Ulama’ yang tidak memandang dunia, sederhana, merendah diri dan jauh daripada populariti
Ustaz Dr. Soberi Awang: Ulama’ yang tidak memandang dunia.
Hidupnya sederhana. Cukup dengan apa yang perlu untuk hidup dan beramal.
3 minggu lepas saya duduk di sebelahnya dalam satu seminar. Beliau seakan teruja sambil bertanya berkenaan iPad yang sedang saya gunakan. Lalu beliau mengeluarkan tabletnya yang tampak usang. Saya pun segan nak tanya apakah jenamanya.
Hidupnya sederhana. Sentiasa rendah diri, jauh dari populariti.
2018 lalu saya ada tempah pejabat Isma Nilai untuk mesyuarat MUIS (ketika beliau sebagai Pengerusi). Namun dalam perjalanan dari tempat kerja di KL ke Nilai selepas isyak, Dr. Ahmad Sanusi sudah tiba lebih awal dan maklumkan pejabat nilai masih terkunci tak dapat dibuka (tidak pasti apakah sebabnya. CC: Afizhi Atan).
Lantas Ustaz Soberi ajak mesyuarat di kaki lima masjid sahaja beralaskan jubin yang sejuk (gambar ketiga). Saya yang sedang letih dan kelaparan be like,,,alamak, baru ingat boleh mesyuarat di restoran saja . Tapi akhirnya terlupa seketika rasa letih dan lapar sepanjang mesyuarat 2 jam itu kerana sarat dengan curahan ilmu dan pengalaman beliau.
Dengan menguasai ilmu usul fiqh dan fiqh khususnya fiqh zakat dan muamalat yang amat mendalam, Dr. Soberi hakikatnya jauh lebih layak untuk menjadi penasihat Syariah institusi-institusi kewangan, berbanding ramai yang lain (dari kaca mata saya secara peribadi). Namun itu bukanlah pilihan beliau. Beliau memilih hidup ‘low profile’, fokus mendidik anak muda di universiti dan menggerakkan amal dakwah tanpa mengejar sebarang populariti.
Kerendahan dan keikhlasan hati Dr. Soberi, dibalas-Nya dengan pengakhiran yang sangat istimewa – iaitu ketika menyampaikan kuliah Subuh.
Dalam sekelip mata jutaan manusia di serata dunia mengenali dan mendoakan beliau.
Subhanallah.
(Asatizah yang biasa ceramah pasti faham betapa mencabar untuk terima jemputan kuliah subuh. Apatah lagi jemputan dari daerah seberang. Perlukan persediaan dan mujahadah yang amat tinggi. Tapi perkara ini sudah menjadi kebiasaan hidup Dr. Soberi)
Masuk hari ini, sudah 6 hari sebak di dada masih belum reda. Pasti akan teringat beliau saat saya keseorangan memandu kereta ke tempat kerja. Teringat beliau yang sentiasa bebas dari kongkongan dunia. Sedih dengan diri saya sendiri yang masih terikat dengan dunia.
Bertambah sedih bila saya tidak sempat menuntut satu ilmu darinya, yang telah saya rancang bersama isteri beberapa bulan lalu, iaitu ilmu mendidik anak perempuan tunggal.
Satu persamaan saya dengan Dr. Soberi adalah kami dianugerahkan seorang anak tunggal (setakat ini). Dan anak tunggal ini adalah perempuan.
Sangat cemburu dengan Dr. Soberi kerana beliau telah terbukti berjaya mendidik anak tunggalnya yang dapat mewarisi perjuangannya. Dapat mewarisi ilmu Syariah serta segala kitab-kitab Arab di perpustakaan peribadinya. Anak Dr. Soberi telah berjaya merangkul 10 mumtaz (mumtaz sofi) dalam peperiksaan STAM, keputusan cemerlang dalam sarjana muda Syariah di USIM pada tahun lalu (gambar terakhir – Ustaz Dr. Soberi Awang sedang menyaksikan kejayaan anaknya di majlis graduasi USIM), dan kini sedang sambung pengembaraan ilmunya di Mesir.
Masya Allah.
Moga Allah merahmati dan meredhai Al-Marhum Ustaz Dr. Soberi Awang.
~ Ustaz Ahmad bin Khairuddin
~ Sumber : Ustaz Dr. Soberi Awang: Ulama’ yang tidak… – Ahmad Khairuddin | Facebook