Ketahui kaedah asas membaca logo Halal
Pada Halfest minggu lalu, selepas tamat bertugas di Booth HDC, saya luangkan masa mencari produk-produk halal hasil inovasi terbaru.
Di sebuah booth, seorang promoter mempelawa saya mencuba Auramen Pomade. Katanya, produk ini mesra wuduk. Apabila melihat logo halal terpampang di kotak Pomade itu, saya terus teruja. "Hebat betul, Pomade pun dapat logo Halal", getus saya. Walaupun berharga RM35/unit, saya gagahkan diri membeli. Mungkin kerana sedang teruja!
Apabila tiba di rumah, saya kembali membelek Pomade itu. Saya terkejut apabila logo Halal di Pomade itu menggunakan kod MS1500:2009. Kod ini adalah untuk logo Halal pada makanan, bukan produk seperti Pomade! Kod yang patut ada pada Pomade ialah MS2200-1:2008, iaitu kod Halal untuk barang gunaan seperti ubat gigi, sabun, syampu dan minyak rambut.
Keesokannya, saya membuat carian di Direktori Halal untuk memastikan status halal produk Auramen Pomade ini. Produk ini adalah keluaran syarikat Aurawhite Beauty yang beralamat Cheras, Selangor. Carian di Direktori Halal tidak menemukan sebarang bukti bahawa Auramen Pomade disahkan halal. Apa yang saya jumpa adalah; terdapat produk makanan lain keluaran Aurawhite yang mendapat pensijilan Halal MS1500:2009, seperti AURAWHITE BEAUTY CHOCOLATE COLLAGEN, AURAWHITE BEAUTY COLLAGEN dan lain-lain.
Jadi, saya membuat andaian; mungkin pihak syarikat tersilap menggunakan logo halal makanan pada produk minyak rambutnya. Mengapa jadi begitu; saya pun tidak tahu. Yang pasti, produk Auramen Pomade ini belum disahkan halal.
Buat anda semua, pastikan anda mengenal logo halal yang sah dan tahu kod-kodnya. Jangan sampai tertipu seperti saya. Banyakkan merujuk Direktori Halal yang boleh diakses melalui aplikasi telefon pintar. Jadilah pengguna yang bijak dunia dan akhirat.
Ust Bilal bin Jailani Sarjana Pentadbiran Muamalat (Produk Halal) USIM Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)