Program Melawat Gereja, Kuil : Jarum Pluralisme Agama

Beberapa hari lepas tular di media sosial mengenai poster sebuah program bertajuk “Jom Ziarah Gereja” yang dianjurkan oleh sebuah agensi pembangunan belia, Impack Malaysia.

Semua orang tahu bahawa gereja sejak sebelum ini memang sudah terbuka untuk sesiapa sahaja yang ingin masuk melawat atau mengunjunginya. Ia tidak menjadi suatu keperluan lagi untuk dimasyhurkan dan dijadikan program khusus semata-mata untuk mengajak orang ramai masuk ke dalam gereja.

Namun apa yang kita dapat lihat, cubaan penganjuran program tersebut sebagai langkah awal bagi mempromosikan idea pluralisme yang mahu menegakkan bahawa semua agama sama dan berselindung di bawah slogan saling memahami dan saling menghormati sesama agama.

Hakikatnya Islam adalah agama utama di Malaysia, namun agama lain bebas diamalkan. Walaubagaimana pun, ia tetap tidak boleh disebarkan kerana akan mengakibatkan kekacauan dan membawa kepada ketegangan kaum dan agama.

Percubaan untuk mengadakan program ini dengan misi kononnya mahu saling memahami seolah-olah ingin menggambarkan bahawa rakyat malaysia selama ini kolot, tertutup dan memusuhi segala penganut agama lain.

Inilah naratif yang selalu dilaungkn oleh barat yang sentiasa ingin menggambarkan Islam sebagai pengganas, tidak memahami dan tidak menghormati agama lain.

Wallahua’lam Bissawab

Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa

Pengarah Sekretariat

Majlis Ulama Isma (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *