ayat 69:
وَالَّذِينَ جَاهَدُوا فِينَا لَنَهْدِيَنَّهُمْ سُبُلَنَا
"Dan orang-orang yang berjihad untuk mencari keredaan Kami, sesungguhnya Kami akan tunjukkan kepada mereka jalan-jalan Kami."
Perhatikan urutan dalam ayat ini, jihad dahulu, baru hidayah jalan itu datang. Dalam konteks kita, jihad bukan sekadar slogan bersemangat atau reaksi bermusim terhadap isu semasa. Jihad ialah kesungguhan berterusan untuk membina sistem hidup yang berpaksikan nilai kebenaran dan keadilan. Ia bergerak dari kesedaran kepada pembinaan, dari fikrah kepada institusi, dari semangat kepada sistem hidup yang mampu bertahan. Jika tidak, masyarakat hanya akan memiliki kelompok manusia yang baik secara individu tetapi gagal membentuk struktur kehidupan yang mampu mempertahankan nilai dan melawan kerosakan zaman.
Pilihan raya tetap penting. Ia adalah salah satu instrumen dalam menentukan arah kuasa dan dasar negara. Tetapi ia hanyalah kemuncak yang terlihat daripada proses yang jauh lebih panjang dan lebih dalam yang berlaku setiap hari, dalam usrah, dalam bilik darjah, dalam masjid, dalam institusi, dalam keluarga dan dalam diri setiap individu yang sedang ditarbiah. Menganggap pilihan raya sebagai satu-satunya jalan perubahan akan menyebabkan masyarakat menjadi pasif, seolah-olah tugas mereka selesai selepas mengundi. Sedangkan hakikatnya, perubahan sebenar berlaku pada hari-hari biasa, ketika manusia mendidik keluarga, membina institusi, menyebarkan ilmu, membantu masyarakat, memperkukuh ekonomi umat, membentuk budaya dan mempertahankan nilai yang benar.
Jika akar peradaban tidak berubah, keputusan pilihan raya juga akhirnya hanya akan mengulangi kitaran yang sama. Kita mungkin bertukar kerajaan, tetapi tetap gagal melahirkan manusia yang memiliki jiwa merdeka, amanah dan visi peradaban.
Kesimpulannya, perjuangan sebenar bukan sekadar menunggu hari mengundi. Perjuangan sebenar ialah membina manusia secara berterusan sehingga lahir masyarakat yang memiliki kekuatan jiwa, kejelasan fikrah, kesedaran yang hidup dan kemampuan membina sistem hidup dan negara berdaulat yang adil serta bermaruah. Negara berdaulat adalah milestone terawal. Peradaban adalah destinasinya. Dan as-saadah serta al-falah adalah kompas yang memastikan kita tidak tersasar, bahawa kita bukan sekadar membina kuasa, tetapi membina kehidupan yang bererti di sisi Allah dan bermakna bagi seluruh manusia.
Rujukan
Al-Baihaqi, A. B. A. (n.d.). Shu’ab al-iman. (Hadis: Al-Solatu ‘imadu al-din, faman aqamaha faqad aqama al-din, wa man hadamaha faqad hadama al-din).
Al-Ghazali, A. H. M. (1964). Kimiya al-sa’adah [Alkimia kebahagiaan]. Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah.
Al-Qaradawi, Y. (1995). Al-Islam: Hadharah al-ghad [Islam: Peradaban masa depan]. Maktabah Wahbah.
Al-Qaradawi, Y. (1997). Min fiqh al-dawla fi al-Islam: Makanataha, ma’alimuha, tabi’atuha [Fiqh kenegaraan dalam Islam]. Dar al-Shuruq.
Bennabi, M. (1986). Shurut al-nahdah [Syarat-syarat kebangkitan] (A. S. Shahin & U. K. Masqawi, Trans.). Dar al-Fikr. (Karya asal diterbitkan dalam bahasa Perancis 1949; edisi Arab pertama 1957).
Bennabi, M. (1986). Wijhat al-‘alam al-Islami [Visi dunia Islam] (A. S. Shahin, Trans.). Dar al-Fikr. (Karya asal diterbitkan dalam bahasa Perancis 1954).
Ibn Majah, M. Y. (n.d.). Sunan Ibn Majah. (Hadis: Tolab al-‘ilmi faridatun ‘ala kulli Muslim).
Machiavelli, N. (1961). The prince (G. Bull, Trans.). Penguin Books. (Karya asal diterbitkan 1532).
Makdisi, G. (1981). The rise of colleges: Institutions of learning in Islam and the West. Edinburgh University Press. (Rujukan utama bagi sejarah penubuhan Universiti Nizamiyyah dan sistem madrasah Islam).
Nizam al-Mulk, H. ibn A. [Wazir Agung Kesultanan Saljuk]. (2002). The book of government or rules for kings: The Siyasatnama or Siyar al-muluk (H. Darke, Trans.). Routledge. (Karya asal ditulis 1091).
Nkrumah, K. (1965). Neo-colonialism: The last stage of imperialism. Thomas Nelson & Sons.
– Artikel ini ditulis oleh Ustaz Khairul Fatihin yang merupakan salah seorang daripada barisan penyelidik MUIS.
