Hukum tabir antara imam dan makmum

tabir masjid

Assalamualaikum ustazah,adakah dikira tidak sah solat jemaah bagi muslimat jika makmum muslimat atau salah seorang daripadanya tidak dapat melihat imam kerana dihalangi oleh tabir semasa berjemaah di masjid,surau dan sebagainya??

Jawapan:

Bismillah,

Menurut Ibn Qudamah rh, Jika terdapat halangan antara Imam dan makmum yang mengikutinya, dimana ia menghalang dari melihat Imam atau makmum yang bersolat dibelakangnya, maka terdapat 2 pandangan yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad r.anhu

a. Tidak sah bersolat dibelakangnya

b. SAH solat dibelakangnya kerana dia berupaya mengikuti Imam tanpa melihatnya, sebagaimana orang buta lakukan. Akan tetapi, untuk solat dibelakang Imam menjadi sah, dia hendaklah berupaya mendengarnya [al-Mughni, 2/208].

Berikut adalah fatwa Ibn Utsaimin didalam kes diatas, apabila di tanya mengenai makmum wanita hanya mendengar suara Imam sahaja. Jawab beliau :-

"Adalah dibolehkan bagi wanita dan juga lelaki bersolat berjemaah di Masjid, walaupun mereka tidak nampak Imam atau Makmum yang bersolat dibelakangnya, apabila dia berupaya mengikuti Imam. Jika suara Imam boleh sampai kepada wanita yang berada didalam masjid, dan mereka berupaya untuk ikut pergerakkan Imam, maka SAH solat berjemaah bersama Imam. Kerana sesungguhnya ia merupakan satu tempat yang sama (masih dalam masjid) dan mereka boleh mengikuti Imam walaupun dengan bantuan alat pembesar suara, atau mendengar suara Imam secara langsung, atau mendengar suara mereka yang menyambung takbir daripadanya. Bukanlah menjadi syarat melihat Imam atau makmum yang bersolat dibelakangnya.Namun,ada dikalangan ulama' yang menegaskan bahawa Imam atau Makmum yang bersolat dibelakangnya perlu dapat dilihat JIKA mereka bersolat di luar Masjid. Dikalangan fuqaha' yang menyatakan bahawa sah solat mengikuti Imam bagi makmum yang berada diluar masjid jika mereka dapat melihat Imam atau makmum yang bersolat dibelakangnya." [Majmu’ Fatawa Ibn Utsaimin, 15/213].

Maksud Ibn Utsaimin r.anhu melihat Imam atau Makmum bukan syarat berada didalam jemaah selagi ia masih didalam kawasan masjid/surau. Yang penting asalkan mempunyai keadah untuk mengetahui pergerakan Imam, seperti menggunakan bantuan pembesar suara. Syarat melihat Imam menurut beberapa pandangan ulama' hanya berlaku kepada jemaah yang bersolat diluar masjid.

Kesimpulannya,selagimana mampu untuk mengikut pergerakan imam walaupun tidak dapat melihat,maka solat jemaah tersebut dikira sah.

Sumber :al-Mughni, 2/208 ; Majmu' Fatawa Ibn Utsaimin, 15/213

Ustazah Abidah Binti Fadzlan
Graduan Fakulti Syariah Islamiyyah
Ahli Muis Mesir

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *