KolumnisUtama

Bersediakah kita untuk berqurban?

qurban YI

Mendekatkan masyarakat dengan sunnah-sunnah Rasulillah SAW sangat penting agar hubungan masyarakat muslim sebagai mata-mata rantai kepada perjuangan baginda SAW  sentiasa hangat dan tidak dingin serta layu. Perjuangan Baginda SAW yang membawa misi membebaskan manusia dari belenggu perhambaan sesama makhluk kepada hanya menghambakan diri kepada Allah, mengajak manusia menikmati keadilan Islam dan hidup di dalam alam yang lebih luas merangkumi dunia dan akhirat perlu sentiasa disegarkan di dalam jiwa setiap muslim.

Lagi 3 hari  umat Islam akan menyambut 10 Zulhijjah. Ada beberapa sunnah Rasulillah SAW tertentu yang amat digalakkan kepada umat Islam tetapi kurang diberi perhatian oleh kebanyakkan umat Islam berbanding  dengan bulan Ramadhan. Masyarakat kita belum banyak yang menyedari bahawa bulan Zulhijjah  termasuk bulan yang istimewa. Terdapat banyak dalil yang menunjukkan bahawa di bulan ini, amal soleh dilipat gandakan pahalanya. Sebagaimana pahala yang dijanjikan ketika ramadhan. Dari Abu Bakrah (r.a), Rasulullah SAW: ”Ada dua bulan yang pahala amalnya tidak akan berkurang. Keduanya dua bulan hari raya: bulan Ramadlan dan bulan Dzulhijjah.” (HR. Bukhari 1912 dan Muslim 1089). Rasulullah SAW merangkaikan bulan Zulhijjah dengan Ramadhan. Sebagai motivasi beliau menyebutkan bahwa pahala amal di dua bulan ini tidak berkurang.

Tempoh  waktu yang paling mulia ketika bulan Zulhijjah adalah 10 hari pertama dan kita sudah hampir menyudahkan 10 hari awal bulan Zulhijjah. Allah berfirman: Demi fajar, dan demi malam yang sepuluh. (QS. Al Fajr: 1 – 2). Ibn Rejab menjelaskan, malam yang sepuluh adalah sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah. Inilah tafsir yang dipilih oleh majoriti ahli tafsir dari kalangan sahabat dan ulama terkemudian. Dan tafsir inilah yang sesuai dengan riwayat dari Ibn Abbas (r.a)…” (Lathaiful Ma’arif, hal. 469)

Allah bersumpah dengan sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah menunjukkan keutamaan sepuluh hari tersebut. Semua makhluk yang Allah jadikan sebagai sumpah, adalah makhluk istimewa, yang menjadi bukti kebesaran dan keagungan Allah.

Kerana itulah, amalan yang dilakukan selama 10 hari pertama Zulhijjah menjadi amal yang sangat dicintai Allah. Melebihi amal soleh yang dilakukan di luar batas waktu itu. Dari Ibn Abbas (r.a) Nabi SAW  bersabda,

“Tidak ada hari di mana suatu amal salih lebih dicintai Allah melebihi amal salih yang dilakukan di sepuluh hari ini (sepuluh hari pertama Zulhijjah).” Para sahabat bertanya, “Wahai Rasulullah, termasuk lebih utama dari jihad fi sabilillah? Nabi SAW menjawab, “Termasuk lebih utama dibanding jihad fi sabilillah. Kecuali orang yang keluar dengan jiwa dan hartanya (ke medan jihad), dan tidak ada satupun yang kembali (mati dan hartanya diambil musuh, pen.).” (HR. Ahmad 1968, Bukhari 969, dan Turmuzi 757).

Nabi SAW juga bersabda:

“Tidak ada amalan yang lebih suci di sisi Allah dan tidak ada yang lebih besar pahalanya dari pada kebaikan yang dia kerjakan pada sepuluh hari al-Adha.” (HR. Ad-Daruquthni, dan dihasankan oleh al-Albani)

Al-Hafiz Ibn Rejab mengatakan, hadis ini menunjukkan bahwa beramal pada sepuluh hari bulan Zulhijjah lebih dicintai di sisi Allah daripada beramal pada hari-hari yang lain, tanpa pengecualian. Sementara jika suatu amal itu lebih dicintai Allah, artinya amal itu lebih utama di sisiNya. (Lathaiful Ma’arif, hal. 456).

Kita mengajak masyarakat  untuk bersama-sama menyemarakkan 10 hari pertama Dzulhijjah dengan berbagai amal soleh dan ibadah, sebagaimana ketika mereka menyemarakkan bulan ramadhan. Jadikan kesempatan 10 hari pertama sebagai lombong untuk mendulang jutaan pahala. Dalam tempoh ini , masyarakat Islam lebih menumpukan kepada bentuk ibadah qurban dengan bersedia untuk mengorbankan binatang-binatang tertentu . Dengan tidak menafikan bahawa ibadah mengorbankan haiwan ternakan itu adalah sunnah Rasulillah SAW namun menyediakan diri sebelumnya akan lebih memberi makna kepada ibadah qurban yang kita laksanakan di samping memberi peluang kepada semua orang Islam termasuk yang tidak mampu mengerjakan haji dan melaksanakan ibadah qurban sama –sama memanfaatkan tawaran pahala berganda pada bulan ini.

Watak-watak hebat yang terserlah di dalam ibadat qurban ini seperti Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail telah menyediakan diri mereka menjadi hamba Allah yang sebenar sebelum diuji dengan ujian kemuncak iaitu ujian penyembelihan. Terbukti mereka berjaya menghadapinya kerana mereka telah bersedia untuk pengorbanan agung ini.

Setiap individu muslim wajib beriman bahawa Islam perlu dimenangkan di atas muka bumi ini. Untuk itu,  kita mesti menyedari bahawa menjadi “muslim vvip” dalam erti kata memilih cara hidup Islam yang mudah-mudah  sahaja bukanlah cara terbaik memenangkan Islam. Tetapi Islam perlu diperjuangkan oleh muslim yang sanggup melakukan pengorbanan dan terlebih dahulu menyediakan diri untuk itu. Sudah kah kita bersedia untuk melakukan pengorbanan demi Islam di negara ini. Jika kita tidak berkorban , kita akan dikorbankan.

Sohibul Fadhilah Ust Zamri Hashim
Timbalan Mufti Perak
Ahli Majlis Ulama ISMA (MUIS)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *