Memelihara Kehormatan Dan Kemuliaan Sahabat Nabi

Para sahabat Nabi Muhammad SAW merupakan generasi terbaik yang telah dipilih oleh Allah SWT untuk mendampingi dan mendokong perjuangan Rasulullah SAW. Kemuliaan mereka dirakam jelas di dalam al-Quran dan sunnah. Allah SWT berfirman:

وَٱلسَّٰبِقُونَ ٱلۡأَوَّلُونَ مِنَ ٱلۡمُهَٰجِرِينَ وَٱلۡأَنصَارِ وَٱلَّذِينَ ٱتَّبَعُوهُم بِإِحۡسَٰنࣲ رَّضِيَ ٱللَّهُ عَنۡهُمۡ وَرَضُواْ عَنۡهُ

“Dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia.”

(Surah al-Taubah: 100)

Atas sebab itu, apabila kita membicarakan sejarah para sahabat RA, termasuk kisah kehidupan mereka sebelum Islam, kita dituntut supaya sangat berhati-hati dan menjaga adab.

Hari ini terlalu banyak kisah tentang para sahabat tersebar tanpa semakan. Sebahagiannya datang daripada bahan bacaan yang tidak jelas sumbernya, sebahagiannya pula hanya diwariskan melalui cerita lisan dan media sosial. Akhirnya lahirlah pelbagai dakwaan yang langsung tidak mempunyai asas sejarah yang kukuh.

Antara dakwaan yang tersebar ialah tuduhan bahawa Saidina Abu Bakar al-Siddiq RA merupakan seorang ceti haram, manakala Saidina Umar ibn al-Khattab RA pula kononnya menjadikan zina sebagai kebiasaan hidupnya sebelum Islam. Bahkan dalam masyarakat Melayu juga sangat masyhur kisah bahawa Saidina Umar RA pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup ketika zaman Jahiliah.

Masalahnya, dakwaan-dakwaan seperti ini tidak pernah berdiri di atas riwayat yang benar,benar sahih.

Hakikatnya, Saidina Abu Bakar RA merupakan salah seorang hartawan Quraisy yang membina kekayaan melalui perdagangan yang bersih dan bermaruah. Beliau terkenal dengan sifat jujur, amanah dan memiliki kedudukan yang sangat dihormati dalam masyarakat Makkah. Tidak terdapat mana,mana sumber sejarah yang sahih mencatatkan beliau terlibat dalam amalan kewangan yang keji seperti lintah darat atau penindasan ekonomi.

Begitu juga Saidina Umar RA. Memang benar sebelum Islam beliau merupakan seorang musyrik dan terkenal dengan sifat yang sangat tegas serta keras. Namun tidak ada satu pun riwayat sahih yang menggambarkan beliau sebagai seorang yang rosak moral atau menjadikan zina sebagai kebiasaan hidupnya.

Begitu juga kisah bahawa beliau pernah menanam anak perempuannya hidup-hidup. Kisah ini memang sangat popular dalam ceramah dan penulisan motivasi, namun para pengkaji sejarah menjelaskan bahawa riwayat tersebut tidak mempunyai sandaran yang benar-benar kuat.

Untuk menisbahkan perbuatan tersebut secara khusus kepada Saidina Umar RA memerlukan bukti yang sahih dan jelas, bukan sekadar cerita yang masyhur di lidah masyarakat.

Malah jika benar beliau mempunyai rekod peribadi yang begitu tercemar semasa zaman Jahiliah, golongan Quraisy yang sangat memusuhi Islam sudah tentu akan menggunakan perkara itu untuk menjatuhkan maruah beliau setelah memeluk Islam. Namun hakikatnya, musuh-musuh beliau sendiri tidak pernah membangkitkan dakwaan sedemikian.

Lebih membimbangkan, terdapat juga usaha memburukkan para sahabat Nabi SAW secara halus dan berperingkat. Sebahagian naratif seperti ini sering dipopularkan oleh kelompok Syiah ekstrem yang sememangnya mempunyai sejarah permusuhan terhadap ramai sahabat besar Rasulullah SAW. Maka umat Islam perlu berhati-hati agar tidak terpedaya dengan cerita-cerita sensasi yang akhirnya merosakkan penghormatan terhadap generasi terbaik umat ini.

Rasulullah SAW bersabda:

لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي

“Janganlah kamu mencela para sahabatku.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Baginda SAW juga bersabda:

خَيْرُ النَّاسِ قَرْنِي

“Sebaik-baik manusia ialah generasiku.”

(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

Umat Islam wajib meyakini kemuliaan para sahabat Nabi SAW secara utuh. Mereka ialah generasi yang menerima tarbiah secara langsung daripada Rasulullah SAW dan telah mengorbankan segalanya demi memastikan agama ini sampai kepada kita.

Oleh itu, berhati-hatilah dalam berbicara. Menapis lipatan sejarah dan memelihara kehormatan para sahabat bukan sekadar disiplin ilmu, bahkan ia sebahagian daripada adab dan tuntutan iman seorang Muslim.

Jika generasi terbaik umat ini pun sanggup kita percaya dengan cerita-cerita tanpa sanad dan tanpa semakan, maka selepas ini siapa lagi yang akan terselamat daripada fitnah lidah manusia?

Dr. Kamarudin Bin Awang Mat
Pengerusi
Muafakat Ilmuan Islam (MUIS) Terengganu

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top