Muhasabah Sebelum Memasuki 10 Akhir Ramadan: Kemuncak Pengabdian Hamba Kepada Tuhannya
Bulan Ramadan adalah bulan yang ada padanya ruh ibadah dan ubudiyah kepada Allah SWT. Perasaan ini wujud pada jiwa mukmin yang mengharapkan hidayah dan petunjuk daripada Allah.
وَكَذَلِكَ أَوْحَيْنَا إِلَيْكَ رُوحاً مِنْ أَمْرِنَا مَا كُنْتَ تَدْرِي مَا الْكِتَابُ وَلا الْأِيمَانُ وَلَكِنْ جَعَلْنَاهُ نُوراً نَهْدِي بِهِ مَنْ نَشَاءُ مِنْ عِبَادِنَا وَإِنَّكَ لَتَهْدِي إِلَى صِرَاطٍ مُسْتَقِيم
Dan demikianlah Kami wahyukan kepadamu (Muhammad) – Al-Quran sebagai roh (yang menghidupkan hati perintah Kami; engkau tidak pernah mengetahui (sebelum diwahyukan kepadamu): apakah Kitab (Al-Quran) itu dan tidak juga mengetahui apakah iman itu; akan tetapi Kami jadikan Al-Quran: cahaya yang menerangi, Kami beri petunjuk dengannya sesiapa yang Kami kehendaki di antara hamba-hamba Kami. Dan sesungguhnya engkau (wahai Muhammad) adalah memberi petunjuk dengan Al-Quran itu ke jalan yang lurus.
(Surah Az-zukhruf, ayat 52)
Bulan Ramadan juga merupakan suatu bulan yang menghidupkan jiwa dan ruh baru bagi seseorang mukmin mengejar dan berusaha untuk menjadi sebenar-benar hamba kepada Allah swt.
Mari kita teliti semula bagaimana ibadah puasa boleh membawa jiwa mukmin kembali kepada Allah:
1. Ibadah puasa bersifat kejujuran dan ihsan.
Hadis Rasulullah SAW:
عن أَبي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قال : قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : قَالَ اللَّهُ : كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلا الصِّيَامَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ
Dari Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Allah Taala berfirman, ‘Semua amal anak Adam untuknya kecuali puasa. Ia untuk-Ku dan Aku yang akan membalasnya.” (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Puasa merupakan ibadah rahsia antara hamba dengan Allah SWT. Tidak ada yang melihatnya kecuali Allah. Dia merasakan Allah sentiasa melihatnya dan bersama dalam setiap masa, maka hamba itu takut untuk meninggalkannya.
2. Bersungguh dan memperbanyakkan amal ibadah seperti membaca al-quran, qiamullail, berzikir untuk mendapatkan maghfirah dari Allah SWT.
Sabda Nabi ﷺ:
مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
Maksudnya: Siapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan mengharapkan keredhaan Allah ﷻ, maka akan diampunkan segala dosanya yang telah lalu. (Hadis Riwayat Al-Bukhari)
Sabda Rasulullah SAW
– من قام ليلة القدر إيماناً، واحتساباً غُفر له ما تقدم من ذنبه
“Barangsiapa yang berdiri (menunaikan solat) pada malam Lailatul Qadar dengan (penuh) keimanan dan pengharapan (pahala), maka dosa-dosanya yang telah lalu akan diampuni.”
(Hadis riwayat Al-Bukhari)
Para salafussoleh juga berusaha untuk memperbanyakkan membaca Al-quran di bulan ramadan. Antaranya:
a) Imam al-Syafie mengkhatamkan al-Quran sebanyak 60 kali di dalam bulan Ramadan sepertimana yang diceritakan oleh murid beliau, al-Rabi Ibn Sulaiman sepertimana dinukilkan oleh al-Zahabi dalam kitabnya, Siyar A’lam al-Nubala’.
b) Qatadah, seorang ulama tafsir telah mengkhatamkan al-Quran dalam masa tujuh hari, apabila tiba bulan Ramadan beliau mengkhatamkan dalam masa tiga hari dan apabila tiba sepuluh terakhir Ramadan, beliau mengkhatamkannya pada setiap malam.
c) Al-Imam Ahmad pula menceritakan bagaimana Ata’ ibn al-Sa’ib, seorang sarjana hadith yang ulung yang sentiasa khatam bacaan al-Qurannya setiap hari sekali di dalam bulan Ramadan.
Mereka bersungguh dan menumpukan sepenuhnya pada ramadan ini sebagai bulan beribadah untuk mendapat maghfirah Allah.
3. Penghambaan manusia yang sebenar iaitu beribadah dengan penuh keimanan dan perlu capai objektif ibadah iaitu taqwa.
Firman Allah SWT:
يَٰٓأَيُّهَا ٱلَّذِينَ ءَامَنُواْ كُتِبَ عَلَيۡكُمُ ٱلصِّيَامُ كَمَا كُتِبَ عَلَى ٱلَّذِينَ مِن قَبۡلِكُمۡ لَعَلَّكُمۡ تَتَّقُونَ
Wahai orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang sebelum kamu agar kamu bertakwa.
(Surah Al-baqarah:183)
Elemen diatas dapat membawa jiwa seorang hamba kepada perspektif dan sudut pandang kehambaan manusia yang sebenar. Jiwa yang bertaqwa, taat dan patuh perintah suruhan dan larangan Allah serta meninggalkan keinginan dunia dan kembali kepada Allah SWT.
Marilah kita renung sejenak bagaimana perjalanan separuh Ramadan kita pada tahun ini dan persiapan kita untuk melayari 10 akhir Ramadan yang berbaki. Moga Allah memberi hidayah dan maghfirah pada kita dan menjadi hamba yang diredhai Allah SWT serta diizinkan untuk bertemu malam Al-Qadar yang mana ia lebih baik dari seribu bulan.
Ustazah Nur Anis bt Bahrin
Penyelidik MUIS