Fiqh SemasaIlmiahKolumnisPolitik Islam

Tukar kerajaan bukan tukar kereta buruk

Isu pertukaran kerajaan baru-baru ini heboh sekali lagi atas desakan parti pembangkang yang mendakwa sudah mencukupi kerusi majoriti bagi membentuk sebuah kerajaan.

Apa yang berlaku telah pun berlaku, akhirnya mereka tidak berjaya mendapat kata sepakat mengenai calon Perdana Menteri ke-9, sekaligus melenyapkan harapan mereka untuk kembali ke tampuk kerajaan pada penggal ini, buat masa ini.

Sebelum ini, kita selalu mendengar laungan bahawa kerajaan tertentu sudah lama memerintah, beri peluang pula kepada kerajaan baru untuk naik memerintah negara, dan seumpamanya.

Seolah-olah seperti kita sudah memakai kereta buruk, dan mahu tukar kepada kereta baru.

Secara kacamata demokrasi, laungan ini tampak tidak bermasalah kerana sistem demokrasi membolehkan ia berlaku sekiranya undi berpihak kepada pihak tersebut.

Tetapi secara fiqh, pertukaran sesuatu kerajaan perlu dilihat kepada sudut yang lebih besar, ia perlu menjawab beberapa persoalan ini :

1. Apakah pertimbangan antara maslahat dan mafsadah yang dikira syarak itu telah dilakukan ?

2. Adakah maqasid syarak dalam politik itu akan tercapai ? Seperti menegakkan hukum Allah, mendirikan keadilan, menolak kezaliman, menjaga sempadan negara daripada dimasuki musuh, menaikkan kepimpinan muslim dan seumpamanya.

3. Apakah dominasi dan kepimpinan umat Islam terhadap negara itu akan terjaga dengan barisan kerajaan yang dicalonkan ?

4. Adakah yang berkuasa dan mempunyai ‘autoriti’ dalam melaksanakan polisi dan undang-undang nanti akan berlaku ‘adil’ mengikut neraca syarak ?

5. Adakah kestabilan negara boleh dicapai dengan pertukaran kuasa ini ?
Ini merupakan sebahagian daripada soalan-soalan yang lebih banyak yang perlu dijawab oleh seorang muslim, dalam melihat pertukaran kerajaan itu perlu berlaku atau tidak.

Mungkin sebahagiannya sudah pun kita tahu jawapannya berdasarkan prestasi kerajaan sebelum ini, kalau pun tidak kesemuanya.

Kaedah syarak menyebut : Apabila sesuatu perkara itu makin besar di sisi syarak, maka syaratnya makin ketat. (Al-Qarafi dalam Al-Furuq).

Contoh mudah dalam fiqh, syarat sah jual beli hanya akad, barang, harga dan secara langsung (secara umumnya), tetapi syarat nikah pula adalah dua saksi, wali, mahar, ijab kabul, dan seumpamanya. Ini kerana pernikahan melibatkan manusia yang berpindah hak wilayah kepenjagaannya (wanita) , manakala jualbeli hanya melibatkan perpindahan hak pemilikan sesuatu barangan.

Maka pertukaran kereta lama kepada kereta baru sangat jauh bila dikiaskan dengan pertukaran kerajaan lama kepada kerajaan baharu.

Pendek kata, syarak lebih menilai dan meletakkan syarat yang ketat kepada ‘kepribadian’ dan kemampuan si pemimpin, bukan semata-mata melihat ‘kepartian’ atau ‘retorika’ yang dilaungkan oleh mana-mana pihak, lebih-lebih lagi yang mempertuhankan demokrasi.

Syarak melihat sesuatu perkara dengan kacamata hakiki (teropong sebenar), adapun demokrasi hanya melihat dengan kacamata tempelan, yang hanya mencantikkan luaran dan menipu orang-orang yang mudah terpesona dengan solekan palsu.

Kita perlu membetulkan sudut pandangan kita terhadap syarak dengan meluaskan cakupannya dari sudut peribadi hingga ke perihal kenegaraan.
Bukan hanya semata-mata melihatnya dalam kerangka permasalahan peribadi dan kekeluargaan, seperti yang dikehendaki oleh para penjajah, dan para syaitan.

Wallahua’lam bissawab.

Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *