KolumnisUtama

Baitulmaqdis selamanya milik Umat Islam

Kesungguhan yang serius Rasulullah SAW untuk membebaskan Masjidil al Aqsa dan mengembalikannya semula ke pangkuan Islam merupakan warisan amanah besar Rasulullah SAW yang dititipkan kepada umatnya selepas baginda SAW kembali ke pangkuan Allah SWT. Ia dapat dilaksanakan oleh Saidina Umar al Khattab r.a dan Salahuddin al Ayyubi sehinggalah umat Islam kehilangan penguasaan penuh terhadap masjid ke tiga termulia ini.

Kiblat pertama umat Islam serta bumi Isra dan Mi’raj Rasulullah SAW ini cuba direbut dan dikuasai sepenuhnya oleh Zionis Israel. Mereka cuba menguasainya dengan berbagai-bagai cara , samada secara kekerasan ketenteraan mahupun dengan kuasa diplomasi berat sebelah proksi-proksi Zionis Yahudi ini.

Ada beberapa bentuk lain serangan ke atas al Aqsa antaranya percubaan membakar dan meletupkan al Aqsa, menguasai beberapa bahagian dari al Aqsa, galian di bawah al Aqsa, larangan melakukan pembaikan dan pemulihan di dalam al Aqsa, pencerobohan demi pencerobohan, pengepungan al Aqsa, memerangi kewujudan orang Islam di al Aqsa dan melarang majlis-majlis ilmu, ribat dan syaddu al rihal ke al Aqsa, menghalang orang Islam dari memasuki al Aqsa bagi mendirikan solat dan pengharaman azan.

Berpuluh-puluh ketetapan resolusi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dilanggar secara sengaja oleh Negara Haram Israel dan dalam masa yang sama menuntut pihak umat Islam mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh mereka. Kemuncaknya ialah perisytiharan al Quds sebagai ibu negara Israel oleh Presiden Amarika.

Masyarakat Islam seluruh dunia telah cuba dialihkan perhatian daripada berusaha bersungguh-sungguh menunaikan amanah Rasulullah SAW untuk mengambil kembali Masjid al Aqsa dengan digambarkan bahawa isu perebutan Masjid al Aqsa adalah seolah-olah ia hanyalah konflik antara Arab Palestin dengan negara haram Israel walhal ia sepatutnya menjadi perjuangan utama setiap individu muslim seluruh dunia.

Kita rakyat Malaysia sentiasa diingatkan dengan isu yang sangat penting ini dengan kewujudan beberapa buah Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) yang sudah sekian lama memperjuangkan kemerdekaan Negara Palestin bahkan diiktiraf oleh rakyat Palestin bahkan dikenali dunia seperti Pertubuhan Aman Palestin dan puluhan pertubuhan lagi.

Seorang wanita muslimah di zaman Nabi SAW iaitu Maimunah binti Saad pernah bertanya Nabi SAW tentang al Aqsa dan peranan kita sebagai orang Islam terhadapnya. β€œYa Rasulallah, khabarkan kepada kami tentang Baitil Maqdis” Rasulullah SAW menjawab : Tanah tersebut adalah tempat di mana manusia akan dibangkitkan dan dikumpulkan . Kunjungilah untuk solat kerana satu solat di sana bersamaan dengan seribu kali solat di tempat lain.” Beliau kemudian bertanya : Jika salah seorang daripada kami tidak mampu untuk menziarahinya, apakah yang patut kami lakukan?”. Baginda SAW menjawab : Jika kalian tidak mampu mengunjunginya untuk solat maka hantarkanlah minyak yang akan digunakan untuk menyalakan pelita-pelita di sana. Perbuatan ini akan menjadikan beliau seolah-olah solat di sana.(HR Imam Ahmad dan al Tabaroni)

Mesej mendalam dari kata-kata β€œhantarkanlah minyak ke sana jika tidak mampu pergi ke sana β€œ adalah untuk sekelian umat Islam agar pembelaan al Aqsa dan Baitil Maqdis perlu dilakukan walau dengan apa cara sekali pun dan haram hukumnya kita mengabaikannya serta tidak ambil peduli tatkala tanah barakah itu sedang menghadapi ancaman.

Antara kewajiban kita umat Islam di Malaysia adalah tetap mempertahankan kesucian Masjid al Aqsa dengan cara yang kita mampu antaranya ialah kita sentiasa menghangatkan perjuangan ini tanpa bermusim, tidak hanya ketika Gaza diserang sahaja. Pemboikotan terhadap produk-produk yang menyumbang kepada kekejaman Zionis Israel perlu konsisten tidak ibarat β€œhangat-hangat tahi ayam”, memastikan laporan berita yang diterima tidak dari sumber-sumber berita yang menjadi proksi Zionis Israel, tidak lokek untuk terus menghulurkan bantuan kewangan kepada perjuangan membebaskan seluruh bumi Palestin lebih-lebih lagi Baitul Maqdis dan Masjid al Aqsa.

Ajarkan kepada generasi muda dan generasi akan datang perjuangan membebaskan Baitul Maqdis adalah perjuangan suci yang berterusan sehingga hari kiamat dan yang tidak kurang pentingnya adakah sentiasa berdoa kepada Allah SWT agar mengurniakan kemenangan kepada para pejuang yang memburu kemenangan di dunia dan syahid di akhirat.

 

Sohibus Samahah Ust Zamri Hashim

Timbalan Mufti Negeri Perak
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)Β 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *