Semoga Ramadhan Kali Ini Mengembalikan Umat Yang Izzah Dengan Islam
Sedar tak sedar kita telah pun berada di akhir bulan Syaaban. Kehangatan bulan Ramadhan sudah mula dirasai oleh kita semua, khususnya buat pencari hidayah, keampunan, tarbiyah, perubahan, rahmat, dah segala kebaikan daripadanya.
Namun apabila kita melihat situasi umat Islam di serata dunia, hari demi hari, seolah seperti sedang menghadapi penyakit yang sangat tenat dan melelahkan. Di luar negara mahupun di tanah air sendiri seolah diasak dari setiap sudut. Bukanlah semua, tetapi kebanyakkanya begitu.
Realiti umat Islam hari ini berada dalam keadaan yang lemah dan hina. Tanah umat Islam dijajah, umat Islam ditindas dan disembelih beramai-ramai. Bahkan umat Islam diserang dari semua penjuru oleh musuh Islam seperti haiwan liar yang kelaparan. Justeru, mari kita teliti apakah punca keadaan ini berlaku?
I. Umat Islam hari ini banyak meninggalkan ajaran Islam dan mengikut agenda musuh Islam.
Berkata Saidina Umar Al-Khattab:
“Kita adalah kaum yang Allah muliakan dengan Islam. Jika kita cuba mencari kemuliaan selain daripada Islam, kita akan dihina oleh Allah”
II. Umat Islam hari ini ramai sudah meninggalkan amar maaruf nahi munkar.
یاایها الناس ان الله یقول لكم: مروا بالمعروف وانهوا عن المنكر قبل ان تدعوا فلا اجيب لكم وتسالونى فلا اعطيكم وتستنصرونى فلا انصركم
“Wahai manusia, sesungguhnya Allah memerintahkan kepada kamu: “Kamu sekalian suruhlah orang mengerjakan kebaikan, dan laranglah mereka mengerjakan kejahatan, sebelum kamu berdoa tetapi Aku tidak mengabulkannya, dan kamu minta apa-apa kepada-Ku tetapi Aku tidak memberikannya, dan kamu meminta pertolongan kepada-Ku tetapi Aku tidak menolong kamu.” (H.R. Tirmidzi)
Allah Taala turut berfirman dalam Surah Ali Imran, Ayat 110 :
كُنْتُمْ خَيْرَ أُمَّةٍ أُخْرِجَتْ لِلنَّاسِ تَأْمُرُونَ بِالْمَعْرُوفِ وَتَنْهَوْنَ عَنِ الْمُنْكَرِ وَتُؤْمِنُونَ بِاللَّهِ
“Kamu (wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi (faedah buat) umat manusia (kerana) kamu menyuruh kepada kebaikan dan melarang dari (melakukan) kemungkaran, dan kamus semua beriman kepada Allah.”
Umat Islam hanya mampu menjadi umat yang terbaik apabila melakukan amar maaruf dan nahi munkar.
III. Umat Islam lebih selesa mengikut hawa nafsu berbanding saranan daripada wahyu.
Rasulullah s.a.w bersabda:
تَعِسَ عَبْدُ الدينار، تَعِسَ عَبْدُ الدرهم، تَعِسَ عَبْدُ الخَمِيصَة، تعس عَبْدُ الخَمِيلَة، إن أُعْطِيَ رَضِيَ، وإن لم يُعْطَ سَخِطَ، تَعِسَ وانْتَكَسَ، وإذا شِيكَ فلا انتَقَشَ، طُوبَى لعبد آخذ بعِنَانِ فرسه في سبيل الله، أشعث رأسه، مُغْبَرَّةً قدماه، إن كان في الحِرَاسَةِ كان في الحِرَاسَةِ، وإن كان في السَّاقَةِ كان في السَّاقَةِ، إن استأذن لم يُؤْذَنْ له، وإن شَفَعَ لم يُشَفَّعْ
Abu Hurairah RA berkata, Rasulullah SAW bersabda, “Celakalah hamba dinar, hamba dirham, hamba khamīṣah (kain dari sutra), dan hamba khamīlah (kain beludru). Jika diberi maka ia rida, dan jika tidak diberi maka ia murka. Celakalah dan merugilah ia; apabila tertusuk duri maka ia tidak dapat mengeluarkannya. Sebaliknya, berbahagialah seorang hamba yang memegang kekang kudanya dalam rangka berjihad di jalan Allah; rambutnya kusut dan kedua kakinya berdebu; bila ditugaskan berjaga maka ia berada di bagian berjaga, dan bila ditugaskan di barisan belakang maka ia berada di barisan belakang; bila meminta izin maka ia tidak akan diizinkan, dan bila memberi syafaat (rekomendasi) maka rekomendasinya tidak dikabulkan. (Hadis Riwayat Bukhari)
Imam Ibn Taimiyah berkata:
المحبوس من حبس قلبه عن ربه
المأسور من أسره هواه
Bermaksud;
“Orang yang terpenjara adalah siapa yang memenjara hatinya dari (perintah) tuhan
Orang yang ditawan itu adalah siapa yang ditawan oleh (kehendak) hawa nafsunya.”
