BeritaKenyataan RasmiMalaysia

Kes Iki Putra Sebagai Penentu Keabsahan Mahkamah Syariah Akan Datang

  1. Majlis Ulama ISMA  merasa sangat khuatir dan bimbang terhadap kesan keputusan Mahkamah Persekutuan yang akan menyambung perbicaraan keatas kes Iki Putra yang telah mencabar keabsahan Enakmen Jenayah Syariah pada 17 Ogos akan datang, jika pihak yang mencabar berkenaan diberikan kemenangan.
  2. Ini membawa maksud pihak berkuasa negeri tidak boleh menggubal undang-undang jenayah syariah seperti kesalahan berjudi, minum arak , berzina dan lain-lain kerana undang-undang berkaitan jenayah dikatakan sebagai kuasa Persekutuan. Maka undang- undang jenayah syariah yang sedang terpakai sekarang di setiap negeri adalah disifatkan tidak berperlembagaan dan tidak terpakai.
  3. MUIS berpandangan situasi ini telah menyentuh kuasa DYMM para sultan sebagai ketua agama negeri dan akan menyempitkan kuasa mahkamah-mahkamah syariah di setiap negeri.
  4. MUIS mencadangkan agar Yang Berhormat Penasihat Undang-Undang di setiap negeri dan Penasihat Undang-Undang Majlis Agama Islam Negeri dapat memberi gambaran yang tepat dan menyembah  nasihat yang sewajarnya berkaitan isu ini kepada Duli Yang Maha Mulia Sultan- Sultan.
  5. MUIS berkeyakinan Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang juga mantan Ketua Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sedar akan perkara ini  dan mengambil langkah sewajarnya demi kelangsungan undang-undang syariah di Malaysia.
  6. MUIS menggesa semua umat Islam merentas apa jua ideologi politik, kumpulan dan semua NGO Islam melupakan perbezaan sesama sendiri dan segera bersatu padu demi memperjuangkan keabsahan undang- undang jenayah syariah yang sedia terpakai di setiap negeri dalam negara ini.

Dato’ Zamri bin Hashim
Pengerusi Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply