Fiqh SemasaKolumnisSyariahWanita & Kekeluargaan

Fiqh Wanita: Hukum Darah Yang Keluar Selepas Putus Haid

Soalan:

Assalamualaikum. Kalau seorang wanita itu menganggap dia sudah menopause, tiba-tiba ada pendarahan, darah itu dikira darah haid ke atau darah penyakit?

Waalaikumussalam wbt.

1. Pertama sekali, perlu ditentukan dahulu, benarkah wanita ini telah menopause. Pandangan fiqh tentang umur menopause atau putus haid:

a.             Menurut mazhab Syafi’ie; tidak ada umur tetap bagi putusnya haid. Ia hendaklah dikiaskan kepada ahli-ahli keluarga terdekat bagi seorang wanita dari pihak bapa dan juga pihak ibu seperti ibu-ibu saudara sebelah bapa dan ibu-ibu saudara sebelah ibu. Hal tersebut kerana faktor keturunan. Namun jika perlu untuk dilihat kepada faktor umur, maka Imam Syafi’ie menganggarkan bahawa umur putus haid ialah selepas 62 tahun kerana ia adalah umur kebiasaannya wanita putus haid.

b.             Mazhab Imam Abu Hanifah menetapkan umur putus haid sebagai 55 tahun. Selepas umur tersebut, darah yang keluar tidak lagi dinamakan haid mengikut pandangan yang terpilih dalam mazhab.

c.             Menurut mazhab Maliki pula, umur putus haid dari 50 hingga 70 tahun. Jika darah masih keluar selepas umur 70 tahun, maka ia bukan haid tetapi istihadhah.

d.             Mazhab Imam Ahmad pula menetapkan umur putus haid antara 50 hingga 60 tahun.  Antara dua tempoh ini merupakah tempoh syak di mana jika seorang wanita melihat darah semasa tempoh ini, maka ia tidak boleh berhenti dari ibadah sebagai langkah ihtiyat (berhati-hati) dan keluar dari khilaf. Namun jika umurnya genap 60 tahun dan darah masih keluar, maka darah yang dilihatnya bukan darah haid, tetapi istihadhah.

2. Untuk memudahkan panduan, boleh berpegang dengan pandangan mazhab Syafie yang menganggarkan umur 62 sebagai umur menopause. Jika ada darah yang keluar selepas umur 62, dianggap bukan lagi darah haid tetapi istihadah.

3. Cuma secara realiti, wanita yang dalam usia menghampiri menopause akan menghadapi keadaan iaitu keluar darah haid yang tidak menentu. Dalam perbincangan fiqh, hanya ditentukan umur wanita putus haid atau anggaran umurnya, tetapi tidak menyebut secara khusus berapa lama tempoh darah tidak keluar untuk disahkan menopause. Menurut perubatan, seorang wanita boleh ditentukan dalam dua keadaan iaitu dalam keadaan perimenopause (transisi sebelum menopause) dan post menopause (selepas menopause).

4. Perimenopause adalah keadaan transisi atau peralihan seorang wanita sebelum putus haid. Ketika ini, ovari akan mula menghasilkan kurang hormon dan menyebabkan kitaran haid menjadi tidak menentu atau tidak teratur. Justeru, darah perimenopause dari sudut fiqh dikira sebagai haid jika memenuhi syarat haid dari segi minimum/ maksimum tempoh darah keluar, dan dianggap istihadah jika tidak memenuhi syarat haid.

5. Postmenopause pula bermaksud seorang wanita itu telah mengalami keadaan darah haid yang sudah berhenti dan tidak lagi keluar dalam masa setahun – (Postmenopause is the time after menopause, when a woman hasn’t experienced a period for over a year).  Jika ada darah yang masih keluar selepas setahun tidak datang haid, maka keadaan ini adalah tidak normal. Doktor akan memeriksa kesihatan wanita tersebut untuk memastikan tiada penyakit seperti kanser rahim, fibroid atau sebagainya.

6. Dari sudut fiqh, darah postmenopause adalah darah istihadah atau darah penyakit. Ini bermakna, jika seorang wanita itu telah setahun tidak datang haid, dan kemudian melihat darah keluar, darah tersebut dianggap bukan lagi darah haid. Namun, jika darah masih keluar dengan tidak menentu dan belum cukup setahun tempoh darah haid berhenti, maka darah tersebut  masih dianggap darah haid.

7. Kesimpulannya, jika seorang wanita telah menganggap dirinya sudah menopause (dalam erti kata sudah setahun tidak datang haid), maka pendarahan yang dilihat secara tiba-tiba itu dianggap sebagai istihadah atau darah penyakit.

8. Untuk lebih meyakinkan, saya mencadangkan agar Puan mendapatkan nasihat daripada pakar perubatan dan melakukan pemeriksaan serta ujian darah untuk menentukan darah tersebut sama ada ia darah perimenopause atau postmenopause. Dikhuatiri juga jika darah tersebut berpunca dari organ lain dan membahayakan kesihatan diri.

Wallahu a’lam.

Ustazah Nur Fatin Halil

Naib Pengarah Sekretariat MUIS

Leave a Reply