IV. Umat Islam Mudah terpedaya dengan hasutan syaitan.
Firman Allah taala:
قال أرأيتك هذا الذي كرمت علي لئن أخرتن إلى يوم القيامة لأحتنكن ذريته إلا قليلا
“Ia berkata (iblis): ‘Khabarkan kepadaku inikah orangnya yang engkau muliakan mengatasiku? Jika engkau beri tempoh kepadaku hingga hari kiamat tentulah aku akan memancing, menyesatkan zuriat keturunannya kecuali sedikit (diantaranya)”
(Surah Al Isra’, ayat 62)
Iblis berjanji untuk meletakkan tangannya ke dalam mulut manusia dan kemudian menariknya (memancing). Adakah anda tahu seperti apa? Seperti haiwan. Itulah yang dikehendaki oleh Iblis terhadap manusia. Kehidupan yang hina tanpa kemuliaan iaitu dengan menjadikan manusia hamba kepadanya.
V. Hilang “thiqah” iaitu keyakinan dan kepercayaan terhadap takdir Allah SWT dan berputus asa dengannya.
Hilangnya “thiqah” kepada Allah bahawa setiap perkara sudah tertulis dan ditetapkan di sisi-Nya. Ramai manusia merasakan rezekinya dan umurnya di tangan manusia dan pihak berkuasa. Rasulullah s.a.w bersabda:
أنَّ نفسًا لَن تموتَ حتَّى تستكمِلَ أجلَها
“Sesungguhnya tiap-tiap jiwa tidak akan mati sehinggalah disempurnakan rezekinya…”
(Diriwayatkan dalam Sahih al-Jami’, no. 2085]
Apabila lima perkara diatas menguasai diri umat Islam, maka jadilah umat Islam umat yang dihinakan oleh musuh-musuhnya. Seperti apa yang berlaku ketika peristiwa serangan bangsa Monggol, Tatar keatas umat Islam semasa kejatuhan Kerajaan Abbasiyyah. Seorang wanita Tatar berkata kepada sepuluh orang lelaki muslim ketika itu: aku tidak memiliki pedang untuk membunuh kamu semua. Hadapkan muka kamu ke dinding sehingga aku dapatkan pedang untuk membunuh kamu semua. Kesemua lelaki itu mengikut arahan tersebut kerana ketakutan dan akhirnya mereka betul-betul dibunuh seperti itu. Begitulah keadaan umat Islam semasa peristiwa Tatar. Begitu juga keadaan umat Islam hari ini, seolah dipijak-pijak dan diperkotak-katikkan oleh musuh Islam begitu sahaja.
Jadi, marilah kita melihat beberapa contoh Izzah (kemuliaan) yang diangkat dikalangan umat Islam terdahulu supaya kita sedar bahawa Izzah (kemuliaan) itu pada hakikatnya adalah milik kita.
Kisah-kisah Izzah umat Islam terdahulu
I. Saidina Umar Al-Khattab
Lihatlah keperibadian Saidina Umar Al-Khattab ketika hari pengislamannya:
Umar Al-Khattab bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah, bukankah kita diatas kebenaran?
Rasulullah menjawab: Ya.
Beliau bertanya lagi: Bukankah mereka (kuffar) di atas kebatilan?.
Rasulullah menjawab: Ya.
Umar bertanya: Jadi mengapa kita bersembunyi?
Rasulullah berkata: Apa yang engkau inginkan wahai Umar?
Umar menjawab: Kita keluar dan zahirkan agama kita.
