Syaaban Mencorak Ibadah Di Bulan Ramadan
Alhamdulillah segala pujian bagi Allah Taala, kita sudah memasuki pada bulan Syaaban. Rasulullah SAW, para sahabat dan kebanyakan para salafussoleh mengatakan bahawa bulan Syaaban sebagai bulan persediaan sebelum memasuki bulan Ramadan.
1. Rasulullah SAW juga menjadikan bulan Syaaban sebagai muqaddimah persediaan iaitu dengan memperbanyakkan puasa.
Antara hadis yang menunjukkan Rasulullah SAW banyak melakukan ibadah puasa dibulan Syaaban.
عن عائشة رضي الله عنها أنها قالت:(لم يكن النبي صلى الله عليه وسلم يصوم شهرا أكثر من شعبان)
Dari ‘Aisyah R.A pernah berkata bahawa, “Nabi SAW tidak pernah berpuasa lebih banyak selain daripada bulan Syaaban.”
(HR. Bukhari)
عن عائشة رضي الله عنها قالت : “ولم أره صائما من شهر قط أكثر من صيامه من شعبان كان يصوم شعبان كله ، كان يصوم شعبان إلا قليل ”
Dari ‘Aisyah r.a telah berkata: “Aku tidak pernah melihat seseorang banyak melakukan puasa sunat pada setiap bulan, sebanyak puasa sunat Rasulullah SAW pada bulan Syaaban, Baginda berpuasa sunat pada bulan Syaaban seluruhnya. Baginda sentiasa berpuasa sunat di bulan Syaaban kecuali hanya sedikit (tidak berpuasa)”
(HR. Bukhari dan Muslim)
2. Puasa Syaaban sebagai latihan sebelum memasuki bulan Ramadan
Berkata Ibnu Rejab dalam Kitab Lataiful Maarif, puasa di bulan Syaaban sebagai latihan untuk berpuasa di bulan Ramadan supaya tidak menjadi satu kesusahan dan kepayahan berpuasa di bulan Ramadan. Puasa di bulan Syaaban juga kita akan merasai halawatus siyam iaitu kemanisan berpuasa dan menjadikan diri kita kuat serta bersedia beribadah di bulan Ramadan.
3. Bulan Syaaban merupakan Syahrul Qira’ah (bulan pembacaan Al-Quran)
Salamah bin Kuhail mengatakan bahawa bulan Syaaban merupakan bulan Qurra’ (bulan bacaan Quran).
Habib bin Abi Thabit menyebutkan pada permulaan bulan Syaaban: “Ini adalah bulan pembacaan Al-Quran.” (Kitab Lataiful Maarif)
Persediaan Rasulullah dan para salafussoleh sebelum memasuki bulan Ramadan menjadi asbab berjayanya mereka merasai kenikmatan dan kemanisan beribadah.
Jadi, marilah kita bersama memperbanyakkan doa dan membuat persediaan bagi mencorak ibadah kita pada bulan Ramadan yang mulia nanti. Moga kita berjaya menjadi golongan hamba yang diredhai Allah SWT.
اللهم بارك لنا في شعبان وبلغنا رمضان
اللهم سلمنا إلى رمضان، وسلم لنا رمضان، وتسلمه منا متقبلاً”
“Ya Allah, berkatilah kami pada bulan Syaaban dan sampaikan kami di bulan Ramadan
Ya Allah, sampaikan kami ke bulan Ramadan, dan sampaikan bulan Ramadan untukku, dan terimalah darinya amal-amal kami ini.”
Ustazah Nur Anis binti Bahrin
Penyelidik Majlis Ulama ISMA (MUIS)