al-Mudahanah: virus “pejuang Islam” yang boleh membinasakan umat
Islam adalah suatu sistem kehidupan yang sangat jelas sama ada pada intipatinya atau matlamatnya itu sendiri. Tujuan utamanya iaitu menjadikan seluruh manusia itu menuju atau tunduk kepada Allah swt adalah suatu perkara yang sangat asasi di dalam agama ini. Oleh itu segala kewajipan, larangan dan segala seruan agama ini hakikatnya untuk membawa manusia kepada-Nya.
Maka matlamat mereka yang mengaku sebagai pejuang atau kelompok gerakan Islam juga sepatutnya hendaklah sama dengan matlamat Islam itu sendiri. Jika matlamat itu berbeza tidaklah layak disandarkan kepada istilah “Islam” di dalam perjuangan mereka. Inilah yang disebut sebagai prinsip atau asas perjuangan Islam itu sendiri.
Jadi di sini kita faham bahawa di dalam Islam itu terdapat prinisp-prinsip yang sentiasa akan kekal dan tidak akan berubah walaupun berbezanya manusia, tempat atau masa itu sendiri. Sejauhmana kuatnya seseorang itu mempertahankan prinsip-prinsip tersebutlah menjadi gambaran terhadap jujurnya mereka dalam memperjuangkan ad-Din ini.
Sebab itulah generasi salafussoleh sejak dahulu lagi sudah menyebut berulang kali akan pentingnya supaya berpegang perkara-perkara prinsip dengan teguh dalam memperjuangkan Islam. Mereka turut mengingatkan satu penyakit yang boleh melanda kepada pejuang Islam yang akan melunturkan satu demi satu prinsip perjuangan mereka iaitulah disebut sebagai al-Mudahanah.
Virus ini adalah berdasarkan kepada satu firman Allah swt dalam Surah al-Qalam ayat ke-9:
وَدُّوا لَوْ تُدْهِنُ فَيُدْهِنُونَ
“mereka suka kalaulah engkau bertolak ansur (menurut kemahuan mereka), supaya mereka juga bertolak ansur berlemah-lembut (pada zahirnya terhadapmu)”
At-Tabari di dalam kitab tafsirnya ketika menafsirkan ayat ini menyebut:
ودّ هؤلاء المشركون يا محمد لو تلين لهم في دينك بإجابتك إياهم إلى الركون إلى آلهتهم، فيلينون لك في عبادتك إلهك
Maksudnya: “Mereka yang muyrik ini suka jika kamu berlembut dalam agamamu dengan menyahut seruan mereka supaya kamu cenderung kepada semabahn-sembahan mereka (yakni supaya kamu menyembah berhala seperti mereka) maka mereka akan menyembah pula Tuhan-mu”.
Daripada ayat quran dan tafsiran diatas dapatlah kita faham secara umumnya al-mudahanah ini ialah apabila kita menggadaikan atau toleransi dalam hal prinsip-prinsip agama supaya manusia sekeliling suka dan cinta terhadap diri kita. Perkara ini tiada khilaf dikalangan ulama bahawa ianya adalah haram dan penyakit yang sangat bahaya yang boleh meruntuhkan umat Islam keseluruhannya. Surah al-Kafirun juga memberi gambaran bagaimana bahayanya penyakit al-Mudahanah ini. Kata Imam Ibnu Hajar al-Asqalani:
وَالْمُدَاهَنَة مُحَرَّمَة
Maksudnya: “dan al-Mudahanah itu adalah haram”. (Kitab Fathul Bari)
Namun yang menyedihkan inilah yang kita saksikan apa yang berlaku dalam dunia Islam hari ini, terdapat sesetengah kelompok yang kononnya mengaku sebagai “gerakan Islam” tetapi secara jelas menggadaikan pelbagai prinsip asasi di dalam Islam. Kononnya atas nama rahmat, berbuat baik sesama manusia, maqasid, toleransi, menolak kezaliman dan pelbagai istilah dan nas syarak lagi digunakan untuk mengabsahkan tindakan bertentangan syarak yang sedang mereka lakukan.
Mereka juga tanpa rasa malu dan bersalah terus duduk bersekongkol dengan kelompok yang secara jelas menentang syariat Islam itu sendiri. Mereka senyap terhadap pelbagai kemungkaran yang dilakukan sekutu disekeliling mereka kononnya atas hujah menolak mudharat yang lebih besar.
Sebahagian ulama apabila berbicara berkenaan hal ini menyatakan antara punca kepada virus ini adalah apabila pejuang Islam itu terlalu gopoh untuk mendapatkan kemenangan dengan segera. Akhirnya kegopohan itu membawa mereka saggup bertindak apa sahaja kononnya akan dapat menyegerakan kemenangan namun hakikatnya kemenangan Islam tidak akan hadir dengan virus ini.
Penyakit ini jugalah yang melanda Bani Israel suatu ketika dahulu apabila dikalangan ahli kitab berdiam diri terhadap kemaksiatan yang berlaku disekeliling mereka. Dengan tujuan agar manusia akan terus menyayangi mereka dan terus mengangkat mereka menjadi pemimpin.
Orang-orang kafir Yahudi dari Bani Israil telah dilaknat (di dalam Kitab-kitab Zabur dan Injil) melalui lidah Nabi Daud dan Nabi Isa Ibni Mariam. Yang demikian itu disebabkan mereka menderhaka dan selalu menceroboh. (78) Mereka sentiasa tidak berlarang-larangan (sesama sendiri) dari perbuatan mungkar (derhaka dan ceroboh), yang mereka lakukan. Demi sesungguhnya amatlah buruknya apa yang mereka telah lakukan. (Al-Maidah 78-79)
Moga dengan ini kita sedar bahawa hakikatnya Islam hanya akan tertegak dengan apabila kita mula mengengam erat prinisp-prinsip Islam itu sendiri. Walaupun mungkin satu masa kita akan melihat musuh-musuh Islam akan mengangkat kita atas sikap lemah lembut kita dalam perkara prinisp tetapi akan tiba satu masa mereka akan membuang kita apabila tidak lagi diperlukan kerana matlamat kita dengan mereka hakikatnya langsung tidak pernah sama.
Inilah kisah yang sentiasa berulang kali berlaku dalam sejarah Islam, sebutlah sama ada kisah di Andalus, kejatuhan Abbasiyah, kejatuhan Uthmaniyyah dan pelbagai kisah lagi yang menceritakan bagaimana virus inilah yang bukan sahaja membinasakan sekelompok umat Islam tetapi akhirnya meruntuhkan seluruh umat itu keseluruhannya.
فَٱعۡتَبِرُواْ يَـٰٓأُوْلِى ٱلۡأَبۡصَـٰرِ
Maka insaflah dan ambillah pelajaran (dari peristiwa itu) wahai orang-orang yang berakal fikiran serta celik mata hatinya. (al-Hasr: 2)
Ust Muhammad Firdaus bin Zalani
Pegawai Majlis Ulama ISMA (MUIS)