Lalu Rasulullah menggelarkan beliau sebagai Al Faruq
Ibn Mas’ud pernah berkata: Sejak pengislaman Umar, kami sentiasa merasa Izzah
Hari pembukaan Kota Ql-Quds oleh Saidina Umar r.a, beliau tidak pergi ke Baitul
Maqdis dengan ketumbukan tentera, bukan juga dengan pakaian yang mewah-mewah dan kehebatan kerajaannya. Tetapi beliau datang dengan hanya menaiki seekor unta, dan ditemani oleh seorang khadamnya sahaja. Umar dan khadamnya bergilir- gilir menaiki unta. Jika Umar menaiki unta, maka khadamnya pula akan berjalan sambil memandu pedati unta tersebut. Manakala jika khadamnya yang naik unta, Umar pula yang akan berjalan memandu pedati untanya. Setiap kali giliran dilakukan, mereka akan membaca surah Yassin sehingga tamat. Itulah yang dilakukan oleh Umar dan khadamnya sehingga sampai ke Kota al Quds. Sebelum sampai ke Kota al Quds, Umar telah melalui beberapa khemah2 tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh Abu Ubaidah bin Jarrah di Jabiya. Apabila Abu Ubaidah melihat kaki Khalifah Umar sudah berceloreng dengan debu-debu tanah dan luka kerana perjalanan yang jauh, Abu Ubaidah dengan niat yang baik memberi cadangan kepada Umar untuk mengapitnya sehingga ke pintu Kota al Quds. “Wahai Amiral Mukminin, jika kamu memerintah agar kami memapah dan memandu perjalananmu nescaya kami akan lakukan. Mereka (penduduk al Quds) tentu melihat kemegahan kamu sebagai Khalifah” Tiba-tiba Umar al Khattab merenung Abu Ubaidah dengan wajah yang sangat murka,”Demi Allah. Jika bukan engkau yang mengucapkannya wahai Abu Ubaidah nescaya aku menghukummu sebagai pengajaran buat umat ini! Sesungguhnya kita semua ini adalah hina lalu kita dimuliakan Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain Islam sudah tentu kita akan dihina oleh Allah”.
II. Saidina Abu Bakr r.a
Dalam perang memerangi mereka yang murtad dan enggan membayar zakat, ada yang menyarankan kepada saidina Abu Bakar supaya diberi kelonggaran dari membayar zakat. Lantas saidina Abu Bakar menjawab: “Apakah agama ini akan berkurang (dihina) sedangkan aku masih hidup?”
III. Asma’ binti Abu Bakar
Beliau berusia 80 tahun ketika anaknya Abdullah bin Zubair memerangi Hajjaj. Dalam perang tersebut Hajjaj membunuh Abdullah bin Zubair dan menggantung mayat beliau selama tiga hari di Mekah. Semua manusia ketika itu menyangkakan Asma’ akan merayu kepada hajjaj supaya melepaskan ikatan mayat anaknya tetapi sangkaan mereka meleset. Maka Hajjaj dengan marahnyapergi berjumpa Asma’ dan bertanya: ”Tidakkah engkau lihat apa yang telah aku lakukan terhadap anakmu?” Asma’ menjawab dengan penuh izzah: ”Aku melihat engkau telah merosakkan kehidupan dunianya. Manakala dia telah merosakkan kehidupan akhirat engkau!”
Semoga Ramadhan kali ini bukan sahaja kita dapat memperbanyakkan amal ibadah, tetapi dapat juga mencakna isu umat, mengambil pengajaran daripada kisah perjuangan para salafussoleh serta dapat mengubah cara pandang kita terhadap masyarakat Islam agar setiap tujuan serta usaha kita bermanfaat untuk umat Islam keseluruhannya.
Sempena kedatangan bulan Ramadan yang bakal tiba, kita perhebatkanlah doa kita
وأسأل الله الواحد الأحد، الفرد الصّمد، لي ولها ولسائر المسلمين والمسلمات؛ أنْ يُبلّغنا جميعًا شهر رمضان ونحن على خير وعافية، وأنْ يُوفّقنا إلى طاعته فيه وعبادته كما يُحبّ ويرضى، وأسأله سبحانه أنْ لا يُغادرنا هذا الشّهر إلاّ وقد تُقُبِّلت أعمالنا، وأجيبَت دعواتنا، وغُفرت ذنوبنا، وأُعْتِقَت رِقابنا مِن النّار
Ustazah Hayati Zari
Penyelidik Majlis Ulama ISMA (MUIS)
Pegawai Aman Palestin Berhad