Rayu mufti keluar fatwa halang pesta arak

BANGI, 27 Zulhijjah 1438H, Ahad – Penganjur pesta arak, Better Beer Festival 2017 (BBF17) difahamkan akan tetap menganjur festival itu Oktober depan, meskipun mendapat tentangan ramai pihak.

Pesta ini dijadualkan berlangsung di Kuala Lumpur, yang akan menampilkan 250 jenama arak berbeza daripada 43 syarikat arak dengan sasaran 6,000 orang pengunjung.

Sehubungan itu, PAS merayu kepada para mufti untuk mengeluarkan segera fatwa terhadap acara mungkar berkenaan sebagai panduan dan arahan kepada kerajaan Malaysia.

Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali at-Takiri berkata, pesta arak yang dianjurkan hanya mengundang lebih banyak gejala negatif kepada masyarakat di kala negara telah berhadapan dengan pelbagai kemelut sosial.

Katanya, semua maklum Malaysia meletakkan Islam Agama Persekutuan dalam Perlembagaan dengan Yang Dipertuan Agong menjadi ketua negara yang bertanggungjawab menjaga Islam, serta Raja-raja Melayu menjadi ketua agama Islam di negeri-negeri.

“Maka, amatlah tidak wajar untuk negara ini menjadi hub pesta arak yang tidak mendatangkan kebaikan bagi rakyat malah memudaratkan.

“Jadi, kita minta pihak berkuasa membatalkannya kerana ia bercanggah dengan dasar bernegara yang meletakkan Islam sebagai Agama Persekutuan dan menyentuh sensitiviti masyarakat Islam dan mengundang pelbagai gejala negatif,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Pesta arak sebegini mula dianjurkan pertama kalinya pada tahun 2012, kononnya sebagai merayakan pembuatan beer di Malaysia. Ia diadakan di Taps Beer Bar di Changkat Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Pada tahun lepas pula, pesta ini diadakan di Publika Shopping Gallery dengan menyediakan 150 jenama arak.

Mengulas lanjut, Dr Khairuddin berkata, tidak dinafikan minum arak adalah hak bagi orang bukan Islam tetapi bukan hak bagi masyarakat bukan Islam untuk menganjurkan pesta terbuka mengajak masyarakat minum arak yang haram di sisi umat Islam.

“Ia sangat bertentangan dengan sensitiviti masyarakat Islam yang menjadi majoriti rakyat negara ini. Menjaga sensitiviti ini adalah kewajipan bersama seluruh rakyat Malaysia kerana ia melibatkan keamanan dan keharmonian bernegara,” katanya.

sumber: ismaweb

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *