Alam adalah makhluk, ikuti arahan Tuhan
Seluruh alam ini adalah makhluk Allah, ia berjalan seiringan dengan arahan-Nya.
Barangsiapa yang mahu agar alam ini mesra dengannya, dia seharusnya mesra dengan arahan-Nya.
Keterikatan antara penciptaan (al-khalq) dan tuntutan (al-amr) adalah ibarat keterikatan simbiosis antara makhluk dengan makhluk yang lain.
Mengabaikan satu pihak, akan mengakibatkan kerosakan di pihak yang lain, seterusnya memusnahkan sebuah rantaian ekosistem kewujudan.
Apabila rantaian kewujudan tidak seimbang, suatu campur tangan ilahi (divine intervention) akan berlaku bagi membawa alam ini menuju keseimbangan semula.
Manusia tanpa iman tidak akan faham perkara ini, kerana mereka hanya melihat satu perkara di sudut kecil daripada alam realiti, tidak memahami bahawa alam ini sedang mengikuti arahan di luar dimensi realiti.
Dalam meneliti masalah ini, manusia harus melihat bahawa apa yang berlaku bukan semuanya hanya seperti yang dilihat dan diujikaji secara saintifik. Kita harus faham, ada peraturan (sunnatullah) di luar sana yang sedang mengawal dan mengurus kita, yang lebih mengetahui apa-apa yang kita lalui, dan hadapi, diatur dengan ilmu Tuhan, sejak azali lagi.
“Ketahuilah, bagi-Nya segala penciptaan dan segala arahan” – Surah Al-A’raaf
Wallahua’lam bissawab.
Ustaz Ahmad Syamil bin Mohd Esa
Penolong Setiausaha
Majlis Ulama ISMA (MUIS)